Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Shahidan terima hasrat Tunku Ismail

Posted:

Shahidan terima hasrat Tunku Ismail

Shahidan terima hasrat Tunku Ismail

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim masih membisu sama ada untuk mempertahankan jawatannya itu atau melepaskannya.

Namun semalam, dia secara terbuka menerima persetujuan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dicalonkan bertanding dalam pemilihan jawatan No. 1 badan sukan tertuat di Malaysia itu.

Menurut Shahidan, sehingga kini, dia belum memikirkan mengenai pemilihan jawatan itu kerana sedang memberi perhatian serius berhubung perkembangan dan isu dalaman KOM.

Bagaimanapun katanya, apa pun perubahan yang berlaku pada pemilihan jawatan dalam KOM kelak, beliau sentiasa mengharapkan ke arah kebaikan dalam badan sukan olahraga negara itu.

"Bagi saya, ketika ini saya hanya memberi tumpuan terhadap isu dalaman KOM, mengenai doping dan jawatankuasa tatatertib dan displin berkaitan atlet dan jurulatih.

"Begitu juga isu Karim dan beberapa kes lama dalam KOM. Semua ini perlu diperbetulkan dan diselesaikan terlebih dulu. Selepas itu baru saya fikirkan tentang jawatan," katanya.

Semalam Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan persetujuan untuk dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang bakal diadakan Jun depan.

Persetujuan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada minggu lepas.

Presiden Persatuan Olahraga Johor, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor yang menyampaikan hasrat pencalonan Tunku Ismail itu menyatakan bahawa pihaknya telah mendapat sokongan lapan daripada 15 ahli gabungan KOM.

Menurut Shahidan, sekiranya isu dalaman dapat diselesaikan sebelum pemilihan KOM, badan sukan itu akan dianggap tidak serius dalam mengurus dan membangunkan sukan olahraga di negara ini.

"Semua ini perlu diambil tindakan sebelum mesyuarat agung berlangsung yang dijangka Jun ini yang mana boleh ditangguhkan sekiranya isu berkenaan tidak selesai," ujar nya.

Mengulas mengenai pencalonan Tunku Ismail yang mendapat sokongan lapan ahli gabungan KOM, Shahidan menjelaskan bahawa dia akan berbincang dengan presiden peringkat negeri terlebih dulu bagi mendengar pandangan mereka.

"Saya sendiri belum lagi melihat laporan mengenai cadangan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dicalonkan sebagai presiden," ujarnya.

Mencari tuah di Kota Singa

Posted:

Mencari tuah di Kota Singa

Mencari tuah di Kota Singa

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


KALANG TIE (kiri) akan diberi kepercayaan menjana jentera tengah Terengganu pada aksi menentang Tampines Rovers malam ini.


KEHEBATAN Terengganu sekali lagi akan diuji kelab Singapura apabila juara Piala FA itu turun menentang Tampines Rovers pada aksi peringkat Kumpulan F kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam ini.

Beraksi selaku pasukan pelawat di Stadium Jalan Besar, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris itu meletakkan harapan tinggi untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus meneruskan rekod cemerlang di negara jiran tersebut.

Sebelum ini, skuad Penyu telah dua kali beraksi di Stadium Jalan Besar menentang Lions XII dengan keduaduanya menghasilkan keputusan positif, termasuk kejayaan menyingkirkan wakil Singapura itu pada suku akhir Piala FA minggu lalu.

"Selepas dua kali beraksi di Singapura, rasanya para pemain telah membiasakan diri dan boleh menyesuaikan corak permainan di atas padang tiruan.

"Lagipun, dua perlawanan terdahulu menentang Lions XII masing-masing berakhir dengan kemenangan dan keputusan seri. Jadi, tiada alasan untuk kami tidak mampu mengatasi Tampines pada perlawanan esok (malam ini)," kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Mat Zan tetap memberi ingatan kepada para pemainnya agar tidak sesekali memandang mudah keupayaan juara tiga kali Liga S itu yang memiliki rangkaian pemain berpengalaman.

Katanya, sekalipun skuad kendalian Steven Tan itu sekadar menghuni kedudukan tercorot dalam Kumpulan F ketika ini, namun kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pasti digunakan sebaiknya oleh pasukan tuan rumah itu.

"Mereka (Tampines) adalah juara Liga S dan memiliki pemain-pemain hebat seperti kapten pasukan Aleksandar Duric, Ismadi Mukhtar, Fahrudin Mustafic dan penjaga Sasa Dreven yang beraksi di posisi penjaga gol.

"Duric sendiri walaupun telah berusia 41 tahun, namun keupayaan pemain kelahiran Yugoslavia ini tidak boleh dipertikai kerana dia telah menjaringkan 46 gol daripada 65 perlawanan bersama kelab itu," jelasnya.

Justeru, Mat Zan mengakui yang beliau bakal membuat percaturan baharu dengan memasukkan Hasmizan Kamaroddin bagi menggantikan Mazlizam Mohammad yang bakal terlepas perlawanan malam ini.

Turut diketepikan ialah Abdul Manaf Mamat, Marzuki Yusof, Reshafiq Alwi akibat kecederaan, manakala penyerang sensasi, Francis Forkey Doe dan bintang kelahiran Sarawak, Joseph Kalang Tie berada dalam senarainya.

"Kami perlu mengutip mata maksimum di sini bagi memastikan peluang kami ke pusingan kedua menjadi kenyataan," katanya.

Terengganu yang beraksi buat pertama kali di pentas Piala AFC kini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan F dengan tiga mata, manakala kelab Hong Kong, Kitchee kekal selaku pendahulu dengan enam mata selepas dua perlawanan.

Penyokong mahu Hamidan kekal

Posted:

Penyokong mahu Hamidan kekal

Penyokong mahu Hamidan kekal

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


HAMIDAN (depan) semakin menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.


PERSEMBAHAN menakjubkan pemain import Kedah, Hamidan Mohammed pada dua perlawanan terakhir skuad Kenari perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk mengekalkan pemain dari Ghana itu.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah memberitahu, ini kerana pemain itu kini berada di kemuncak prestasinya kebelakangan ini.

Katanya, pemain itu sudah menunjukkan kewibawaannya berbanding tujuh perlawanan sebelum ini yang dilihat buntu menuai gol sejak menyertai Kedah awal Februari lalu.

"Hamidan kini sudah menjaringkan lima gol, termasuk satu gol hasil kesilapan pertahanan Perak yang menyepak masuk bola ke gawang sendiri ketika Hamidan mahu menghantar bola kepada rakan sepasukan," katanya.

Justeru, bagi kelab penyokong, mereka sangat berharap Hamidan dikekalkan bersama Kedah kerana tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' dengan tersilap memilih pemain import.

"Hamidan adalah hero bagi dua perlawanan penting Kedah, sekali gus membantu Kedah layak ke pusingan separuh akhir Piala FA dan membantu pasukan mengutip mata penting Liga Super semasa menewaskan Perak minggu lepas," katanya.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan, nasib pemain tinggi lampai itu sama ada kekal bersama Kedah atau digugurkan akan ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA hari ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, setakat ini beliau tidak menandatangani sebarang surat berhubung pengguguran pemain itu.

Exco kerajaan negeri itu mengulas desas-desus dalam laman sosial Facebook mengenai Hamidan yang akan digugurkan daripada skuad Kedah berikutan prestasi tidak menentu pemain berkenaan.

Menurut Nor Hasmadi, Hamidan dilihat semakin serasi dengan rakan-rakan sepasukannya dan mempunyai kemahiran tinggi sebagai pemain import yang mampu menjaringkan gol.

"Hamidan mula mampu membentuk persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan dan mereka mula memahami corak permainan masing-masing," katanya yang percaya Hamidan mampu menjaringkan gol pada perlawanan selepas ini jika terus diberi kepercayaan.

Tambahnya, kewibawaan ketua jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan juga semakin terserlah menerusi strateginya meletakkan Hamidan sebagai penyerang utama.

"Taktik itu ternyata menjadi dan corak hantaran bola semakin baik bagi membantu Kedah meraih kemenangan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan