Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Impian ke final musnah

Posted:

Impian ke final musnah

Impian ke final musnah

TOMMY beraksi cemerlang untuk menewaskan perseorangan pertama Malaysia Leopards, Misbun Ramdan semalam.


JAKARTA – Impian Malaysia Leopards untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata pada 13 dan 15 April ini musnah.

Mereka ditunjuk jalan keluar oleh Indonesia Rajawali pada aksi separuh akhir kedua, semalam.

Indonesia Rajawali mara dengan agregat 6-0 selepas meraih kemenangan 3-0 pada aksi pertama, Sabtu lalu.

Ada dakwaan menyatakan kekalahan Malaysia Leopards berpunca daripada kesilapan percaturan apabila merehatkan Zulfadli Zulkifli daripada beraksi pada perlawanan yang cukup getir itu.

Zulfadli direhatkan bagi memberi peluang kepada seorang lagi pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain untuk turun beraksi.

Apa pun dakwaan yang dilontarkan, ia bukan berpunca daripada kesilapan percaturan.

Apa yang pasti, Indonesia Rajawali memang memiliki gaya permainan yang mempesonakan dan mereka berhak menang.

Pada aksi separuh akhir kedua semalam, skuad kedua Indonesia itu hanya memerlukan satu kemenangan sahaja untuk mengesahkan tiket ke final kerana mereka sudah memiliki bekalan 3-0 hasil kemenangan pada separuh akhir pertama, kelmarin.

Begitupun, mereka terus tampil garang untuk merekod kemenangan 3-0 dengan mata pertama disumbangkan oleh, Tommy Sugiarto yang menewaskan Misbun Ramdan Misbun dalam acara perseorangan pertama.

Tommy menang 15-21, 21-17 dan 21-13.

Gandingan Ryan Agung Saputra-Angga Pratama yang direhatkan pada aksi separuh akhir pertama kelmarin, turut mudah menjinakkan Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat sebelum Dionysius Hayom Rumbaka menang dalam perlawanan tiga set ke atas Iskandar Zulkarnain 14-21, 21-17, 21-19.

Menurut jurulatih skuad Malaysia Leopards, Hendrawan: "Penampilan pasukan kita pada perlawanan ini lebih baik daripada sebelumnya. Pada separuh akhir pertama semua pemain dilihat keletihan namun kali ini mereka lebih tenang dan bersemangat.

"Saya bukan melihat pada keputusan sahaja, sebaliknya keutamaan saya adalah prestasi pemain.

"Saya anggap kejohanan ini sebagai medan pendedahan terbaik buat pemain muda negara."

Ditanya mengenai keputusannya merehatkan Zulfladi, Hendrawan menjelaskan bahawa langkahnya itu adalah untuk memberi peluang kepada Iskandar.

"Saya mahu melihat ketangkasan Iskandar beraksi di gelanggang lawan dan ternyata dia cukup bersemangat," katanya.

Lawan Indonesia Rajawali di final ialah pemenang antara Malaysia Tigers dengan Indonesia Garuda.

Final akan di adakan pada 13 dan 15 ini.

Malaysia bermula garang

Posted:

Malaysia bermula garang

Malaysia bermula garang


AMIR tampil cemerlang dalam prologToT 2012 semalam.


CHIANGRAI: Pasukan kebangsaan terus memperagakan aksi memberangsangkan apabila bermula dengan langkah kanan pada perlumbaan prolog Tour of Thailand 2012 (ToT 2012) sejauh 2.85 kilometer di Chiangrai semalam.

Mereka kini menduduki tempat kedua terbaik ASEAN keseluruhan.

Tiga pelumba negara, Suhardi Hassan, Amir Mustafa Rusli dan Muhammad Nur Rizuan Zainal merakamkan masa terbaik 3 minit 19 saat pada purata kelajuan 55km sejam sekali pun berkayuh pada altitud tinggi 405 meter daripada paras laut sekali gus melaung amaran betapa mereka sudah bersedia untuk perlumbaan peringkat pertama hari ini.

Namun, catatan 3:19.17s sekadar menyaksikan Suhardi yang bertindak selaku pemimpin pasukan menduduki tempat ke-43 klasifikasi keseluruhan (GC) diekori Amir Mustafa Rusli (ke-45), Muhammad Nur Rizuan (ke-47), Muhd. Fauzan Ahmad Lufti (ke-63) dan Muhammad Rauf Nur Misbah (ke-67).

Skuad lebuh raya negara bimbingan Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan memperaga aksi terbaik pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) dan Le Tour de Langkawi 2012 (LTdL 2012) dan mereka dituntut terus cemerlang pada ToT 2012 kali ini.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamad Saufi Mat Senan muncul pelumba negara terbaik apabila menduduki tempat ke-19 keseluruhan dengan catatan masa 3:14.26s.

Bagaimanapun, Syed Muhammad Hussaini berpuas hati dengan prestasi semua pelumba Malaysia pada perlumbaan prolog semalam.

"Hampir semua berjaya merakam masa bawah 3 minit 21 saat. Saya memang jangkakan pencapaian sebegini pada perlumbaan hari ini. Saya tetap berpuas hati dengan corak kayuhan Mohd. Fauzan dan Muhammad Rauf biarpun mereka gagal mempamerkan prestasi lebih baik sekali pun merupakan pakar acara ujian masa.

"Sebenarnya mereka hilang masa kerana gagal mengambil selekoh tajam dengan baik pada 300 meter daripada garisan penamat.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana Malaysia meraih tempat ke-13 berpasukan keseluruhan pada perlumbaan prolog hari ini (semalam)," katanya.

Syed Muhammad Hussaini percaya catatan masa Amir Mustafa seharusnya lebih baik jika pelumba Drapac Professional Cycling Team itu tidak berdepan masalah basikal patah.

"Sudah tentu Amir Mustafa tak selesa dengan basikal yang digunakannya sekarang. Basikal itu bukan kepunyaan Amir. Rasanya dia perlu sekurang-kurangnya dua perlumbaan peringkat untuk menyesuaikan diri dengan kondisi basikal tersebut.

Hakikat tersebut diakui sendiri oleh Amir Mustafa yang tersenarai dalam skuad lima pelumba ke Sukan Olimpik 2012.

"Saya belum dapat 'feeling' sebenar kerana saya terpaksa guna basikal jurulatih (Syed Muhammad Hussainie). Tapi saya percaya sehari dua lagi saya akan serasi dengan basikal ini. Saya jangka boleh buat sekitar 3 minit 10 saat jika pakai basikal saya. Apapun saya puas hati dengan pencapaian hari ini (semalam)," katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Firdaus Arshad memuji persembahan serta kayuhan pelumba berpengalaman, Suhardi dan mengharapkan tonggak kelahiran Perlis itu terus cemerlang pada perlumbaan peringkat pertama Chiangrai-Chiang Saen-Chiangrai sejauh 163km hari ini.

"Kita akan dapat tahu tentang persembahan keseluruhan pasukan lain pada perlumbaan peringkat pertama esok (hari ini). Saya harap mereka akan terus cemerlang sebagaimana kayuhan hari ini (semalam)," katanya.

Kejohanan ToT 2012 merupakan perlumbaan kategori 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ia meliputi jarak sejauh 689.95km dan disertai 22 pasukan.

Chin Aun tempelak FA negeri

Posted:

Chin Aun tempelak FA negeri

Chin Aun tempelak FA negeri

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


CHIN AUN (tujuh dari kiri barisan belakang) bergambar kenangan dengan para peserta Kejohanan Futsal Milo Hidup Bola 2012 di Kuala Lumpur, semalam.


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun kesal dengan sikap segelintir persatuan bola sepak negeri (FA) yang didakwa bersikap acuh tidak acuh berkaitan pembangunan bola sepak negara di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Menurutnya, sebelum ini beliau telah dimaklumkan oleh majoriti penganjur yang ternyata kecewa selepas tiada wakil FA yang didakwa hadir meskipun jemputan telah dihantar setiap kali mengadakan kejohanan futsal dan bola sepak di peringkat negeri sebelum ini.

Tindakan sambil lewa segelintir FA ini katanya, perlu dikikis segera jika berhasrat mahu membentuk pemain pelapis yang berpotensi pada masa depan.

"Saya hairan dengan sikap segelintir FA yang langsung tidak menghantar wakil tidak kira sama ada pencungkil bakat mahupun jurulatih.

"Sepatutnya, mereka perlu memberikan sokongan memandangkan karnival seperti ini diadakan di negeri masing-masing dan bukan sekadar dianjurkan di ibu kota semata-mata.

"Kita sepatutnya sedar kejohanan-kejohanan seperti ini adalah medan yang terbaik untuk mencungkil bakat pemain muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2012 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Turut hadir Pengurus Eksekutif Unit Perniagaan dan Minuman Nestle, Don Howat; Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dan Pengarah Urusan Figos, Tang Kok Wai.

Ketika ditanya mengenai peranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha membantu memberikan sokongan karnival-karnival futsal yang diadakan pihak swasta selama ini, Chin Aun begitupun enggan mengulas lanjut sambil menegaskan ia sepatutnya dikendalikan dengan bijak oleh setiap FA negeri.

Dalam pada itu, Howat semasa ditemui memberitahu, lebih 1,200 pemain di bawah usia 12 dan 16 tahun dari seluruh negara dijangka menyertai kejohanan itu dengan yuran serendah RM50 bagi satu pasukan.

Menurutnya, kejohanan kali ketujuh anjuran pihaknya dengan kerjasama Figos dan Rakan Muda itu akan diadakan di peringkat negeri bermula 14 April depan.

Sebanyak 32 pasukan terbaik katanya, bakal berentap semula pada Grand Final yang akan diadakan di Sports Planet, Ampang pada 16 September depan.

Jelasnya, juara peringkat Grand Final bakal membawa pulang wang tunai RM15,000, naib juara (RM10,000) sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing bakal membawa pulang RM7,000.

Kesemua pemenang juga bakal menerima trofi, pingat dan barangan Milo serta Figos.

"Pemenang di peringkat negeri juga bakal membawa pulang wang tunai RM800 untuk juara, RM600 (naib juara) dan RM400 bagi pasukan di tempat ketiga dan keempat.

"Kesemua hadiah wang tunai akan diberikan dalam bentuk simpanan akaun bank bagi memupuk semangat pemain muda supaya menabung di masa depan," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai venue kejohanan itu bolehlah melayari www.milo.com.my atau www.syoknyasukan.com.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan