Utusan Online - Sukan |
Posted: Nazmi janji 'tidak hanyut'Oleh FERZALFIE FAUZI
PETALING JAYA - Pemain muda berbakat, Nazmi Faiz Mansor tidak mahu tenggelam dalam populariti sekelip mata yang dikecapinya selepas membantu skuad bola sepak negara mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA XXVI baru-baru ini. Populariti pemain kelahiran Kuala Lumpur itu semakin memuncak selepas menjaringkan gol cantik menentang Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik baru-baru ini, sehingga disenaraikan oleh laman web www.101greatgoals.com antara 10 gol tercantik pada minggu tersebut. Apa yang pasti, biarpun berstatus 'superstar muda', Nazmi, 23, tidak mahu hanyut dalam populariti sebaliknya hanya fokus untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi. Nazmi juga tidak mempedulikan soal remeh yang lain termasuk gosip dengan artis tempatan walaupun mengakui terkejut dengan sambutan menggila peminat bola sepak negara terutamanya peminat wanita. "Pada mulanya saya terkejut dengan perkara ini tetapi saya sudah tanamkan diri agar tidak cepat berpuas hati sebaliknya terus fokus kepada prestasi saya di atas padang. "Jurulatih Ong Kim Swee juga memberikan nasihat supaya seboleh-bolehnya saya tidak melayan perkara yang tiada kaitan dengan bola sepak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad bawah 23 negara di Wisma FAM semalam. Populariti Nazmi menyebabkan pemain itu digosip dengan pelakon muda baru-baru ini. Nazmi mempunyai dua akaun laman sosial facebook yang dibuka oleh peminatnya. Selepas perlawanan menentang Bahrain yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3 baru-baru ini, kedua-dua akaun facebook pemain tersebut menjangkau lebih 60,000 pengunjung. Mengenai cita-cita besar dalam kariernya, Nazmi berkata dia mahu beraksi di luar negara. Dia yang dikatakan mempunyai iras pemain antarabangsa Brazil, Kaka berkata, dia tidak kisah beraksi luar negara termasuk di Indonesia, seperti mana yang dilakukan oleh penyerang skuad senior, Safee Sali. "Sekarang saya perlu mempersiapkan diri dan mencari jalan penyelesaian agar kekejangan otot yang sering dialaminya sejak di tingkatan dua lagi mampu sembuh secepat mungkin," katanya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Nicol wajar dijulang tokoh sukan Posted: Nicol wajar dijulang tokoh sukan
PUTRAJAYA - Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David wajar dijulang sebagai tokoh sukan paling berjaya dalam sejarah negara apabila mampu mempertahankan gelaran Pemain Terbaik Dunia sebanyak enam kali berturut-turut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, kejayaan yang dicapai Nicol itu adalah satu pencapaian yang belum pernah dicapai oleh sesiapa dalam sejarah negara. "Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nicol," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pemain No. 1 dunia itu di pejabat beliau di sini, semalam. Turut hadir ayah dan ibu Nicol, Desmond David dan Anne Marie David serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak. Najib berkata, diharapkan kejayaan Nicol itu, akan menjadi pendorong serta penguat semangat kepada atlet sukan bukan sahaja dalam arena skuasy tetapi juga sukan lain. "Nicol juga patut dijadikan contoh ikutan, beliau merupakan seorang ikon sukan yang paling berjaya dalam sejarah negara kita," katanya. "Diharapkan Nicol akan terus mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang, seterusnya meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk sukan negara terutamanya skuasy, kata beliau. Sementara Nicol berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini, merupakan satu peluang yang amat bermakna buat diri dan kedua-dua ibu bapanya. "Ia adalah satu penghormatan untuk saya dan keluarga untuk mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih atas segala sokongan," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan