Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM elak kenyataan

Posted: 02 Jun 2011 12:58 PM PDT

"BIAR proses siasatan yang dilakukan pihak berwajib selesai terlebih dulu, kami di FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak mahu mengganggu siasatan.

"Ini baru permulaan dan belum selesai lagi. Ia hanya akan selesai sepenuhnya apabila dalang sebenar berjaya didakwa dan kegiatan tidak bermoral ini berjaya dihapuskan hingga ke peringkat akar umbi.


"Kami tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang mendahului dan mengganggu siasatan pihak berkuasa dan mahu pihak media juga tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini," kata Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gejala mengatur keputusan perlawanan yang membabitkan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan dan T-Team seperti yang dilaporkan media massa semalam.


Menurut laporan itu terdapat pemain yang mempunyai wang sejumlah RM27,000 dalam akuan dan selepas didesak mengakui ia adalah imbuhan kerana melakukan perbuatan tidak bermoral itu. Malah ada juga yang melaporkan habuan sebanyak RM2,000 diberikan kepada setiap pemain.


"Mungkin perbuatan ini tidak terbatas kepada pasukan ini saja dan membabitkan lebih ramai lagi. Biar pihak berkuasa yang membuat siasatan. Jangan membuat sebarang andaian," katanya.

Annuar yang juga pengerusi Malaysian Super League (MSL) menjelaskan badan induk bola sepak negara itu sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras gejala yang pernah membinasakan bola sepak negara pada zaman 90-an itu.


FAM pada penghujung bulan lalu mengumumkan untuk memberikan kerjasama penuh dengan Polis Diraja Malaysia termasuk menubuhkan satu pasukan khas di setiap negeri bagi membasmi gejala itu dengan fokus memantau dan menjalankan siasatan terhadap sebarang aktiviti menentukan keputusan perlawanan termasuk judi atas talian (online).

Dua minggu lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/ KA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid sebelum ini dilaporkan berkata tiada sebarang kes membabitkan kegiatan mengatur keputusan perlawanan ketika menerima kunjungan delegasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang diketuai Ketua Keselamatan badan induk bola sepak dunia itu, Chris Eaton di Wisma FAM sekali gus Liga Malaysia didakwa bersih dari sebarang anasir tidak sihat itu.


Isu rasuah kembali menggemparkan negara selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis minggu lalu membabitkan kegiatan mengatur keputusan perlawanan membabitkan skuad Piala Presiden negeri itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

PKNS tak setuju play-off

Posted: 02 Jun 2011 12:55 PM PDT

TIDAK adil! Itu reaksi Presiden Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Roslan Baharuddin sekiranya pasukannya yang memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim ini terpaksa mengharungi perlawanan penentuan (play-off) untuk ke Liga Super 2012.

"Sepatutnya sebarang perubahan format perlu dimaklumkan pada awal tahun. Kami sudah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membuat persiapan bagi membolehkan skuad musim ini memenangi kejuaraan.


"Namun saya sendiri sudah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Selasa lalu yang sudah berjanji untuk cuba menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin dan memperjuangkan hak kami," katanya semalam.

Selangor PKNS dan Sarawak yang muncul juara dan naib juara Liga Perdana musim ini melahirkan kebimbangan mereka mengenai cadangan terbaru pihak Malaysian Super League yang mahu mengurangkan pasukan yang bersaing dalam Liga Super kepada 12 berbanding 14 pada musim ini.


Ia seterusnya mencetuskan persoalan berhubung jumlah pasukan dari Liga Super yang terpaksa diturunkan serta dua tiket dari Liga Perdana yang kebiasaannya diberikan secara automatik.


"Kami memang mengharapkan tiket automatik dan masih belum memutuskan tindakan seterusnya jika gagal mendapatnya.

"Sebarang tindakan daripada kami hanya akan dilakukan selepas mesyuarat exco FAM membuat keputusan berhubung perkara itu," katanya.


Kelmarin, Hamidin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menjelaskan semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia perlu akur dengan sebarang ketetapan badan induk bola sepak negara itu.

PKNS yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim menjuarai Liga Perdana 2011 ketika aksi berbaki tiga perlawanan dan sehingga kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah selain meledak 49 gol dan hanya bolos lima gol.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan