Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Juang mati-matian

Posted: 25 Nov 2011 02:39 PM PST

SKUAD Olimpik negara mempunyai seribu satu sebab untuk menundukkan Bahrain dalam perlawanan getir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Skuad kendalian Ong Kim Swee itu memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk terus bersaing dalam Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.


Namun lebih penting, skuad negara bakal beraksi di laman sendiri untuk perlawanan play-off bagi tiga pasukan kedua terbaik yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan sekiranya berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan C. "Saya serta pemain sudah mengetahuinya dan secara tidak langsung ia memberikan motivasi kepada kami untuk berjuang habis-habisan Ahad ini.

"Kami memerlukan tiga mata kerana pasukan yang tewas bakal tersingkir. Selain itu saya harap Jepun mampu menewaskan Syria bagi membolehkan jarak mata bagi pasukan di tempat kedua dan ketiga tidak terlalu jauh," kata Kim Swee selepas sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.


Sekiranya mampu menewaskan Bahrain, skuad negara akan meraih tiga mata selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini dengan Syria dan Jepun yang bertemu sesama sendiri kini mendahului Kumpulan C dengan mengumpul enam mata.


"Kami tidak mempunyai banyak pilihan dan perlu menekankan corak menyerang bagi mendapatkan keputusan yang positif namun pemain diingatkan supaya tidak terlalu ghairah dan ampuh bertahan.

"Strategi yang dirancang perlu betul kerana ini adalah perlawanan penentuan hidup mati dan saya percaya pemain mampu melaksanakannya," katanya yang turut mengkaji corak permainan lawan semasa Bahrain tewas kepada Syria (1-3) dan Jepun (0-2) baru-baru ini.


Menurut Kim Swee lagi, barisan pemainnya kelihatan sudah pulih daripada kepenatan selepas mempertahankan pingat emas Sukan Sea pada Isnin lalu dan percaya mereka mampu mengulangi persembahan seperti dipamer sewaktu temasya dwi tahunan itu.

Namun pengendali kelahiran Melaka itu berdepan masalah baru apabila pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad tidak cergas sepenuhnya kerana mengalami kecederaan hamstring dengan Mohammad Amer Saidin menjadi antara pilihan untuk diturunkan.


Dua tonggak utama, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ifran Fazail masih belum menjalani latihan sepenuhnya petang semalam dan peluang mereka untuk beraksi Ahad ini juga masih belum pasti.


Tiga pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik ke London 2012 manakala tiga pasukan di tempat ketiga akan merebut satu tempat untuk bertemu wakil dari Afrika sebelum layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Rajasegram bela KOM

Posted: 25 Nov 2011 02:33 PM PST

KETIKA pengurusan atasan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) belum memberi penjelasan tepat berhubung kontroversi Sukan Sea lalu, terutama kritikan terbuka atlet ratu lari berpagar negara, Noraseela Mohd Khalid (gambar), seorang ahli majlis KOM bangkit mempertahankan badan induk itu dan menafikan dakwaan atlet berusia 32 itu.

S Rajasegram, salah seorang Ahli Majlis KOM nyata tidak senang duduk apabila Noraseela yang meraih pingat emas Sukan Sea, baru-baru ini secara terbuka mengkritik dan melemparkan pelbagai tuduhan terutamanya soal KOM tidak menjaga kebajikan atlet serta menghantar kuartet emas 4x400m hanya pada saat akhir dan pulang ke tanah air tanpa sempat dikalung pingat.


Bagi Rajasegram, meskipun dirinya kerap mengkritik KOM, kali ini dia pantas mempertahankan KOM kerana menganggap tuduhan yang dilempar Noraseela itu keterlaluan.

"Bagaimana boleh dia membuat kenyataan KOM tidak melakukan apa-apa untuk membantu atlet-atletnya. "Tidakkah dia ingat sudah berapa ratus ribu KOM membiayai latihannya di luar negara tapi prestasinya setakat jaguh di Asia Tenggara saja? Adakah itu tidak mencerminkan KOM menjaga atlet-atletnya? "Awak (Noraseela) patut diam kalau tidak tahu perkara sebenar. Kalau rasa memang mahu membela dan menjaga kebajikan atlet, saya sendiri cabar dia bertanding pada pemilihan KOM akan datang.


"Pada masa ini, semasa dia masih menjadi atlet, tidak perlulah bercakap mewakili atlet lain. Pendek kata, jangan menggigit jari tangan yang menyuapkan anda," katanya.


Berhubung tuduhan Noraseela mengenai sikap negatif individu tertentu dalam KOM sehingga menjejaskan kemajuan atlet dan sukan olahraga negara, Rajasegram meminta atlet itu menyatakan dengan tepat siapakah individu yang dimaksudkan.

"Kalau dia beritahu secara terbuka, saya akan membawa aduannya itu pada mesyuarat KOM akan datang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan