Kosmo Online - Sukan |
Posted: Hanya mahu menangOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
FOKUS untuk menang. Itulah misi utama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek menjelang cabaran pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau pada 13 sehingga 19 Februari ini. Rashid yang mengakui persiapan skuadnya berjalan dengan lancar, menuntut komitmen seratus peratus daripada barisan pemainnya apabila diundi bertemu dengan Korea Selatan dan Hong Kong. Katanya, tekanan tetap dirasai tetapi apa yang lebih penting adalah komitmen daripada semua pemain bagi menjamin kemenangan sekali gus layak ke pusingan akhir di Wuhan, China Mei depan. "Menang dan kalah adat permainan tetapi matlamat kami adalah untuk meraih kemenangan. "Tekanan itu tetap ada tetapi buat masa ini semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam. Jelasnya, beliau berharap pemain-pemain dapat menunjukkan aksi yang memberangsangkan pada ujian simulasi sebagai persediaan terakhir sebelum mengharungi pusingan kelayakan minggu depan. Tambahnya, beliau mahu mempersiapkan pemain-pemainnya dari segi mutu permainan selain meningkatkan tahap keyakinan mereka. "(Ujian simulasi) sangat penting buat semua pemain bagi meningkatkan (tahap) keyakinan mereka. "Saya berharap tiada masalah akan berlaku dan pemain-pemain dapat memberikan yang terbaik pada ujian simulasi esok (hari ini), yang dianggap seperti perlawanan sebenar," ujarnya. Pada ujian itu kelak, Datuk Lee Chong Wei akan menguji kekuatan Muhammad Hafiz Hashim manakala Liew Darren akan bertemu Mohd. Arif Abdul Latif. Misbun Ramdan Misbun pula akan diuji menentang Chong Wei Feng. Sementara bagi perlawanan beregu pula, Goh V Shem-Teo Kok Siang akan bertemu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Bagi skuad Piala Uber pula, Lydia Cheah akan bertemu Tew Gee Chong, Tee Jing Yi bertemu Kuan Kam Chung untuk acara perseorangan manakala beregu akan menyaksikan Chin Ee Hui-Wong Pei Tty bertemu Wong Fun Yin-Tan Aik Quan, Menurut Rashid, daripada ujian itu kelak, dia mungkin dapat mengenal pasti kelemahan setiap pemain dan selepas itu akan cuba mengatasinya. "Kita masih ada beberapa hari lagi untuk memantapkan persembahan pasukan dan saya yakin segala kelemahan yang ada dalam pasukan mampu diatasi. "Pemain juga perlu mengekalkan komitmen kerana ia akan membantu mereka menampilkan rentak permainan yang lebih meyakinkan. "Semua pemain tahu dan sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu mereka perlu sentiasa mengekalkan tahap keyakinan agar fokus mereka terhadap permainan tidak lari. "Jika semua pemain memiliki keazaman seperti ini, saya yakin misi untuk melangkah ke pusingan akhir akan dapat direalisasikan," jelas Rashid. | |
Piala Uber: Yin Loo intai pusingan akhir Posted: Piala Uber: Yin Loo intai pusingan akhirGANDINGAN Liu Ying dan Yin Loo mahu pastikan skuad negara mara ke pusingan akhir Piala Uber 2012. PEMAIN beregu wanita negara, Lim Yin Loo, 23, berharap dapat beraksi sehingga ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Uber 2012 di Wuhan, China Mei depan. Pada cabaran kelayakan di Macau minggu depan, skuad Piala Uber negara diundi bersama China dan India. Yin Loo akan bergandingan dengan Goh Liu Ying pada pusingan kelayakan dan berharap gandingan mereka mampu menghadiahkan mata buat skuad negara. Turut memperkuatkan skuad negara ialah gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei. "Saya percaya setiap pemain mempunyai sasaran tersendiri untuk membantu skuad negara melangkah ke pusingan akhir dan saya yakin misi itu mampu dicapai jika kami terus fokus terhadap perlawanan. "Walaupun saingan tahun ini merupakan penyertaan pertama saya pada Piala Uber namun saya tetap meletakkan sasaran untuk membantu skuad negara mara sehingga ke pusingan akhir," kata Yin Loo ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. Meskipun pernah menewaskan beregu dari India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dengan keputusan 18-21, 21-14, 21-16 ketika Grand Prix (GP) Emas Terbuka India pada pusingan pertama, tahun lepas, namun Yin Loo tetap tidak mahu berasa terlalu yakin. Menurutnya, jika mereka bertemu lagi pada kempen kelayakan ini, dia berharap dapat mengulangi pencapaian tersebut. Jelasnya, dia pun belum pasti lagi pasangan mana akan menjadi pencabar mereka apabila bertemu India pada kempen kelayakan itu kelak. | |
Posted: Kontroversi mematangkan ApekPERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyifatkan kontroversi yang melanda penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek (gambar) merupakan sebahagian daripada proses mematangkan pemain berkenaan. Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjaga gol No. 1 negara itu perlu diberikan peluang secukupnya untuk dia kembali ke kehidupan yang sebenar. "Apek sedang melalui satu proses di mana beliau sedang menempuhi tempoh masa yang akan mematangkan diri beliau sendiri. Sebab itu kita kena bagi ruang secukup-cukupnya kepadanya untuk kembali ke landasan kehidupan sebenarnya. "Kita kena akui dia menjadi popular dalam masa yang singkat dan segala tindak-tanduknya mendapat perhatian ramai termasuk orang-orang muda," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda pengaja gol terbaik Asia itu. Kosmo! semalam melaporkan seorang pemilik butik, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau 'Leuniey' tampil menafikan ada hubungan dengan Apek. Malah, gadis berkulit putih itu turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa tonggak utama pasukan bola sepak Kelantan itu menjadi punca dia memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini. Annuar memberitahu, beliau percaya segala kontroversi yang melanda penjaga gol berusia 23 itu sebelum ini tidak bermaksud mempunyai niat yang tidak baik memandangkan Apek bukanlah seorang individu yang memberi masalah sama ada di luar mahu pun di dalam padang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan