Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Fatehah lakar sejarah berbasikal

Posted:

Fatehah lakar sejarah berbasikal

Fatehah lakar sejarah berbasikal

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my


Fatehah Mustapa meraikan kejayaan menjuarai keirin wanita pada Kejohanan Berbasikal Asia di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, semalam. - Bernama


KUALA LUMPUR - Malaysia bukan saja cemerlang menutup hari terakhir acara trek Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dengan menokok dua pingat emas, malah Fatehah Mustapa melakar sejarah sukan tanah air apabila muncul pelumba wanita pertama negara memenangi emas kejohanan itu.

Penantian Fatehah untuk bergelar juara Asia sejak 2008 akhirnya tercapai semalam selepas berjaya menjuarai acara keirin di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Fatehah membuktikan dia kini pelumba yang perlu diberi perhatian oleh pencabar serantau menjelang Sukan Olimpik 2012 London dengan kejayaan menjadi pelumba wanita Malaysia pertama meraih emas ACC sejak kejohanan diperkenalkan pada 1963.

Pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu, mengenepikan pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze yang menjadi pilihan utama untuk memenangi emas, namun sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa, manakala perak milik pelumba China, Xu Yulei.

"Saya hanya ikut belakang dia (Wai Sze), menunggu dengan penuh sabar apabila tiba di selekoh terakhir dan apabila masanya tiba, saya mengerah segala kudrat yang ada untuk sampai di garisan penamat terlebih dahulu," kata Fatehah selepas tamat saingan.

Jelasnya, Wai Sze terpaksa bekerja sendirian untuk menghalang pelumba China dan ini membolehkannya menyimpan tenaga dengan hanya perlu bertindak selepas tiba masa yang sesuai.

Kemenangan ini turut menebus kekecewaan sekadar meraih perak dalam acara pecut dan gangsa ujian masa 500 meter sebelum ini.

"Saya puas hati sangat, pada masa yang sama tidak menyangka dapat meraih pingat emas, pingat ini saya hadiahkan kepada John (Beasley) dia banyak tolong saya selama ini. Jatuh bangun pelumba adalah di tangan jurulatih, apa yang dibuat semuanya adalah untuk saya.

"Pingat emas pertama ACC ini adalah rezeki yang bermakna buat saya, kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Menjelang Siri Piala Dunia Klasik di London saya tidak boleh terlalu yakin, ramai pelumba lain yang hebat akan turun beraksi," katanya yang akan berangkat ke London hari ini.

Fatehah pernah meraih perak dalam acara keirin di ACC Nara, Jepun tiga tahun, diikuti di Kalimantan setahun kemudian.

Selepas mengambil bahagian dalam Siri Piala Dunia Klasik London, Fatehah akan terus mencari mata Olimpik pada Kejohanan Trek Dunia di Melbourne pada April depan dan melihat pada ranking keirin wanita terini, dia adalah pelumba kedua terbaik dunia di belakang Guo Shuang dari China.

Sementara itu, Josiah Ng melengkapkan kejuaraan berganda Malaysia dalam acara keirin selepas muncul juara lelaki, mengalahkan Mohd. Azizulhasni Awang.

Bagai dapat peluang kedua - Josiah

Posted:

Bagai dapat peluang kedua - Josiah

Bagai dapat peluang kedua - Josiah

KUALA LUMPUR - Ada kisah tersendiri di sebalik kejayaan Josiah Ng menjuarai acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) semalam, iaitu kemenangan pertamanya pada kejohanan berprestij itu.

Josiah, 31, mengakui dia adalah pelumba yang paling lambat menyumbang emas dalam ACC sedangkan pelumba lebih muda darinya yang baru menyertai acara trek sudah boleh berbangga dengan pingat masing-masing.

"Ini adalah emas pertama saya di ACC, saya antara pelumba yang paling terakhir memenanginya sedangkan saya antara pelumba terawal berada dalam pasukan Malaysia bagi acara trek.

"Namun, ada orang yang kata, yang terakhir adalah lebih baik daripada tidak pernah meraihnya langsung," katanya selepas tamat saingan di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Acara akhir keirin semalam menyaksikan Malaysia berjaya mencatat kemenangan 1-2 apabila perak diraih pelumba kelahiran Dungun, Mohd. Azizulhasni Awang, sekali gus membuktikan kedua-dua pelumba itu antara yang terbaik dalam acara tersebut di Asia. Pingat gangsa diraih pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.

Pada Sukan Asia 2010 Guangzhou kemenangan 1-2 turut dicatatkan dengan Azizulhasni berjaya meraih emas, manakala Josiah memenangi perak dan semalam mereka membuktikannya sekali lagi di hadapan penyokong sendiri.

"Saya gembira dengan kemenangan ini, jika kami kalah barulah saya tidak gembira, tidak kira siapa menang sama ada saya atau Azizulhasni apa yang penting kedua-duanya dari Malaysia, kemenangan 1-2 lagilah menggembirakan saya.

"Ada sebab utama mengapa saya mampu meraih emas, iaitu kami mempunyai sebuah pasukan yang mantap dari jurulatih sehinggalah ke tukang urut. Kedua adalah disebabkan Azizulhasni sendiri, di mana perkara ini berlaku seperti roda," kata pelumba yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 2004 Athens dan 2008 Beijing.

Kata Josiah , Azizulhasni memberi inspirasi kepadanya kerana dia berjaya mencipta nama besar dan dijadikan idola pada usia muda.

"Mengenai peluang untuk ke Sukan Olimpik pula ia bukan sesuatu yang mustahil buat saya, perkara ini akan diputuskan selepas Kejohanan Trek Dunia di Melbourne," katanya.

Keseluruhannya, Malaysia meraih tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam acara trek di ACC kali ini, memperbaiki pungutan tahun lalu iaitu satu emas, satu perak dan lima gangsa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan