Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Peluang jejak final makin cerah

Posted:

Peluang jejak final makin cerah

Peluang jejak final makin cerah

Oleh SHAHRILNIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

AKSI Malaysia ketika menentang Ukraine pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 di Dublin kelmarin. Malaysia menang 5-1.


SKUAD hoki negara berpeluang menempah slot ke final kempen Kelayakan Olimpik 2012 andai mampu menjinakkan Korea Selatan pada aksi keempat di Dublin, Ireland malam ini.

Terdahulu, Korea Selatan, pasukan yang menghuni ranking keenam dunia sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Ireland pada aksi lewat malam kelmarin.

Keputusan itu dilihat memberi kelebihan kepada skuad negara yang mencatat kemenangan bersih dalam tiga perlawanan lalu.

Pada aksi pembukaan, skuad negara mengalahkan Chile 5-1 sebelum melakar kemenangan 6-2 ke atas Rusia dan menang 5-1 ke atas Ukraine.

"Keputusan seri 1-1 antara Korea Selatan dan Ireland memang memberi impak kepada kita tetapi saya tidak mahu terlalu bergantung kepada situasi tersebut.

"Saya mahu kita memberi fokus dalam setiap perlawanan dan harapnya pemain dapat memberi aksi terbaik dalam dua baki terakhir ini," kata jurulatih negara, Tai Beng Hai dalam wawancara yang dimuatkan dalam blog, malaysianhockey.blogspot.com.

Atas kertas, peluang untuk mara ke final hanya akan terjamin jika skuad negara yang kini menghuni ranking ke-13 dunia mampu membenam Korea Selatan malam ini.

Jika sebaliknya berlaku, anak-anak buah Beng Hai harus mengutip tiga mata penuh ketika membuat perhitungan dengan Ireland pada aksi terakhir nanti bagi mengesahkan slot ke final.

"Bertemu Korea Selatan bukannya mudah, mereka membawa ramai pemain berpengalaman pada kempen kali ini.

"Namun, kita juga ada peluang untuk menang jika pemain beraksi dengan baik esok (malam ini). Kita pernah menewaskan Korea Selatan pada Piala Sultan Azlan Shah 2011 dan hampir mengikat mereka pada Trofi Cabaran-Cabaran Asia sebelum ini.

"Semuanya tidak mustahil tetapi pemain-pemain negara perlu berusaha keras untuk merealisasikan kemenangan itu," ujar Beng Hai.

Sementara itu, pengurus skuad negara, George Koshy menganggap persembahan anak-anak buah Beng Hai setakat ini belum mencapai tahap sempurna.

"Masih ada banyak kesilapan... banyak kesilapan kecil yang tidak sepatutnya terjadi pada pertandingan peringkat tinggi seperti ini," katanya.

Bagaimanapun, George memuji aksi barisan pemainnya yang menunjukkan peningkatan dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti berbanding dalam tiga kejohanan lalu.

'Jangan baling objek ke padang'

Posted:

'Jangan baling objek ke padang'

'Jangan baling objek ke padang'

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

"JAGA tingkah laku dan jaga nama baik pasukan negeri."
Itu peringatan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh kepada penyokong skuad Penyu menjelang perlawanan kedua Kumpulan F menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala AFC minggu depan.

Menurut Che Mat, sebarang perbuatan ataupun tindakan tidak terkawal yang dilakukan penonton tuan rumah seperti membaling objek ke padang hanya akan memberi kesan buruk kepada PBSNT.

Katanya, PBSNT boleh dikenakan denda oleh AFC sebanyak USD5,000 (RM15,915) bagi setiap objek yang dilemparkan ke padang dan situasi itu jika berlaku pastinya merugikan bola sepak Terengganu.

"Piala AFC merupakan kejohanan berprestij dan atas sebab itu, pihak penganjur menetapkan peraturan ketat kepada setiap tuan rumah yang menganjurkan perlawanan ini.

"Kawalan ketat oleh pihak polis bersama pasukan keselamatan juga akan diadakan di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa sebarang objek berbahaya," katanya selepas mengadakan taklimat khas kepada media di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Justeru, Che Mat berharap para penonton dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran perlawanan selain menjaga nama baik pasukan dan negeri.

"Kita tidak mahu hanya kerana perkara kecil sebegini pihak persatuan atau kerajaan negeri yang terpaksa tanggung. Saya hormati kehadiran penonton kerana kejayaan pasukan negeri banyak didorong oleh sokongan daripada mereka," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan PBSNT, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof memaklumkan bahawa tiket bagi perlawanan Piala AFC antara Terengganu dan Kitchee FC pada 20 Mac ini ditetapkan sebanyak RM30 bagi tempat duduk berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk terbuka.

"Penonton boleh membeli tiket perlawanan di pintu stadium bermula 19 Mac ini sehingga ke hari perlawanan," jelasnya yang juga pegawai media Piala AFC.

Terengganu yang layak buat pertama kali pada saingan Piala AFC tahun ini diundi dalam Kumpulan F bersama kelab Kitchee FC, Song Lam Nghe An dari Vietnam dan gergasi Singapura, Tampines Rovers.

Pada perlawanan pembukaan di Stadium Vinh minggu lalu, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Song Lam 1-0.

Bayern 'mengamuk'

Posted:

Bayern 'mengamuk'

Bayern 'mengamuk'


GOMEZ (kiri) meledakkan empat gol bagi membantu Bayern Munich membelasah FC Basel 7-1 pada awal pagi semalam.


MUNICH - Penyerang Jerman, Mario Gomez meledakkan empat gol bagi membantu Bayern Munich membelasah FC Basel 7-1 pada aksi kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kemenangan itu sudah cukup untuk Bayern menebus kekalahan 0-1 di aksi pertama pada 23 Februari lalu, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 7-2.

Sebagai rekod, kejayaan Bayern meledak tujuh gol pada aksi awal pagi semalam adalah kemenangan terbesar yang pernah dicatat pada peringkat kalah mati sepanjang kempen Liga Juara-Juara.

Sebelum ini, kelab Jerman itu turut memegang rekod selaku pasukan yang berjaya mencatat kemenangan terbesar selepas menewaskan Sporting Lisbon 7-1 pada pusingan kedua kempen Liga Juara-Juara 2009.

Jurulatih Bayern, Jupp Heynckes memuji persembahan yang dipamerkan para pemain apabila menganggap kemenangan ke atas Basel itu sebagai satu perlawanan yang sempurna buat pasukan tersebut.

Dengan kejayaan itu, Bayern kini telah meledak 14 gol dalam dua perlawanan terakhir pasukan itu.

"Kami (Bayern) telah beraksi dengan baik pada perlawanan Sabtu lalu (saingan Liga Jerman) dan hari ini (awal pagi semalam) saya dapat lihat bahawa para pemain benar-benar mahu mara ke peringkat suku akhir.

"Kami beraksi sangat baik daripada awal hingga tamat perlawanan dan secara keseluruhannya ia merupakan aksi yang sempurna bagi kami," kata Heynckes.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Allianz Arena itu, dua gol pendahuluan Bayern diperoleh menerusi Arjen Robben seawal minit ke-10 sebelum Thomas Muller meledak gol kedua minit ke-41.

Gomez membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledak empat gol masing-masing pada minit ke-44, 50, 61 dan 67 sebelum Robben menjaringkan gol kedua peribadi pada perlawanan tersebut (ke-81).

Sementara itu, impian Basel untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik buat kali pertama musim ini tidak kesampaian meskipun memiliki kelebihan satu gol hasil kemenangan pada aksi pertama bulan lalu.

"Kamu perlu lihat kekalahan ini daripada sudut positif. Mungkin perlawanan ini boleh dijadikan pengajaran berguna buat kami (Basel).

"Kami perlu akui kualiti yang dimiliki barisan pemain Bayern tetapi kami juga perlu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan" kata jurulatih Basel, Heiko Vogel. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan