Kosmo Online - Sukan |
Posted: Harimau Muda lepas geramOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
BAGAIKAN harimau yang kelaparan.Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan prestasi skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee yang tampil garang untuk membelasah Central South Mariner 4-1 pada perlawanan persahabatan terakhir mereka di bumi Australia semalam. Tewas pada aksi kedua kepada pasukan yang sama di Sydney pada 14 Disember lalu nyata tidak mematahkan semangat skuad remaja negara itu, malah mereka tampil dengan rentak yang lebih bertenaga dan terancang. Dua gol daripada Ahmad Hazwan Bakri dan satu gol masing-masingnya dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani dan A. Thamil Arasu sudah cukup untuk membuktikan betapa mereka inginkan kemenangan sebelum kembali ke tanah air hari ini. Kehadiran Mohd. Muslim Ahmad yang baru pulih daripada kecederaan betis turut memberikan impak kepada benteng pertahanan negara dalam mengekang asakan pasukan tuan rumah. Bagi Kim Swee, dia merupakan individu paling gembira dengan kemenangan tersebut kerana ia dicapai dengan gaya yang sungguh memberangsangkan. Menurutnya, semua pemain beraksi cemerlang dan mereka betul-betul mempergunakan kelebihan yang ada pada diri masing-masing. "Saya amat berpuas hati dengan prestasi semua pemain. Barisan serangan pada hari ini (semalam) amat berjaya terutama Hazwan yang telah menjaringkan dua gol. Fakri dan Thamil juga tidak mengecewakan saya. "Sebenarnya kami memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan ketika menentang Central South Mariner pada babak kedua perlawanan namun nasib tidak menyebelahi kami. "Saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh skuad ini. Ini menunjukkan satu keputusan sangat positif yang dilihat sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi Liga Singapura dan kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 22 tahun pada tahun hadapan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Sydney semalam. Selain dua kejohanan penting itu, Kim Swee juga menegaskan beliau mahu membina satu pasukan yang lebih mantap untuk jangka masa panjang dalam menghadapi saingan temasya Sukan SEA 2013 Myanmar kelak. "Sudah tentu kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap prestasi pemain muda ini untuk terus membina satu pasukan yang lebih kuat bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang. "Dengan pendedahan perlawanan bermutu tinggi seperti ini, saya amat mengharapkan pemain dapat memanfaatkan segala pengalaman dan peluang untuk terus tampil dengan aksi terbaik dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Bahrain pada tahun depan. "Paling mustahak, mereka harus mengekalkan konsistensi dalam corak dan rentak permainan masing-masing," katanya. Full content generated by Get Full RSS. | |
Gelisah cari pengganti Chong Wei Posted: Gelisah cari pengganti Chong WeiZULFADHLI antara pemian muda yang dilihat mampu menggantikan Chong Wei. JAGUH China, Lin Dan belum sampai ke penghujung kariernya tetapi dia kini sudah mempunyai pelapis yang tidak kurang hebatnya. Chen Long baru berusia 22 tahun dan masa depannya dalam sukan badminton sangat cerah. Lin Dan pula sudah tidak perlu bimbang kerana kecemerlangan China dalam sukan tersebut pasti berterusan dengan kehadiran beberapa pemain pelapis sehebat Chen Long. Tetapi senario di Malaysia berbeza. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak senang duduk berbanding China. Setiap hari BAM dalam kegelisahan memikirkan siapa yang bakal menggantikan pemain perseorangan No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei. Sehingga kini masih belum ada tanda siapa yang layak bergelar pelapis berwibawa, yang sehebat Chen Long. Kalau ada pun, mereka masih belum layak bergelar pengganti kerana kurang memperlihatkan konsistensi di pentas antarabangsa. Sebelum ini, ada beberapa nama yang difikirkan layak menjadi pelapis kepada Chong Wei seperti Mohd. Arif Latif, Zulfadhli Zulkifli tetapi 'disiplin' mereka di pentas antarabangsa masih belum meyakinkan. Pencapaian juga kurang meyakinkan berbanding pemain pelapis China yang sudah mampu menawan dunia pada usia awal 20-an. Menyedari kelemahan itu, BAM tiada pilihan lain kecuali terus 'melanyak' Chong Wei dalam semua kejohanan sehingga kadangkala menyaksikan pemain No. 1 dunia itu sudah tidak berdaya untuk mencipta kemenangan. Sepanjang tahun 'didera' untuk menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Bila sudah terlalu kerap beraksi, maka gaya permainannya mudah dibaca pemain lawan, khususnya musuh utama, China. Mungkin atas alasan tersebut, Chong Wei mudah dijinakkan pemain muda China, Chen Long pada Kejohanan Siri Super Dunia Akhir baru-baru ini. Bukan Chong Wei tidak hebat tetapi dia sudah terlalu letih 'didera' sepanjang tahun. Sudah tiba masanya bagi BAM untuk lebih berani memberi kepercayaan kepada barisan pemain muda negara beraksi di pentas antarabangsa. Jika tidak, kumpulan pelapis ini tidak akan mencapai tahap permainan matang sehingga mereka bersara. Banyak yang boleh dijadikan contoh seperti Muhd. Hafiz Hashim yang terus gagal mempamerkan aksi konsisten di pentas antarabangsa. BAM juga harus sedar bahawa Chong Wei sudah semakin berada di penghujung karier. Dia tidak boleh lagi dikerah sepanjang tahun. Chong Wei perlukan rehat dan kalau boleh, beri kelonggaran kepadanya untuk hanya beraksi pada kejohanan tertentu sahaja. Pemain muda seharusnya diberi lebih banyak peluang beraksi. Tak perlu fikirkan kemenangan terlebih dahulu, yang penting mereka ini perlu kerap diberi pendedahan di pentas antarabangsa. Begitu juga dengan barisan pemain wanita. Selepas Wong Mew Choo, Malaysia nampaknya terus ketandusan pemain yang hebat. Setakat ini, saya belum nampak lagi pengganti yang mampu menggegar dunia selepas persaraan Mew Choo. Kalau di China, pemain perseorangan wanita boleh diibaratkan sebagai 'tumbuh macam cendawan'. Selepas persaraan Zhang Ning, lahir pemain seperti Wang Shixian, Wang Yihan mahupun Wang Xin dan mereka ini bila-bila masa sahaja mampu menawan dunia. Tetapi pemain wanita kita tetap kekal sebagai 'jaguh kampung'. Hanya satu sahaja cara yang dilihat mungkin boleh membantu mematangkan mereka iaitu mendedahkan pemain di pentas antarabangsa seawal usia 17 tahun. Jika Chong Wei gugur, maka berakhirlah penguasaan Malaysia. Full content generated by Get Full RSS. | |
Posted: Yang terbaik sah datangOleh HELMI TALKAH KEJOHANAN Badminton Siri Super Maybank Terbuka Malaysia 2012 bakal menyaksikan penyertaan 10 pemain terbaik dunia dalam semua kategori. Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai, kesemua pemain yang berada pada kedudukan ranking 10 terbaik dunia telah mengesahkan penyertaan mereka selepas tarikh tutup 6 Disember lalu. "Kecuali dalam acara beregu wanita yang menyaksikan beregu No. 2 dunia dari China (Tian Qing Zhao Yunlei) gagal hadir, kesemua pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia telah mengesahkan penyertaan mereka pada Terbuka Malaysia kali ini. "Kami (BAM) berbangga apabila dapat menarik penyertaan 10 pemain terbaik dunia dalam semua kategori untuk beraksi pada Terbuka Malaysia kali ini. "Namun, memandangkan Terbuka Malaysia hanya bertaraf Siri Super dan bukan merupakan kejohanan yang wajib disertai, kami tidak boleh menghalang mana-mana pemain untuk menarik diri pada saat-saat akhir," kata Chin Chai ketika dihubungi Kosmo! semalam. Dalam acara perseorangan lelaki, kesemua 10 pemain yang menduduki ranking tertinggi akan beraksi termasuk jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan (China), Chen Long (China), Peter Hoeg Gade (Denmark) dan Chen Jin (China). Tiga pemain China, Wang Yihan, Wang Shixian, Wang Xin, Saina Nehwal (India), Tine Baun (Denmark) pula akan menghiasi cabaran dalam acara perseorangan wanita. Begitu juga dalam acara beregu lelaki, wanita dan campuran yang mana bakal menyaksikan perebutan gelaran juara di antara kelompok 10 pemain terbaik dunia. Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada acara perseorangan lelaki kerana peminat-peminat sukan dunia pastinya mahu menyaksikan pertembungan klasik antara Chong Wei dengan Lin Dan di final. Jika berdasarkan ranking, Chong Wei bakal diletakkan selaku pemain pilihan pertama kejohanan, manakala Lin Dan pemain pilihan kedua ketika undian dijalankan nanti. Situasi itu akan membuatkan kedua-dua pemain tersebut tidak akan bertembung di peringkat awal sebaliknya hanya akan bertemu sekiranya mereka layak sehingga ke pentas final. Terbuka Malaysia 2012 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$400,000 (RM1.272 juta) bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula 10 hingga 15 Januari tahun depan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan