Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan keluar kenyataan 'separuh masak'

Posted:

Jangan keluar kenyataan 'separuh masak'

Jangan keluar kenyataan 'separuh masak'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pemimpin peringkat tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat 'separuh masak' kepada media bagi program yang belum mendapat persetujuan daripada Exco badan induk bola sepak negara itu.

Peringatan tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa ekoran laporan media mengenai cadangan FAM untuk menghantar tiga pemain negara untuk menimba pengalaman dalam Liga Jepun (Liga-J) yang disiarkan kelmarin.

Tanpa mahu menujukan teguran tersebut kepada mana-mana individu, Annuar berkata, kenyataan itu sepatutnya diperhalusi terlebih dahulu kerana boleh mencetuskan polemik di kalangan pemain, persatuan bola sepak negeri dan penyokong yang terlibat.

''Mana-mana pemimpin dalam FAM sepatutnya kena maklumkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Eksekutif yang lain sebelum keluarkan kenyataan kepada media.

''Kenyataan 'separuh masak' seperti ini boleh mencetuskan keresahan di banyak peringkat sedangkan ia masih belum pasti jadi atau tidak.

''Buat pemain yang terlibat, mereka pasti keliru kerana masih terikat dengan kontrak dengan pasukan negeri, sementara persatuan negeri pula sudah tentu resah kerana bimbang akan kehilangan tonggak utama pasukan," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM dalam perancangan menghantar tiga pemain menjalani pemilihan ke Liga Jepun (Liga-J) dan sedang menunggu jawapan daripada Persekutuan Bola Sepak Jepun (JFA).

Tiga pemain terbabit ialah dua tonggak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha serta penyerang Selangor, Safee Sali yang dikhabarkan bakal berhijrah ke Indonesia bulan ini.

Idea itu timbul semasa pertemuan pada Kongres AFC di Doha pada 6 Januari lepas melibatkan seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Setiausaha JFA, Kohzo Tashima.

Annuar menjelaskan biarpun FAM merupakan badan induk bola sepak negara, ada sesetengah perkara masih tertakluk kepada kepentingan persatuan bola sepak negeri.

''Sebagai contoh apabila ia melibatkan kontrak pemain, persatuan negeri mempunyai hak kepada pemain tersebut dan FAM tidak boleh membelakangi hak tersebut.

''Sepatutnya ia harus mengikut saluran yang betul melalui persatuan bola sepak negeri sekiranya mahu membawa pemain berkenaan bermain di luar negara seperti mana yang dilakukan oleh Selangor terhadap Safee Sali," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata mungkin terdapat banyak masalah buat Safee Sali jika JFA memberikan jawapan positif, memandangkan penyerang Selangor itu dikatakan hampir pasti ke Liga Super Indonesia (ISL).

''Jika Safee sudah bermain di sana, saya fikir amat sukar dia dapat memenuhi tuntutan berkenaan, memandangkan dia sudah ada kontrak dengan sebuah kelab di luar Malaysia," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

BAM timbang wujud liga sendiri

Posted:

BAM timbang wujud liga sendiri

BAM timbang wujud liga sendiri

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pada ketika kebanyakan gergasi badminton dunia sudah mengorak langkah dengan mewujudkan liga sendiri yang berjaya menarik penyertaan pemain- pemain handalan dunia, Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menganjurkan kejohanan serupa jika berjaya mendapat sokongan penaja.

Liga Super China dan Liga Super Indonesia bakal kembali tahun ini dan sekali lagi berjaya menarik penyertaan pemain ternama, termasuk bintang dari Malaysia seperti jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (Liga China) serta Muhammad Hafiz Hashim (Liga Indonesia).

Sudahlah Terbuka Malaysia gagal menempatkan diri di kalangan lima kejohanan dalam kalendar Siri Super Premier 2011 (Terbuka Korea, All England, Terbuka Indonesia, Terbuka Denmark, Terbuka China), badminton negara akan dilihat lebih ketinggalan berbanding negara utama lain tanpa memiliki liga sendiri.

Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai mengakui, idea menganjurkan liga pernah dibincangkan badan induk badminton itu, namun ia belum menuju ke arah yang lebih serius kerana semuanya bergantung kepada penajaan.

"Saya akui kami pernah membincangkan mengenai kemungkinan mewujudkan liga sendiri, tetapi sehingga kini belum ada satu cadangan yang konkrit mengenainya. Ia banyak bergantung kepada sejauh mana kami boleh mendapatkan penajaan.

"Kejohanan seperti ini bagus untuk memberi pengalaman baru kepada pemain negara bersaing dengan pemain handalan dunia, terutama mereka yang jarang berpeluang beraksi dalam kejohanan utama, tetapi banyak perkara yang perlu dilakukan, terutama dari segi kewangan sebelum dapat menjayakan rancangan ini,'' kata Chin Chai.

Buat kali pertama, jaguh perseorangan negara, Chong Wei dan pasangan Kien Keat-Boon Heong akan merasai pengalaman beraksi dalam Liga Super China yang bakal berlangsung dari Februari hingga April depan.

Ketiga-tiga pemain negara itu akan bernaung di bawah Kelab Badminton Guangzhou, yang turut membariskan beregu handalan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae. Malah, liga lumayan itu turut menarik penyertaan pemain handalan Indonesia seperti Taufik Hidayat dan Markis Kido-Hendra Setiawan.

Ia mewujudkan persaingan paling kompetitif dalam kejohanan yang meminjam format Piala Thomas itu kerana China sendiri turut menampilkan pemain terbaik mereka seperti juara Olimpik, Lin Dan, juara dunia, Chen Jin, Chen Long, Bao Chunlai dan beregu handalan, Fu Haifeng-Cai Yun.

Sementara itu Super Liga Indonesia, yang akan berlangsung dari 19-27 Februari turut menarik penyertaan pemain luar kerana hadiah lumayan yang ditawarkan AS$149,000 (RM455,00). Seperti Liga Super China, ia turut menggunakan format Piala Thomas dan menampilkan tujuh pasukan.

Hafiz, 28, yang akan bergerak sebagai pemain profesional buat kali pertama tahun ini memilih untuk beraksi buat kelab Musica Champions yang turut dibarisi oleh pasangan handalan Indonesia, Candra Wijaya dan Luluk Hadiyanto.

"Liga seperti ini bagus untuk memberikan persediaan kompetitif kepada pemain sebelum menghadapi kejohanan lebih besar. Bagi Liga Indonesia, saya melihat ia sebagai platform terbaik untuk menyiapkan diri menghadapi All England.

"Ia sama seperti kejohanan biasa, cuma formatnya seperti Piala Thomas. Liga seperti ini bukan saja memberi persaingan yang kompetitif tetapi melatih pemain untuk lebih kuat secara mental apabila beraksi dalam pertandingan berpasukan,'' kata Hafiz.

Bekas jaguh kebangsaan, Wong Choong Hann merupakan pemain Malaysia pertama mencuba nasib beraksi liga di luar negara dengan menyertai Liga Jerman pada 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan