Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Mesej dari Jepun

Posted:

Mesej dari Jepun

Mesej dari Jepun

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo,com.my

PENJAGA gol skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi boleh dianggap wira pada aksi menentang Jepun kelmarin atas kecekapannya mengawal gawang daripada dibolosi mudah oleh lawan mereka.


SEMBANG-SEMBANG kedai kopi ketika ini pastinya rancak berbicara mengenai kekalahan skuad Olimpik negara kelmarin.

Terkulai di Stadium Tosu, Fukuoka apabila tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi pembuka tirai Kumpulan C pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia pastinya mengundang begitu banyak pendapat negatif 'jurulatih tidak bertauliah' dari luar padang.

Padahal, hakikatnya skuad Olimpik negara menentang Jepun - pasukan yang beraksi di pentas Piala Dunia sejak 1994 serta memegang status selaku pemegang pingat emas Sukan Asia pada tahun lalu.

Lainlah jika skuad negara tewas kepada pasukan yang berada di kelas yang lebih kurang sama, itu barulah cerita berbeza.

Apa yang pasti, mesej yang cukup jelas diberikan oleh Samurai Biru terhadap anak-anak buah Ong Kim Swee bagi menilai apa jua kekurangan dalam skuad sebelum melaksanakan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Palembang, Indonesia November depan.

Turun selaku pasukan underdog, keupayaan skuad negara menyaingi kepantasan negara Matahari Terbit itu meskipun beraksi di depan lebih 22,504 penyokong fanatik tuan rumah juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Pujian juga harus diberikan kepada kapten, Mohd. Khairul Fahmi Che Mat yang begitu cemerlang di gawang negara bagi mengelak keaiban yang lebih besar daripada dimalukan Jepun.

Kerapuhan benteng pertahanan negara yang digalas oleh Mohd. Fadhli Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mahali Jasuli dan Mohd. Zubir Azmi juga harus segera ditangani Kim Swee jika tidak mahu pingat emas Sukan SEA terlepas daripada genggaman.

"Inilah bezanya antara pasukan yang bagus (Jepun) dan pasukan yang kurang bagus, mereka sentiasa mempunyai jawapan untuk mengatasi sebarang kekangan dan tentangan yang diberikan oleh pasukan negara.

"Bagi saya, semua pemain telah beraksi dengan baik terutamanya Khairul Fahmi yang berjaya mengawal gawang daripada dibolosi dengan jumlah jaringan yang lebih banyak, justeru kekalahan ini tidak begitu memilukan," kata Kim Swee di Jepun semalam.

Jepun menang hasil jaringan Keigo Higashi dan Yamazaki Ryohei pada minit ke-10 dan ke-76 - gol-gol yang dikira mudah apabila kedua-duanya langsung tidak dikawal di dalam kotak penalti negara.

Di sebalik asakan bertali arus pasukan Jepun yang diilhamkan oleh anak buah Takashi Sekizuka sepanjang 90 minit permainan kelmarin, skuad Harimau Malaya juga dilihat tidak begitu mudah mengaku kalah apabila tetap melakukan asakan, cuma ketumpulan penyudah menafikan peluang mereka menggegar gawang Jepun.

Safee tidak peduli

Posted:

Safee tidak peduli

Safee tidak peduli

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my

KATA-KATA sumbang yang mempertikaikan pemergian penyerang Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali menjalani ujian pemilihan bersama kelab England, Cardiff City sememangnya menyakitkan.

Dikatakan hanya membuang masa gara-gara belum tentu dipilih kerana masalah permit kerja juga 'memadam' terus cerita sebenar di sebalik pemergian Safee yang sebe- narnya lebih teruja menjalani latihan bersama skuad kendalian Malky Mackay itu, sekali gus menimba pengalaman berguna sepanjang 'berguru' di sana.

Apa lagi yang tidak puas hati sebenarnya? Safee sendiri mengakui tidak peduli dengan laporan-laporan negatif media Britain yang mempersoalkan kredibilitinya kerana dilihat tidak mampu menyele- saikan masalah ketumpulan jentera penyudah Cardiff bagi jangka masa pendek.

Apa yang penting kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim ialah sejauh mana kematangan Safee mengendalikan tekanan sepanjang menjalani latihan di sana, dan soal terpilih atau tidak bukannya terletak di bahu Safee.

"Safee sendiri mengakui tidak peduli dengan apa jua desas-desus negatif termasuk isu permit kerja yang jelas tidak mengganggu konsentrasinya sebagai pemain yang matang di dalam dan di luar padang.

"Apa yang penting ketika ini adalah pengalaman yang berguna sepanjang mengikuti latihan, bukan senang hendak mendapat peluang berlatih bersama pemain-pemain yang hebat di England," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! pada 19 September lalu melaporkan mengenai kesukaran yang dialami Safee bagi menyarung jersi Cardiff gara-gara masalah permit kerja.

Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 pera- tus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Syarat permit kerja itu bagaimanapun difahamkan lebih longgar apabila Cardiff ketika ini hanya beraksi pada Liga Kejuaraan England, dan ia jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab yang beraksi di Liga Perdana England, Queen Park Rangers (QPR) yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.

Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebe- lum ini juga tidak menolak kemungkinan mengenai pengecualian permit kerja itu sekiranya pemain negara dilihat benar-benar berpotensi untuk beraksi di England.

Dalam pada itu, mengenai pendapat Mackay yang dikatakan enggan 'bersusah payah' mendapatkan Safee jika mempunyai pilihan lain seperti mana yang dipetik media tempatan Britain, Zakaria membe- ritahu, ia cuma pendapat peribadi jurulatih tersebut.

"Safee sendiri memberitahu betapa Mackay begitu tertarik dengan disiplin dan corak permainan beliau sepanjang mengikuti latihan.

"Situasinya sama seperti memohon peluang pekerjaan, walaupun majikan mahukan kita, namun pada masa yang sama majikan lazimnya tidak mahu ambil tahu kesusahan kita sama ada kita datang kerja naik LRT ataupun tidak.

"Yang penting ialah usaha Safee memikat Mackay, itu yang paling utama. Soal permit kerja itu soal kedua," katanya.

Dalam pada itu, pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee semasa dihubungi juga memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya membantu penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu menyarung jersi The Bluebirds.

"Di pihak pengurusan, kami hanya menunggu 'lampu hijau' dari- pada Mackay, dan setakat ini ia memang satu perkembangan yang positif.

"Mackay memberitahu kami yang beliau begitu kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Safee.

"Jika Mackay betul-betul berminat, kami akan berusaha sedaya upaya membantu Safee termasuk meminjamkannya untuk beraksi sekurang-kurangnya setahun di kelab lain di Eropah sebagai salah satu syarat permit kerja.

"Sehingga kini, kita tunggu dan lihat prestasi Safee sehingga sesi ujian pemilihan berakhir sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Safee yang tiba di bumi England sejak seminggu lalu selepas mendapat pelepasan daripada kelabnya, Pelita Jaya kini kembali menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukannya yang berjaya mara lebih jauh selepas menewaskan Lei- cester City 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan ketiga Piala Liga kelmarin.

Teruskan perjuangan

Posted:

Teruskan perjuangan

Teruskan perjuangan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


DEVAN dijulang anak-anak didiknya ketika menghadiahkan
kemenangan kepada Selangor.


RAJUK sekeping hati milik bekas pengendali Selangor, K. Devan sememangnya tidak lagi boleh dipujuk-pujuk.

'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Hanya Devan sendiri tahu betapa sengsaranya hati mengucapkan selamat tinggal kepada Gergasi Merah di saat juara Piala Malaysia 32 kali itu masih terkapai-kapai meneruskan saingan dalam saingan Piala Malaysia kali ini sebaik mele- takkan jawatan Isnin lalu.

Walaupun masih memiliki baki kontrak sehingga 30 November, luka hati yang bagaikan dikoyak-koyak lantaran sikap segelintir penyokong Merah Kuning yang berterusan mendesak pengendali berusia 50 tahun itu meletakkan jawa- tan, akhirnya tidak lagi dapat ditahan-tahan.

Seandainya masih ada pemi- nat Merah Kuning yang mendakwa Devan sebenarnya tidak bertanggungjawab kerana 'angkat kaki' sebelum selesai menamatkan misi ketandusan trofi pasukan itu, ada baiknya mereka reda sahaja dengan pemergian Devan.

Kini, hanya doa dari jauh sahaja yang mampu dilakukan Devan agar Selangor yang kini hanya mampu memungut empat mata dalam aksi Kumpulan D berupaya melangkah ke suku akhir. Itu pun jika ada keajaiban besar yang berlaku ke atas dua pencabar terdekat, T-Team dan Kuala Lumpur yang kini selesa dengan sembilan dan lapan mata.

"Saya harap pemain-pemain Selangor tidak patah semangat (dengan ketiadaan beliau), dan peluang mereka masih ada dengan syarat menang dalam baki dua lagi perlawanan selepas ini (menentang PDRM dan Kuala Lumpur).

"Bukan mudah saya hendak mengambil keputusan meninggalkan Selangor, tetapi saya benar-benar terguris hati dengan tindakan segelintir penyokong yang seolah-olah tidak menghargai jasa saya bersama pasukan," katanya menerusi siaran langsung rancangan terbitan Astro Arena, Nadi Arena lewat malam kelmarin.

Rajuk pengendali yang berasal dari Negeri Sembilan itu yang seolah-olah jasa pengorbanannya tidak dihargai ternyata berasas apabila membantu Selangor menjulang lima piala semenjak mengambil alih 'baton' daripada Dollah Salleh sejak Oktober 2008.

Antara piala yang berjaya dimenangi Devan bersama Gergasi Merah termasuklah Piala FA 2009, Piala Sultan Ahmad Shah (2009-10) serta muncul juara Liga Super dua tahun berturut-turut sejak 2009.

Detik kejatuhan Devan bersama Selangor begitupun bermula apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super musim ini, selain ditunjukkan jalan keluar oleh Kelantan pada aksi separuh akhir Piala FA.

Dengan pengunduran Devan, 'kerusi panas' di Selangor kini digalas oleh pembantu jurulatih, P. Maniam yang pastinya masih tercari-cari formula istimewa bagi membantu pasukannya menempah slot ke suku akhir.

Di sebalik 'tsunami' yang melanda Gergasi Merah ketika ini, ia pastinya bukan petanda ternoktahnya karier Devan selaku jurulatih.

Sudah pasti, Devan kini akan laku bak 'pisang goreng panas' bagi mana-mana pasukan yang kepingin menagih khidmatnya pada musim depan lantaran ke- cemerlangannya selaku 'Guus Hiddink Malaysia' bersama dua pasukannya sebelum bersama Selangor iaitu Kuala Muda Naza dan Negeri Sembilan Naza sebelum ini.

Selamat maju jaya Devan!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan