Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Leopards hilang kuku

Posted: 31 Mar 2012 01:54 PM PDT

SKUAD Malaysia Leopards bagaikan tidak terdaya mengekang keangkuhan Indonesia Rajawali apabila tunduk 0-3 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Axiata, semalam meskipun menerima sokongan padu penyokong di laman sendiri.

Tidak cukup dengan kekalahan itu, mereka mempunyai tempoh hanya 24 jam untuk bangkit pada perlawanan berikutnya, selepas mengharungi penerbangan ke Jakarta untuk perlawanan timbal balik.


Tommy Sugiarto memulakan langkah cemerlang Rajawali Indonesia di Stadium Badminton Cheras, semalam apabila menundukkan Misbun Ramdan Misbun 21-17, 21-16.

Kehadiran beregu Juara Remaja Dunia 2011, Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat pula gagal mencipta harapan buat negara, meskipun hampir menyeret aksi ke perlawanan penentuan apabila tewas kepada Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 15-21, 20-22.


Lebih malang, Zulfadli Zulkifli yang mungkin keletihan selepas mengharungi Cabaran Antarabangsa Vietnam menambah parah Malaysia Leopards selepas tunduk mudah kepada Dionysius Hayom Rumbaka, 11-21, 4-21.


Ee Yi mengaku perlawanan seumpama ini membantu meningkatkan permainannya apabila diberi peluang berdepan lawan lebih hebat "Ia hari yang sukar tetapi saya akui kami sepatutnya menang set kedua untuk menjadikan perlawanan lebih menarik. Apapun, kami masih mempunyai harapan untuk perlawanan timbal balik," katanya.

Rakan beregu, Wei Keat menjelaskan kejohanan itu membuktikan mereka memerlukan lebih banyak aksi bertaraf dunia dan menyertai lebih banyak kejohanan jika mahu melangkah ke tahap lebih tinggi.


"Saya percaya kami masih mampu melawan mereka di Jakarta dan perlu bersedia untuk menghadapi mereka di perlawanan kedua," katanya.

Selain aksi Malaysia Leopards menentang Indonesia Rajawali hari ini, skuad Malaysia Tigers juga akan menguji nasib mereka di Stadium Badminton Cheras apabila bakal menentang Indonesia Garuda dalam perlawanan kedua separuh akhir.




Azlan terpantas

Posted: 31 Mar 2012 01:51 PM PDT

PELUMBA Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing Azlan Shah Kamaruzaman mempamerkan keyakinan tinggi apabila menguasai sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Azlan mencatat masa terpantas sesi ujian masa, 53.792 saat yang dilakukan pada pusingan kelima mengatasi rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli di kedudukan kedua, 53.981s dan pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Abdul Muhaimin Roslan ketiga dengan catatan 54.081s.


Beraksi di litar kegemarannya, Azlan turut mencatat masa terpantas pada kedua-dua sesi latihan bebas sebelah pagi, 55.013s dan 55.365s. "Faktor jentera memainkan peranan penting dalam persembahan saya hari ini. Segala-galanya berada dalam keadaan yang cukup baik dan saya gembira kerana berjaya meletakkan pasukan kami di hadapan pada perlumbaan pertama musim ini," jelas Azlan, 28.

Menjelaskan sasarannya pada perlumbaan sebenar Azlan berharap menghadiahkan gelaran buat pasukan dan menguasai podium.


"Namun saya perlu berhati-hati pada sesi Superpole esok kerana sebelum ini saya sering melakukan kesilapan dan gagal beraksi dengan baik. "Saya tidak mahu bertindak terburu-buru dan cuba mengekalkan aksi seperti yang saya lakukan hari ini," jelas Azlan yang turut gembira kerana berjaya mengatasi catatan terbaik litar 54.418s milik Mohd Zamri Baba pada musim lalu.


Dalam kategori CP115, dua pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM tampil cemerlang apabila Mohd Iskandar Raduan muncul pelumba terpantas dengan catatan 55.476s manakala rakan sepasukan, Zulsyafiz Rosli yang juga juara Wira 2011 di kedudukan ketiga dengan masa 55.721s.

Sementara itu, Mohd Azhar Abdul Jalil dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing muncul pelumba kedua terpantas, 55.655s.


Iskandar mengaku puas hati dengan catatan yang dilakukan pada sesi ujian masa itu.

"Jika dibandingkan sesi latihan bebas sebelah pagi, ia jauh lebih baik namun beberapa perubahan masih dilakukan terutama di bahagian spocket bagi menghadapi sesi saringan dan perlumbaan akhir nanti.


"Sebenarnya, saya tidak sangka muncul pelumba terpantas kerana sebelum itu Mohd Rozaliman Zakaria (Pachie Yuzy Honda Racing) mencatat masa terbaik, namun selepas catatannya dibatalkan kerana gagal mematuhi peraturan teknikal perlumbaan, saya muncul pelumba terpantas," jelas Iskandar yang baru beralih dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline pada musim ini.


"Perubahan yang dilakukan pada musim ini sedikit sebanyak memberi semangat baru dan turut menambah keyakinan kepada saya untuk meraih kemenangan pada musim ini. Saya harap dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan seterusnya menaiki podium," ulasnya.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan