Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sejarah tercipta

Posted:

Sejarah tercipta

Sejarah tercipta

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

FATEHAH


RATU pecut negara, Fatehah Mustapa mencipta sejarah dalam sukan lumba basikal tanah air.

Dia muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi velodrom tersebut berjaya menyuntik semangat pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu untuk melakukan henjutan bertenaga pada 50 meter terakhir sekali gus mengejutkan pelumba pilihan, Lee Wai Sze dari Hong Kong.

Fatehah, 23, memenangi emas acara tersebut dengan catatan masa 11.672 saat menewaskan pelumba China, Xu Yulei di tempat kedua dan Wai Sze di tempat ketiga.

Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu juga menyumbang pingat perak dalam acara pecut wanita elit dan gangsa dalam 500m ujian masa wanita elit.

"Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini dan berasa sangat puas kerana berjaya menebus kehampaan dalam acara pecut dua hari lepas," kata Fatehah semalam.

"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada ibu dan bapa saya serta John (Beasley, jurulatih) yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada saya.

"Emas ini juga ditujukan kepada semua penyokong Malaysia yang hadir di velodrom ini kerana sorakan dan sokongan padu mereka telah banyak menyuntik semangat saya," katanya.

Menurut Fatehah, strateginya untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Wai Sze nyata berhasil kerana pelumba yang mendahului perlumbaan tersebut semalam, Xu Yulei lebih memberi tumpuan kepada Wai Sze dan memberi kelebihan kepadanya untuk menyerang secara mengejut.

"Sebelum perlumbaan, John ada beri arahan supaya mengekori belakang Wai Sze kerana dia paling kuat dalam acara ini dan ternyata strategi itu berhasil kerana pelumba China terpaksa memberi tumpuan kepada pelumba Hong Kong itu.

"Jadi, ia satu kelebihan buat saya untuk melakukan serangan mengejut dan terus membuat henjutan sekuat hati sehingga ke garisan penamat," kata Fatehah.

Fatehah kini hampir pasti beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 London kerana selepas kejayaan ini menyaksikan dia berada di tempat kedua dalam pungutan pelumba Asia di belakang pelumba China.

Selepas ini dia akan menyertai siri Trek Piala Dunia Klasik di London, 17 hingga 18 Februari ini bagi mengumpul mata ke Olimpik.

Irfan hilang kata-kata

Posted:

Irfan hilang kata-kata

Irfan hilang kata-kata

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


RUDIE yang kini mewakili PKNS, menjadi pemusnah terhadap impian Selangor untuk meraih tiga mata malam kelmarin.


'RAJUK dalam diam' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim sememangnya bukan dibuat-buat.

Selain 'berserabut' memikirkan masalah ketumpulan penyudah jentera serangan Gergasi Merah yang masih belum ternoktah, tewas 0-2 di tangan 'adik' sendiri, Selangor PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin juga mengundang kemurkaan Irfan.

Meskipun tidak menyalahkan seratus peratus kekalahan kelmarin kepada barisan pemainnya, Irfan begitupun menuntut supaya pemain Selangor kembali bangkit mempamerkan kejantanan ketika melayan kunjungan pendahulu liga, Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu nak kata apa apabila kami tewas ketika berdepan PKNS walaupun menguasai sebahagian besar permainan.

"Inilah bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Saya harap pemain Selangor dapat melupakan kekalahan memilukan ini dan menebusnya semula ketika berdepan Kelantan nanti (malam esok)," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perlawanan itu, dua gol PKNS dijaringkan oleh bekas pemain Merah Kuning, Rudie Ramli pada minit ke-35 dan juga Helmi Remeli pada minit ke-61.

Ia merupakan kemenangan pertama skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dalam saingan Liga Super musim ini selepas seri lima kali dan tewas sekali sebelum ini sekali gus mengutip lapan mata, satu mata di belakang Selangor.

Sementara itu, ini merupakan kekalahan kedua Gergasi Merah selepas turut tewas kepada Felda United sebelum ini.

Menurut Irfan, keghairahan anak buahnya melakukan asakan bertali-arus dalam perlawanan itu juga mengundang padah apabila dihukum serangan kilat pemain PKNS.

"Sebelum perlawanan, saya sudah ingatkan pemain supaya berhati-hati memandangkan barisan pemain PKNS yang rata-ratanya merupakan bekas pemain Piala Presiden Selangor pastinya mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu.

"Tidak mengapalah, ini pengajaran berguna yang diperolehi pemain saya dan saya pasti mereka akan membuktikan sesuatu ketika menentang Kelantan nanti.

"Malah, saya juga berharap masalah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang membelenggu pemain import dari Croatia, Bosko Balaban dapat diselesaikan esok (hari ini) sebelum dapat diturunkan ketika berdepan Kelantan," katanya.

Kelantan kembali menerajui takhta liga

Posted:

Kelantan kembali menerajui takhta liga

Kelantan kembali menerajui takhta liga

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


NORSHAHRUL (kanan) cuba dihalang pertahanan Terengganu, Muslim Ahmad pada aksi di Kota Bharu malam kelmarin.


PASUKAN The Red Warriors tampil membuktikan statusnya sebagai gergasi bola sepak Pantai Timur apabila menumbangkan seteru utamanya Terengganu 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, kelmarin.

Kemenangan tersebut memberikan kelegaan buat pengendalinya, Peter Butler selepas hanya mampu memungut satu ketika berkunjung ke Kota Kinabalu, Rabu lalu.

Tanpa berselindung, pengendali yang kaya dengan pengalaman itu berkata kemenangan tersebut adalah hasil kerja keras dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya sepanjang perlawanan tersebut.

"Selepas seri dengan Sabah minggu lalu, kita ada buat perancangan untuk menghadapi perlawanan ini dan hasilnya kita dapat memungut tiga mata di tempat sendiri.

"Saya gembira dengan keputusan ini. Terengganu bukanlah satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan, mereka ada ramai pemain yang hebat dan berkualiti," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di hadapan 17,000 penyokong sendiri mempamerkan aksi bertenaga apabila melancarkan serangan awal ke kubu pelawat sehingga memaksa Mohd. Sharbinee Alawee bekerja keras untuk menyelamatkan pintu golnya daripada di bolosi.

Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-37 menerusi jaringan peledak sensasinya Norshahrul Idlan Tahala atau The Linesman selepas bijak menyempurnakan hantaran rakannya.

Kapten Kelantan Mohd. Badri Radhi turut meletakkan nama selaku penjaring The Red Warriors apabila berjaya mencetak gol kedua tuan rumah pada minit ke-54, sebelum Abdul Manaf Mamat menghadiahkan gol saguhati untuk pelawat pada minit-minit terakhir perlawanan.

Dalam pada itu, Peter Butler mengakui jaringan awal yang diperoleh Kelantan pada minit ke-37 merupakan titik kebangkitan pasukannya pada perlawanan tersebut.

"Saya akui jaringan tersebut cukup penting buat kita dan ia merupakan satu motivasi untuk semua pemain bekerja dengan lebih keras dalam perlawanan tersebut," ujarnya.

Bekas pemain West Ham United itu turut menghamburkan pujian kepada dua tonggaknya Nurul Azuan Roya dan S. Chanturu yang telah menunjukkan mutu permainan yang menarik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan