Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan ganggu fokus Apek

Posted:

Jangan ganggu fokus Apek

Jangan ganggu fokus Apek

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my


Khairul Fahmi Che Mat


KOTA KINABALU - Pengurusan skuad Kelantan meminta pihak media tidak menemubual penjaga gol mereka, Khairul Fahmi Che Mat pada sesi latihan pasukan itu di sini, semalam menjelang perlawanan Liga Super menentang Sabah hari ini.

Hasrat itu disuarakan pengurus skuad Red Warriors Azman Ibrahim yang meminta jasa baik media untuk tidak menemubual penjaga gol No. 1 negara itu.

Sebelum ini Apek didakwa mempunyai hubungan dengan seorang pemilik butik, Nur Ellunie Natasha Nazri atau Leuniey namun dinafikan oleh gadis tersebut, kelmarin.

Azman berkata, dia tidak mahu fokus Apek terganggu menjelang pertembungan dengan Sabah.

Katanya, apatah lagi skuad Olimpik negara yang diperkuatkan dengan kehadiran Apek, tumpas kepada Bahrain pada perlawanan Kelayakan Olimpik.

"Apek baru tiba di Malaysia selepas perlawanan menentang Bahrain. Dia masih penat dan saya tidak mahu dia dibebani lagi dengan sebarang persoalan daripada media.

"Ini mungkin mengusutkan tumpuannya bagi menghadapi perlawanan menentang Sabah," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Kelantan semalam.

Mengenai perlawanan hari ini, Azman berkata, keupayaan Sabah beraksi baik di hadapan penyokong sendiri memberi tamparan hebat buat pendahulu Liga Super, Kelantan pada aksi di Stadium Likas, malam ini.

Menurutnya, Sabah yang mempunyai rekod sempurna di laman sendiri pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Red Warriors untuk mengutip tiga mata penuh.

Katanya, biarpun Sabah berada pada tangga ke-11 liga, ia bukan kayu pengukur sebenar kepada keupayaan pasukan dari Borneo itu, terutama beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kita tahu bahawa Sabah pastinya akan memberi tentangan sengit buat Kelantan pada pertemuan malam esok (hari ini).

"Namun saya berharap Kelantan akan dapat beraksi pada tahap terbaik dan mampu membawa pulang tiga mata penuh," katanya.

Koo-Tan mungkin tidak berganding lagi

Posted:

Koo-Tan mungkin tidak berganding lagi

Koo-Tan mungkin tidak berganding lagi

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bukan saja bakal dipecahkan pada kejohanan kelayakan Piala Thomas minggu depan, malah mungkin berdepan perpisahan kekal sebaik Sukan Olimpik London berakhir, Ogos ini.

Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her mungkin tidak melibatkan pasangan No. 6 dunia itu apabila melakukan rombakan beregu minggu ini, namun mereka pasti tidak akan terlepas jika gagal pada Olimpik London.

Kim Her mengakui, ketika ini tiada siapa pun yang mendapat jaminan akan kekal sebagai satu gandingan, termasuk Kien Keat dan Boong Hong. Namun, memandangkan Sukan Olimpik sudah terlalu dekat, beregu utama itu 'selamat' untuk seketika daripada sebarang tindakan.

"Saya mahu mencuba beberapa kombinasi bermula dari sekarang sampai ke hujung tahun kerana sasaran kita memiliki pasangan yang mantap memasuki 2013. Jadi, dalam tempoh itu semua pemain harus bersedia menerima pasangan baru dan mereka akan diuji dalam beberapa kejohanan.

"Saya tidak rasa Goh V Shem dan Lim Khim Wah berpeluang untuk layak ke Olimpik 2012 kerana ranking mereka terlalu jauh (33). Memang proses kelayakan masih berlangsung sehingga hujung April ini, tetapi secara realistik mereka memang tiada peluang, sebab itu saya tidak mahu buang masa dan terus memecahkan gandingan ini.

"Mengenai Koo dan Tan, tiada apa yang pasti setakat ini. Namun, mereka layak ke Sukan Olimpik, jadi biar mereka bertanding dan kita akan persiapan pasangan ini dengan sebaiknya untuk mencari pingat pada temasya itu. Kita akan buat apa saja yang perlu untuk mengembalikan mereka sebagai pasangan terbaik.

"Begitupun apa yang akan berlaku selepas Olimpik? Saya bukan saja tidak boleh jawab sekarang, malah saya tidak boleh jamin mereka akan dikekalkan. Ia terpulang kepada apa yang akan berlaku di London dan apa yang mereka mampu berikan sebagai satu pasangan," kata Kim Her.

Sejak mempamer kemunculan sensasi dalam arena badminton antarabangsa dengan menjuarai Sukan Asia 2006 dan All England 2007, Kien Keat-Boon Heong gagal melakar kemenangan besar yang lain. Tahun lalu, mereka tidak memenangi sebarang gelaran utama, dan hanya menutup tirai dengan satu kejuaraan, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia.

Pencapaian itu agak mengejutkan buat pasangan yang menutup 2010 dengan muncul naib juara dunia dan naib juara Sukan Asia. Pencapaian terbaik mereka sepanjang 2011 adalah bergelar naib juara All England, tetapi kemudian kalah semua perlawanan peringkat kumpulan pada Siri Super Akhir di China, Disember lalu.

Kecewa dengan prestasi yang semakin merudum, Kien Keat-Boon Heong mengambil keputusan mengejut minta untuk dipisahkan daripada Rexy Mainaky dan bertukar jurulatih baru, Pang Cheh Chang, September lalu.

Begitupun, perubahan itu masih gagal memulihkan prestasi mereka. Malah pasangan ini membuka tirai 2012 dengan penyingkiran seawal pusingan pertama Terbuka Korea, sebelum kalah di peringkat yang sama pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

"Koo dan Tan benar-benar menunjukkan kesungguhan hendak berubah dan mengembalikan kegemilangan mereka. Semua itu boleh dilihat dalam sesi latihan, mereka selalu datang awal dan banyak melakukan latihan tambahan.

"Saya amat yakin mereka mampu kembali seperti dulu, cuma bukan dalam masa terdekat. Saya tidak rasa impak akan ditunjukkan dengan ketara pada kelayakan Piala Thomas (13-19 Februari) atau All England (6-11 Mac), tetapi mungkin dua bulan dari sekarang," ujar anggota Pasukan Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan