Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Vettel pantas di Bahrain

Posted:

Vettel pantas di Bahrain

Vettel pantas di Bahrain

MANAMA, Bahrain – Juara dunia dua kali, Sebastian Vettel muncul juara perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain semalam.

Pemandu pasukan Red Bull berusia 24 tahun itu telah menguasai perlumbaan dari permulaan hingga ke pusingan penamat.

Ini merupakan kemenangan pertama Vettel musim ini dan yang ke-22 sepanjang kariernya.

Pelumba kelahiran Jerman itu memulakan saingan di petak hadapan dan dia gagal dipintas oleh barisan pencabarnya sehingga ke p usingan penamat.

Kimi Raikkonen, juara dunia 2007 menduduki tempat kedua sementara rakan sepasukannya

di pasukan Lotus, Romain Grosjean mencipta kejutan untuk meraih tempat ketiga.

Ia merupakan kemenangan podium pertama Grosjean sepanjang kariernya.

Pelumba Australia, Mark Webber berada di tempat

keempat sekali gus membuktikan kebangkitan semula pasukan Red Bull dalam saingan F1 musim ini yang bermula agak hambar di awal musim.

Kemenangan Vettel itu melonjakkannya ke kedudukan teratas dalam carta keseluruhan kategori pemandu dengan 53 mata sekali gus memintas pendahulu sebelum ini, Lewis Hamilton yang memiliki 49 mata.

Semalam, Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

– Agensi

Ng Yong Li kena langgar

Posted:

Ng Yong Li kena langgar

Ng Yong Li kena langgar


YONG LI (kiri) ditemani rakannya ketika berada di Hospital Ampang semalam untuk menjalani rawatan segera.


PELUMBA kebangsaan, Ng Yong Li berdepan kemungkinan terpaksa melupakan dua kejohanan besar dalam tempoh terdekat iaitu Tour de Borneo (TdB) dan Jelajah Malaysia (JM) 2012 gara-gara terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pagi semalam.

Pelumba kelab benua dari Iran, Azad University Cross Team (AZC) itu kini sedang mencongak kondisi terkininya, namun berdasarkan laporan daripada Hospital Ampang semalam, ia jelas menjurus ke arah pelumba tersebut bermungkinan boleh menyertai dua kejohanan berkenaan.

Yong Li yang pernah mewakili kelab benua Malaysia, Le Tua Cycling Team dan dianggap antara pelumba negara yang pakar dalam pendakian, dilanggar oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti dalam kemalangan awal pagi semalam di Jalan Ampang.

Dia segera dibawa ke Hospital Ampang oleh rakannya, termasuk bekas pelumba terkemuka Malaysia yang juga jurulatih BMX Malaysia, Hardi Razali dan pelari maraton terkemuka, Juliana Ali yang secara kebetulan berada berdekatan kemalangan tersebut berlaku.

Yong Li yang dianggap antara time-trialist yang handal bagaimanapun enggan mengaku kalah dan berkata: "Saya tak sangka akan terlibat dalam kemalangan awal pagi ini (semalam). Saya sedang berlatih di Jalan Ampang dan tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan. Saya sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Tour de Borneo dan Jelajah Malaysia.

"Saya sudah pun menjalani pemeriksaan X-ray. Hasilnya saya tidak mengalami kecederaan serius. Saya cuma luka pada kepala, belakang dan kaki. Bagaimanapun, saya tak tahu apakah impak sebenar kemalangan ini kepada prestasi saya nanti. Bagaimanapun, saya tetap akan cuba sertai ke Tour de Borneo dan Jelajah Malaysia."

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PK- BM), Abu Samah Abd. Wahab ketika dihubungi mengakui wujud kemungkinan pelumba negara yang berlatih secara bersendirian bakal terlibat dalam kemalangan atau langgar lari.

"Kemalangan boleh berlaku kalau seseorang pelumba itu berlatih secara bersendirian. Mereka harus lebih peka terhadap keadaan sekeliling. Bagaimanapun, saya akan cuba dapatkan gambaran sebenar tentang kemalangan melibatkan Yong Li. Persatuan juga akan cuba bantu kalau keadaan memerlukan," katanya.

Sementara itu, skuad lebuh raya Malaysia yang menyertai Tour of Korea 2012 (ToK 2012) menyasarkan kedudukan berpasukan keseluruhan sekurang-kurangnya tempat ke-10.

Pengurus pasukan, Amrun Misnoh percaya enam pelumba iaitu Suhardi Hassan, Mohd. Fauzan Ahmad Lufti, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Nur Rizuan Zainal, Mohd. Khairul Azizi Abdullah dan Mohd. Zulhalmi Afif boleh mengulangi pencapaian Malaysia di Tour of Thailand 2012 (ToT 2012).

"Kita letak sasaran sekurang-kurangnya sekali naik podium pada Tour of Korea. Kita ada beberapa pelumba seperti Mohd. Nor Rizuan, Suhardi atau Mohd. Fauzan yang boleh lakukan sesuatu pada perlumbaan peringkat," kata Amrun.

Kerja keras Kedah berbaloi

Posted:

Kerja keras Kedah berbaloi

Kerja keras Kedah berbaloi

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


GERC (tengah) menjaringkan gol penyamaan Kedah pada aksi menentang Kelantan di Kota Bharu malam kelmarin. Kedua-dua pasukan seri 1-1.


PEMAIN Kedah menunjukkan kesungguhan dan disiplin tinggi untuk mengikat Kelantan 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Biarpun beraksi di gelanggang lawan yang mendapat sokongan hampir 20,000 penyokong, anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan mampu memberi tentangan sengit, sekali gus menafikan harapan Kelantan untuk meraih kemenangan selesa.

Namun, perjuangan skuad Kenari belum berakhir kerana masih ada 90 minit lagi untuk diharungi di laman sendiri pada 1 Mei depan yang pastinya mahu diterjemahkan dengan kejayaan.

Wan Jamak yang bersyukur dengan keputusan itu pasti lega dan pujian harus diberikan kepada pemainnya yang telah menunjukkan persembahan membanggakan.

"Pemain menunjukkan kesungguhan dan disiplin yang tinggi walaupun tertekan dengan sokongan padu penyokong Kelantan dan serangan bertali arus pasukan lawan.

"Biarpun tanpa beberapa tonggak utama, para pemain telah mencuba yang terbaik dan berhasil membawa pulang satu jaringan," ujar Wan Jamak.

Kelantan meraih jaringan menerusi Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-21 dan gol penyamaan Kedah dihasilkan pemain import dari Croatia, Vedran Gerc pada minit ke-30.

Perlawanan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak pertama dan tempo berubah pada setengah jam terakhir permainan, termasuk masa tambahan yang panjang mencecah lapan minit.

Kedah yang kehilangan Wan Mohd. Sukri setelah dilayangkan kad merah, terpaksa berkampung di kawasan sendiri bagi menahan serangan bertubi-tubi anak-anak buah Bojan Hodak. Bagaimanapun, mujur tiada jaringan dihasilkan.

"Pemain tangkas bertahan dengan serangan tidak putus-putus daripada pemain pasukan lawan," katanya.

Menurut Wan Jamak, dengan keputusan itu, peluang kedua-dua pasukan untuk ke final Piala FA masih terbuka, namun pemain Kedah perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri bagi meraih kemenangan.

Katanya, Kedah juga menagih sokongan padu peminat untuk menyuntik semangat pemain dengan membanjiri stadium pada perlawanan kedua 1 Mei depan.

"Peminat yang sayangkan bola sepak dan skuad Kenari diharap dapat memberi sokongan padu kepada pemain," katanya.

Tambahnya, beliau sudah mengingatkan para pemain agar memberi fokus yang tinggi dan meningkatkan disiplin pada perlawanan itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.

"Kedah masih berpeluang (melangkah ke final), namun apa yang penting, pemain perlu meningkatkan lagi disiplin," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan