Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Danyal minat cabar

Posted: 23 Apr 2012 09:58 AM PDT

BEKAS Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah tidak teragak-agak untuk mencabar jawatan presiden persatuan itu yang kini disandang Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah beliau juga tidak gentar mencabar Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim andai benar baginda berminat bertanding merebut kerusi panas KOM.


Katanya, KOM amat perlukan perubahan sekiranya ingin terus bernafas sebagai sebuah persatuan.

Bermula dengan isu doping, kewibawaan KOM mula dipersoal dengan maruah negara turut tercemar selain rentetan kejadian menyelubungi persatuan itu pelbagai reaksi negatif hingga dianggap sebagai persatuan paling bermasalah.


"Saya akan bertanding untuk jawatan presiden. Memang sudah lama saya berhasrat kembali memegang jawatan dalam KOM kerana saya mempunyai misi untuk terus menghidupkan sukan olahraga hingga ke akar umbi.


"Banyak perancangan sudah diatur dan perlembagaan baru dalam KOM itu memberi ruang dan peluang untuk saya kembali bertanding," katanya yang pernah mencabar kerusi Timbalan Presiden KOM yang kini disandang Datuk Karim Ibrahim.

Hasrat Danyal untuk kembali ke KOM semakin membuak-buak selepas kesal melihat salah seorang atlet olahraga negara yang memenangi pingat pada temasya Sukan Sea lalu, positif ujian doping sampel A seperti yang dilapor media.


Ketika eranya bersama KOM yang dahulunya dikenali Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bermula 2001 hingga 2006, Danyal adalah individu bertanggungjawab menyediakan kertas kerja 10 tahun untuk atlet olahraga yang kemudiannya mendapat sokongan Jawatankuasa Kabinet untuk sukan pada 2002. Antara objektif utama kertas kerja itu ialah melahirkan sekurang-kurangnya dua atlet olahraga layak beraksi di final Sukan Olimpik London pada tahun ini. Namun selepas beliau tewas dalam perebutan jawatan Presiden kepada Shahidan pada 2006, rancangan kertas kerja itu tidak diteruskan selepas eranya meskipun ia sudah dilaksana selama kira-kira dua tahun.




Afif atur strategi

Posted: 23 Apr 2012 09:54 AM PDT

AHMAD Afif Amran percaya strategi berpasukan yang mantap mampu membantunya memecahkan momentum pelumba di barisan depan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Utama Kangar, Perlis minggu ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing itu bangkit menebus kekecewaan gagal ke perlumbaan akhir (DNF) sewaktu pusingan pembukaan (Batu Kawan) berikutan masalah mekanikal apabila berjaya menaiki podium pada pusingan kedua (Terengganu) di belakang juara, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan naib juara, Mohd Iskandar Raduan, kedua-duanya dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM. Namun, strategi berpasukan yang mantap antara Shahril dan Iskandar menghalangnya mencatat keputusan yang lebih baik.


"Kami mempamerkan prestasi mantap di Terengganu. Saya dan rakan sepasukan, Mohd Farid Ahmad cuba mengejar Shahril namun Iskandar yang berada di belakangnya berjaya mempertahankan Shahril dengan begitu baik sekali. "Jika tidak kerana Iskandar, pasti kami berdua mampu merapati Shahril. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sewaktu persaingan yang cukup agresif antara kami bertiga untuk mengejar kedudukan podium dan saya gembira kami berdua berada di kelompok lima pelumba teratas terutama selepas kegagalan di Batu Kawan," kata pelumba 16 tahun itu.

Menilai kemampuan mereka pada pusingan ini, Afif percaya pengalaman yang dikutip sepanjang beraksi dalam kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas musim lalu turut menjadi satu kelebihan buatnya.


"Apa yang saya pelajari sepanjang beraksi di ARRC apabila bersaing dengan pelumba handalan Indonesia, pada musim lalu dapat digunakan pada musim ini untuk membantu meningkatkan kedudukan saya dalam senarai keseluruhan ketika ini," kata Afif yang menduduki tangga keenam senarai keseluruhan dengan 16 mata.


Iskandar berada di kedudukan teratas dengan 45 mata diikuti Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) kedua, dan Farid ketiga, kedua-duanya terikat dengan 26 mata.

Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan