Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rajasegram bela KOM

Posted: 18 Dec 2011 10:27 AM PST

"JANGAN kerana hanya nyamuk seekor, kelambu dibakar." Demikian sindiran pedas Ahli Majlis Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), S Rajasegram kepada pihak luar terutama bekas atlet yang tidak henti-henti mengkritik badan induk olahraga itu sejak kebelakangan ini.

Bukan mempertahankan persatuan itu, namun Rajasegram yang sering dikenali dengan sikap lantang mengkritik orang atasannya sendiri, berkata adalah tidak adil bagi bekas atlet seolah-olah terus meletakkan kesalahan di bahu semua kepemimpinan KOM berikutan beberapa kemelut yang tercetus.


Mengakui KOM sedang menghadapi kemelut dalaman ketika ini, Rajasegram berkata, pihak luar boleh mengkritik KOM, namun kritikan itu perlu lebih positif sekali gus membantu mereka untuk memperbaikinya pada masa depan.

"Jangan suka-suka lepas cakap beritahu semua kepemimpinan atasan KOM perlu undur diri kerana prestasi tidak memberangsangkan atlet kita.


"Mereka tak boleh kata begitu, kalau betul-betul menyayangi sukan olahraga, saya cabar bekas atlet ini bertanding pada pemilihan KOM akan datang," katanya.


Jelas Rajasegram, untuk mengkritik memang mudah tetapi bagi individu yang bekerja dalam badan induk olahraga itu, mereka terpaksa mengorbankan segala-galanya bagi memastikan apa yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Tahukah mereka yang kami terpaksa berkorban duit dan masa bersama keluarga? Janganlah asyik mengkritik saja. Sebab beberapa individu dalam KOM yang menimbulkan masalah, semua jadi mangsa.


"Janganlah pula ambil kesempatan daripada kemelut yang melanda KOM untuk terus mengkritik kami," katanya.

Baru-baru ini, bekas atlet negara, Zaki Sadri secara terbuka mengkritik pengurusan KOM dengan mencadangkan supaya semua pemimpin atasan berundur dengan cara terhormat iaitu dengan meletakkan jawatan dan memohon maaf kerana gagal menerajui badan induk itu selepas sekian lama.


Cadangan Zaki itu berikutan rasa kecewanya terhadap KOM yang ketika ini dilihat gagal dalam menjalankan tugas serta sering mencetuskan kontroversi.

Full content generated by Get Full RSS.

Lauretta, Arfy tunjuk taring raih emas

Posted: 18 Dec 2011 09:32 AM PST

PELUMBA berbasikal trek pelapis negara menutup tirai Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam dengan menyumbang dua pingat emas.

Kedua-dua pingat emas dipungut oleh Lauretta Eva Adrian dan Muhd Arfy Qhairant Amran, masing-masing dalam acara keirin remaja wanita dan lelaki.


Bagi Lauretta Eva, 17, kemenangan pingat emas itu adalah di luar jangkaan dan pingat emas pertama yang pernah dimenanginya.

"Saya tidak sangka dapat meraih pingat emas. Saya hanya sempat berlatih cuma seminggu saja sebelum kejohanan ini bermula kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.


"Saingan sememangnya sengit dan saingan utama saya adalah pelumba dari Iran, dia begitu kuat," kata pelumba yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu.


Pada perlumbaan acara keirin remaja wanita itu, Lauretta Eva yang mencatat masa 13.781 saat berjaya mengatasi saingan daripada Reihaneh Talebisomeehsaraei dari Iran dengan perbezaan hanya 0.001 saat.

Lauretta Eva berharap dia mampu meraih pingat emas dalam acara sama pada Kejohanan Berbasikal Asia Februari depan.


Sementara pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba negara Umi Hamimah Mohamad dengan catatan masa 14.136s.

Bagi Muhd Arfy Qhairant, ia adalah pingat emas keduanya apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dimenanginya pada siri kejohanan yang sama tahun lalu.


Pingat perak acara itu dimenangi Warayut Kapunya dari Thailand manakala pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Malek Marcus McCrone.


Dalam kategori elit keirin lelaki, wakil negara Mohd Fattah Amri hanya meraih pingat gangsa, sementara pingat emas dan perak dimenangi dua pelumba Iran, Mahmoud Parash dan Mahmoud Rasouli.


Secara keseluruhan Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan