Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


PKBM tutup pintu

Posted:

PKBM tutup pintu

PKBM tutup pintu

Daripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
azizulfahmi@kosmo.com.my


PKBM mula tawar hati dengan Anuar dan membayangkan untuk menutup pintu buat pelumba berkenaan mewakili negara pada masa akan datang.


KORAT, Thailand - Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan mungkin sudah boleh melupakan impiannya untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia pada masa akan datang.

Ia ekoran tindakannya menarik diri bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 yang secara rasmi melabuhkan tirainya semalam.

Anuar membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai acara lepas beramai-ramai lelaki senior elit yang dijadualkan berlangsung di Universiti Teknologi Suranaree semalam selepas dilapor mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, timbul berita kurang enak sejak beberapa hari lalu yang mengatakan Anuar yang juga pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sengaja mencari alasan tidak mahu bersaing pada ACC 2011, sebaliknya memberi fokus bagi menghadapi perlumbaan Jelajah Malaysia (JM) 2011 bulan depan.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ternyata kecewa dengan tindakan Anuar menarik diri daripada menyertai ACC 2011 sekalipun dia telah menyerahkan sijil sakit (MC) yang dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Bukan saja peminat-peminat di tanah air tertanya-tanya mengapa Anuar menarik diri sedangkan dia masih ada masa untuk pulih daripada demam, malah ketiadaannya pada kejohanan kali ini menjadi bahan bualan di kalangan pegawai luar negara yang berada di Korat.

"Sebelum ini, ramai yang sudah mendengar berita Anuar akan beraksi pada ACC 2011. Mereka cukup teruja dengan kehadiran Anuar yang dianggap antara pemecut terbaik di rantau Asia ketika ini.

"Lebih-lebih lagi mereka tahu Anuar berentap dengan Andrea Guardini (pelumba pasukan Farnese Vini–Neri Sottoli) yang berjaya merampas takhta Anuar sebagai Raja Pecut LTdL 2011," kata satu sumber.

Menurut sumber itu lagi, ketiadaan Anuar pada ACC 2011 menimbulkan pelbagai persepsi buruk terhadap jagoan negara itu yang menjadi sandaran terbaik skuad kebangsaan Malaysia bagi memburu pingat dalam acara lepas beramai-ramai lelaki elit di Korat.

"Baru-baru ini, saya ada berjumpa dengan seorang rakan dari Filipina. Dia cukup terperanjat apabila mendengar berita Anuar menarik diri kerana demam. Dia menegaskan masih ada masa untuk Anuar pulih daripada demam sebelum menyertai acara lepas beramai-ramai.

"Katanya... seorang pelumba yang sejati harus memiliki semangat cintakan negara lebih daripada segala-galanya. Dia juga menganggap Anuar tidak mempunyai semangat patriotik sehingga menjadikan alasan demam untuk tidak bertanding di Korat.

"Bagaimanapun, itu semua pandangan daripada orang luar dan mereka boleh cakap apa sahaja tentang pelumba kita tetapi saya dengar persatuan (PKBM) agak kecewa dengan ketiadaan Anuar.

"Berdasarkan laluan yang tidak begitu mencabar pada kejohanan kali ini, PKBM meletakkan harapan kepada Anuar untuk meraih pingat, sekali gus kembali memulihkan imej skuad lebuh raya Malaysia yang kian tercalar sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Ketiadaan Anuar menyaksikan tempatnya diambil alih oleh pelumba berpengalaman negara, Suhardi Hassan yang sebelum ini namanya hanya diletakkan dalam senarai simpanan.

Kelmarin, skuad lebuh raya sekali lagi dilanda malang apabila pelumba Drapac Professional Cycling Team, Mohd. Adiq Hussainie Othman disahkan terpaksa menarik diri ekoran masalah kesihatan.

Ketiadaan Adiq yang menyumbang pingat gangsa dalam acara trek perlumbaan mata minggu lalu menyaksikan jurulatih skuad lebuh raya negara, Graham Seers membariskan pelumba pasukan benua negara, Le Tua Cycling Team (L2A), Ng Yong Li.

"Bagi mengelak masalah yang sama berulang pada masa akan datang, dipercayai wujud usaha untuk tidak lagi menyenaraikan Anuar pada mana-mana kejohanan besar selepas ini khususnya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau ACC."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Skuad lebuh raya menghampakan

Posted:

Skuad lebuh raya menghampakan

Skuad lebuh raya menghampakan

Daripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI


RAUF sekadar menduduki tempat ke-26 dalam percubaan terakhir skuad lebuh raya negara di Korat semalam.


KORAT, Thailand - Skuad lebuh raya negara mengakhiri perjuangan mereka pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 dengan kegagalan.

Dalam acara terakhir yang dipertandingkan semalam iaitu lepas beramai-ramai lelaki elit di sekitar kawasan Universiti Teknologi Suranaree, tiada keputusan yang boleh dibanggakan daripada kesemua empat pelumba negara.

Amir Mustafa Rusli muncul pelumba pertama negara melintasi garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 156.8 kilometer itu apabila berada di tempat ke-20 dengan catatan masa 3 jam 42 minit 36 saat.

Ng Yong Li menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 apabila merekodkan masa 3'44:22s diikuti Muhammad Rauf Nur Misbah di tempat ke-26 (3'49:15s) dan Suhardi Hassan di tempat ke-41 (3'49:15s).

Seperti dijangka acara tersebut yang melibatkan 14 pusingan dikuasai pelumba Jepun, Yukiya Arashiro yang mencatat masa 3'40:01 manakala pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi pelumba Uzbekistan, Muradjan Halmuratov (3'40:02s) dan pelumba Iran, Hossein Askari (3'40:34s).

"Saya tidak jangka perlumbaan begitu sengit hari ini (semalam). Pada awal perlumbaan, semua pelumba berada dalam kelompok besar tetapi dalam lapan pusingan terakhir, Wong Kam Po (pelumba Hong Kong) mula melakukan breakaway.

"Ketika itu, saya bersama kira-kira sepuluh pelumba lain berjaya mengejarnya dan berada dalam kelompok depan tetapi pada empat pusingan terakhir, kaki saya mula rasa kejang sehingga menyebabkan saya tidak boleh mengekalkan rentak kayuhan saya.

"Saya cuba ikut kelompok depan itu sehingga ke garisan penamat dan hanya itu yang terdaya saya lakukan," jelas Amir ketika ditemui semalam.

Sementara itu, jurulatih skuad lebuh raya negara, Graham Seers tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya semalam yang dianggap berjaya mencapai matlamat.

"Perlumbaan hari ini (semalam) merupakan satu lagi ujian kepada pelumba-pelumba negara. Prestasinya mereka dilihat lebih baik berbanding ACC 2010.

"Ini yang saya mahukan iaitu peningkatan daripada setiap pelumba. Jika mereka dapat meneruskan prestasi sebegini, tidak mustahil suatu hari nanti, kita dapat melihat juara dari Malaysia," kata Seers.

Kegagalan barisan pelumba lebuh raya negara menghadirkan pingat semalam, sekali gus menyaksikan Malaysia terus kemarau pingat dalam acara lepas beramai-ramai lelaki selepas kali terakhir Nor Effandy Rosli meraih gangsa pada ACC 1991 di Ipoh, Perak.

Pada hari pertama acara lebuh raya ACC 2011 yang diadakan Rabu lalu, Muhammad Syahriwan Mohd. Shari hanya mampu menduduki tempat ke-12 dalam acara ujian masa individu lelaki junior.

Keesokan harinya, rakan sepelatih Syahriwan, Nurul Nadia Mohd. Fauzi juga gagal menghadirkan keceriaan buat kem Malaysia apabila sekadar meraih tempat kelima bagi acara ujian masa individu wanita junior.

Pelumba Le Tua Cycling Team (L2A), Ng Yong Li turut gagal menjelmakan pingat dalam acara ujian masa individu lelaki elit selepas menduduki tempat keenam.

Misi skuad lebuh raya dalam memburu pingat di Korat diteruskan dalam acara lepas beramai-ramai sejak dua hari lalu, namun mereka tetap menemui kegagalan.

Bagaimanapun, kem Malaysia terus kempunan apabila Hamdan Hamidun yang menjadi sandaran bagi kategori junior lelaki hanya mampu berada di tempat kelapan.

Bagi kategori wanita junior, Nurul Nadia Mohd. Fauzi nyaris mencipta kejutan untuk menyambar pingat sebelum dia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam.

Rentetan kegagalan itu menyaksikan skuad lebuh raya negara sekali lagi dibayangi penampilan cemerlang skuad trek yang menyumbang 15 pingat secara keseluruhannya pada ACC kali ini.

Daripada jumlah tersebut, skuad trek elit negara menyambar satu emas, satu perak dan lima gangsa manakala 'adik' mereka - skuad junior membawa pulang satu emas, enam perak dan satu gangsa.

Dua emas itu hadir menerusi kayuhan pelumba elit, Mohd. Rizal Tisin dalam acara 1 kilometer ujian masa dan pelumba remaja, Mohd. Arfy Qhairant Amran (pecut individu).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang Azizulhasni pertahan jersi putih

Posted:

Peluang Azizulhasni pertahan jersi putih

Peluang Azizulhasni pertahan jersi putih


AZIZULHASNI (kiri) berpeluang mempertahankan gelarannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Siri Piala Dunia.


MANCHESTER - Jaguh trek sensasi negara, Azizulhasni Awang berpeluang mempertahankan jersi putih selaku juara keseluruhan apabila berjaya mara ke separuh akhir acara Keirin pada Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester semalam.

Selepas hanya mampu menduduki tempat ke-12 dalam acara pecut kelmarin, Azizulhasni berjaya menebus kekecewan tersebut dengan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi saringan pertama acara Keirin.

Pada perlumban tersebut, pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman itu mengalahkan empat pelumba lain dari Ukraine, Andrii Vynokuro, Clemens Selze dari Austria dan Mazquiaran Uria Hodei dari Eustonia untuk mara ke separuh akhir.

Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng Onn Lam pula akan beraksi dalam kategori repechage selepas menduduki tempat kedua pada saringan kelima di belakang pelumba Jerman, Rene Enders.

Pada saingan separuh akhir, Azizulhasni bakal berdepan laluan mencabar apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Chris Hoy serta jaguh Perancis, Gregory Bauge turut memenangi saringan kedua dan ketiga untuk mara dalam pusingan yang sama.

Ketika ini pelumba yang dianggap calon terbaik untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada Malaysia itu mendahului dengan 20 mata dalam tiga pusingan, diikuti pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven (18), Scott Sunderland dari Australia (16) dan Hoy (12).

Kelmarin, Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-12 dalam acara pecut.

Keletihan mungkin menjadi sebab utama kepada kegagalan Azizulhasni dalam acara tersebut kerana pelumba berusia 23 tahun itu baru saja tiba di Manchester, Rabu lepas setelah menggalas nama Malaysia dalam Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di Korat, Thailand awal minggu lepas.

Juara bagi acara pecut kelmarin dimenangi pelumba Perancis, Kevin Sireau yang menewaskan pelumba Britain, Jason Kenny manakala jaguh pecut Britain, Chris Hoy terkandas di separuh akhir kategori A.

Pada perlumbaan tersebut, Azizulhasni yang menduduki tempat kesepuluh dalam peringkat kelayakan dengan catatan 10.310 saat, terkandas di pusingan kedua setelah tewas kepada pelumba Perancis, Michael D'Almeida yang mencatat 10.702s.

Kekalahan itu menyaksikan Azizulhasni hanya layak ke penentuan 9-12 (kategori B) dengan berdepan pelumba dari China, Zhang Miao.

Pada suku akhir penentuan kategori itu, Azizulhasni berjaya mengalahkan Miao dengan catatan 10.885s sekali gus layak ke separuh akhir untuk bertemu Robert Forstemann dari Jerman.

Namun, pemenang pingat emas acara keirin Sukan Asia 2010 itu gagal menewaskan Forstemann (10.848s) di separuh akhir dan hanya mampu mara ke final penentuan tempat ke-11/12 dengan Damian Zielinsk dari Poland.

Pada pertemuan final penentuan ke-11/12 itu, Azizulhasni sekali lagi gagal mempamer kayuhan bertenaga dan tewas kepada Zielinsk dengan catatan 10.811s untuk berpuas hati sekadar di tempat ke-12.

Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng Onn Lam pula hanya mampu menduduki tempat ke-29 selepas hanya mencatat masa 10.545s di pusingan kelayakan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan