Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rosman ganti tempat Rexy

Posted: 26 Apr 2012 12:13 PM PDT

ROSMAN Razak dipilih mengisi kekosongan tempat bekas ketua jurulatih badminton negara Rexy Mainaky, menggalas tugasan terakhir jurulatih itu sebelum berhijrah ke Filipina, iaitu sebagai ketua jurulatih beregu wanita dan campuran.

Keputusan melantik Rosman itu diputus jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dipengerusikan Setiausaha Kehormat, Ng Chin Chai petang semalam.


"Jawatankuasa memutuskan Rosman mengepalai jurulatih beregu wanita dan campuran berkuat kuasa 1 Mei 2012, mengambil alih tugasan yang dipikul Rexy," kata Chin Chai membuat pengumuman.

Pelantikan Rosman tidak mengejutkan kerana jurulatih itu bekerja rapat dengan Rexy meskipun beliau diasingkan daripada membantu Rexy sejak Tan Kim Her mengambil alih tanggungjawab ketua jurulatih beregu lelaki.


"Tugasan Rosman ini bersifat jangka pendek, mengemudi skuad wanita dan campuran menjelang Olimpik London dan ia mungkin kekal hingga hujung tahun kerana kebanyakan kontrak jurulatih kami akan berakhir hujung tahun ini.


"Selepas Olimpik atau hujung tahun baru kami mula mencari jurulatih asing jika perlu, kerana menjelang Olimpik, kami putuskan tidak mahu berlaku terlalu banyak perubahan dalam struktur latihan," kata Chin Chai.

Rosman sudah 10 tahun menjadi jurulatih BAM sebelum ini pernah melatih skuad pelapis dan beregu wanita, malah hubungan rapat antaranya dengan Rexy mungkin mampu membantu beregu wanita menjalani latihan seperti diatur bekas jurulatih dari Indonesia itu.


Beliau akan dibantu jurulatih Chong Kien Ling melatih beregu wanita dan Jeremy Gan untuk beregu campuran.

"Saya pernah melatih Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada 2009-2010, ketika itu belum wujud pengasingan beregu lelaki dan wanita," kata Rosman.


"Pemain muda seperti Woon Khe Wei-Vivian Hoo pula saya pernah latih ketika mereka di peringkat pelapis, saya rasa tiada masalah dengan pemain dan kami saling mengenali."


Harimau wajib menang

Posted: 26 Apr 2012 12:09 PM PDT

SKUAD Sri Lanka tiba di Kuala Lumpur semalam dengan penuh tanda tanya terhadap kekuatan pasukan yang dianggap kerdil dalam sukan bola sepak berbanding kriket yang menjadi sukan nombor satu negara itu.

Mengikut rekod, hanya kejuaraan di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) yang membabitkan Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, India, Maldives, Nepal dan Pakistan pada 1995 menjadi kebanggaan Sri Lanka di pentas antarabangsa.


Namun ketika pasukan yang menghuni ranking ke-181 dunia itu tampak asing buat peminat tanah air, ketua jurulatih, Jang Jung pula pastinya mengetahui serba sedikit selok-belok bola sepak Malaysia.

Kehadiran Jang Jung bersama pasukannya semalam menandakan kembalinya bekas pemain import Perak pada musim 1990-1991 itu ke negara ini.


Jang Jung bekas pertahanan skuad Seladang yang menjuarai Piala FA pada 1990 kini membimbing Sri Lanka bermula dengan skuad Bawah 23 Tahun negara itu pada 2006 hingga sekarang dilantik sebagai ketua jurulatih.


Bekas penyerang Perak, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff yang pernah beraksi bersama Jang Jung menganggap Malaysia tetap turun dengan misi wajib menang biarpun rakan lamanya itu pasti bersedia dengan taktikal menyekat kemenangan besar skuad kendalian Datuk K Rajagobal pada pertemuan malam esok di Stadium Shah Alam.

"Zaman sudah berbeza berbanding ketika Jang Jung bermain dengan Perak dalam Liga Malaysia tapi mungkin pengalaman yang dia ada serba sedikit boleh digunakannya bagi perlawanan dengan Malaysia.


"Saya jangkakan Sri Lanka akan lebih banyak bertahan dan pasukan kita lebih banyak menyerang kerana bagi saya, perlawanan ini wajib menang," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pertemuan dengan Sri Lanka ini menjadi aksi antarabangsa kelas A kedua Harimau Malaya tahun ini selepas seri dengan Filipina 1-1 di Manila Februari lalu.


Manakala bagi Sri Lanka, ini perlawanan pertama selepas gagal mara ke separuh akhir kejohanan SAFF pada Disember 2011 dan tumpas kepada Filipina menerusi agregat 1-5 di pusingan kelayakan Piala Dunia Julai 2011.


Biarpun yakin Malaysia yang menduduki ranking ke-156 dunia dan muncul juara Piala AFF 2010 mampu menewaskan Sri Lanka, Nidzam Adzha bekas pemain kebangsaan 1991-1995 tetap menasihatkan supaya pemain Harimau Malaya memberikan persembahan terbaik.


"Atas kertas memang tak ada masalah untuk menang tapi kita faham jurulatih Rajagobal masih dalam proses mencari pemain dan pembentukan skuad bagi menghadapi Piala AFF namun dengan kedudukan Malaysia, kita mesti menang," katanya yang kini menjadi jurulatih skuad Piala Presiden Kedah.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan