Utusan Online - Sukan |
Irfan gusar pemain kerap buat silap Posted: Irfan gusar pemain kerap buat silapOleh MOHD. ISWAN SHAFIQ
KUALA TERENGGANU – Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim kecewa dengan kekalahan 0-3 pasukannya kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super di gelanggang sendiri, kelmarin. Paling mengecewakan beliau ialah kesilapan penjaga gol Mohd. Sharbinee Allawee, yang juga penjaga gol skuad kebangsaan apabila memberikan gol mudah ketika Kelantan menjaringkan gol kedua pada minit ke-72. Ia pastinya mengundang kegusaran buat Terengganu menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini dengan Kelantan. "Sebagai penjaga gol kebangsaan, Sharbinee tidak patut melakukan kesilapan mudah. "Dia tidak sepatutnya meninggalkan gawang terlalu jauh dan kesilapan itu memberi ruang mudah kepada Kelantan untuk menambah jaringan. " Dia tidak seharusnya melepaskan gol yang boleh dianggap tidak wajar. "Saya harap dia tidak akan ulangi kesilapan yang sama selepas ini," katanya. Tambah beliau, pemain lain juga melakukan kesilapan besar sepanjang perlawanan dan gagal mengawal kemas setiap hantaran sehingga banyak memberi ruang kepada pasukan lawan untuk mengawal bola. Corak permainan Terengganu pincang tanpa kehadiran penyerang Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan, mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan kehilangan rentak. Begitupun beliau yakin pasukannya mampu menebus kekalahan kelmarin pada final Piala FA nanti. "Kami akan bangkit dalam baki dua lagi perlawanan liga serta final Piala FA Sabtu ini. "Memang moral pemain sedikit terjejas setelah kalah malam ini. Namun, kita akan menentang lawan yang sama (Kelantan) Sabtu ini dalam perlawanan yang lebih besar (final Piala FA). "Justeru, sudah tentu kita akan memberi yang terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya. | ||
Tuduhan rasuah: Hak JKPT buat keputusan Posted: Tuduhan rasuah: Hak JKPT buat keputusanPETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatannya (JKPT) untuk menentukan bentuk tindakan susulan berdasarkan keputusan mahkamah berhubung pertuduhan rasuah ke atas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan. Ditanya sama ada semua keputusan Piala Presiden musim ini bakal digantung atau dirombak, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam, secara ringkas berkata: "Ia terpulang kepada jawatankuasa itu." Beliau enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Seremban 7 Julai ini, dikhuatiri akan mengganggu proses perbicaraan. Kelmarin, jurulatih berkenaan, Yusarman Yusof, 35, mengaku tidak bersalah di mahkamah itu atas 21 pertuduhan menyogok 11 pemainnya, antara RM200 hingga RM2,000 bagi perlawanan menentang SDM Navy di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lalu. Sementara itu, kata Azzuddin, hanya perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan Myanmar dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada pukul 8.45 malam 18 Jun ini, berdasarkan kelulusan AFC. "Bagi perlawanan Kelayakan Olimpik dan Kelayakan Piala Dunia dengan Lebanon dan Taiwan pada 19 dan 29 Jun, ia tidak dapat dijalankan di situ kerana kemungkinan besar aksinya di Stadium Nasional, Bukit Jalil di samping persahabatan dengan tiga kelab Liga Perdana England (bulan depan)," katanya. Menurutnya, ia kali pertama dalam tempoh antara empat hingga lima tahun, perlawanan antarabangsa diadakan di luar Lembah Klang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diberikan penghormatan sebagai tuan rumah selain membuka peluang penyokong skuad negara di Pantai Timur menontonnya. "Tiket perlawanan dengan Myanmar berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM30 dan RM50 bagi grandstand dan kanak-kanak cuma RM5," katanya. Mengenai persediaan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal, katanya, seramai 26 hingga 28 pemain akan dipanggil menjalani latihan pusat di Wisma FAM mulai 15 Jun dan mereka akan berlepas ke ibu negeri Kelantan itu sebelah pagi, sehari sebelum menentang Myanmar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan