Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Kami tuntut wang bantuan’

Posted: 03 May 2012 11:00 AM PDT

"KAMI mahu menuntut kembali wang bantuan RM16,000 setiap tahun seperti yang dijanjikan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) sebelum ini secepat mungkin kerana tidak mahu ia disalahgunakan lagi."

Demikian nada agak keras Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ), S Rajasegram yang mahukan wang bantuan berkenaan pada tahun ini selepas tuntutan sama pada tahun lalu, gagal dipenuhi oleh KOM.


Kata Rajasegram, pertimbangan POAJ menuntut wang berkenaan pada tahun ini selepas beliau menerima khabar daripada bendahari KOM bahawa badan induk olahraga itu baru saja menerima wang berjumlah RM200,000 daripada pihak penaja.

"Mengikut perjanjian, KOM akan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM16,000 pada setiap tahun kepada setiap ahli gabungan selepas menerima wang penajaan.


"Namun tahun lalu, POAJ serta hampir kebanyakan persatuan negeri lain tidak menerima wang berkenaan kerana difahamkan duit penajaan yang diterima KOM, digunakan untuk perkara lain. Saya sendiri pernah bangkitkan perkara ini pada tahun lalu.


"Kini, selepas mendapat khabar daripada sumber yang sah termasuk bendahari KOM yang mengakui wang berkenaan sudah pun dimasukkan ke dalam akaun KOM, saya ingin menuntut wang berkenaan secepat mungkin sebab tak mahu perkara sama berulang seperti tahun lalu," katanya.

Jelas Rajasegram, tuntutan berkenaan bukanlah sesuatu yang remeh kerana jelas beliau, tanpa bantuan wang berkenaan, POAJ serta persatuan negeri lain sukar untuk menganjurkan kejohanan peringkat negeri serta menggerakkan program-program pembangunan.


"Kami bukan suka-suka menuntut wang ini, sebaliknya semuanya bersebab. Nanti bila kita tak buat program atau kejohanan, mereka (KOM) kata kita tak buat kerja pula.

"Sebab itu kita mahu membuat tuntutan dengan kadar segera, malah saya sudah mengambil inisiatif menghantar surat melalui emel kepada KOM mengenai tuntutan ini," katanya.


Tahun lalu, Rajasegram pernah menuntut wang berkenaan tetapi jawapan balas KOM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Karim Ibrahim menyatakan POAJ tidak diberi bantuan sepenuhnya pada 2009 kerana tidak menyediakan laporan dan menganjurkan kejohanan.


Sementara untuk tahun 2010, hanya RM5,000 dapat diagihkan kerana wang penajaan digunakan bagi menampung kos latihan dan penghantaran atlet selain membayar hutang kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).


Bagi tahun lalu pula, Karim mengakui pihaknya belum memberi peruntukan kerana tidak mendapat wang penajaan, namun beliau bertegas, pembayaran itu bergantung kepada sejauh mana persatuan negeri menjalankan program.


Mat Zan direhatkan

Posted: 03 May 2012 10:55 AM PDT

JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris terpaksa membayar harga mahal akibat kegagalan pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Kini pengendali pasukan berusia 54 tahun itu direhatkan buat sementara waktu dan tugasnya diambil alih penolong jurulatih, Khalid Mat Dahan.


Setiausaha Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, keputusan merehatkan Mat Zan dipersetujui menyuarat Jawatankuasa Majlis selepas Terengganu seri tanpa jaringan dengan Sime Darby FC di Stadium Selayang dan terkeluar daripada final Piala FA.

"Khalid akan mengambil tempat Mat Zan dalam perlawanan menentang Perak esok (hari ini) dan beliau juga akan mengendalikan pasukan apabila bertandang ke Hong Kong untuk bertemu Kitchee dalam perlawanan terakhir kumpulan F Piala AFC, Rabu depan.


"Memang sukar untuk kami mengambil keputusan merehatkan Mat Zan namun itulah yang kami putuskan selepas bermesyuarat hingga hampir ke jam 4 pagi kelmarin," katanya.


Menurutnya, tekanan mula dirasakan oleh pasukan apabila seri tanpa jaringan dengan Johor FC di tempat sendiri akhir Mac lalu dan kekalahan besar 1-6 di tangan Selangor seminggu kemudian di Shah Alam tambah memburukkan keadaan.

Namun kemenangan ke atas LionsXII dalam Piala FA disusuli Negeri Sembilan di saingan Liga Super melegakan sedikit tekanan terhadap Mat Zan dan juga Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan.


Keadaan menjadi keruh kembali apabila Terengganu tewas kepada kelab Hong Kong, Kitchee dan kelab Singapura, Tampines Rovers dalam saingan Piala AFC dengan penyokong mula menyuarakan permintaan jurulatih dan pengurus pasukan meletakkan jawatan.

Selepas tewas kepada Sime Darby FC dalam perlawanan timbal balik pertama separuh akhir Piala FA, segelintir penyokong berani merusuh sehingga kediaman Che Mat turut diserang dengan balingan batu dan botol.


"Mat Zan akhirnya berjaya meredakan tekanan dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Piala AFC hasil kemenangan besar 6-2 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di Kuala Terengganu dua minggu lalu.


"Namun yang lebih penting adalah Piala FA dan Mat Zan terpaksa kami rehatkan kerana gagal membawa pasukan ke perlawanan akhir untuk mempertahankan kejuaraan yang kami menangi musim lalu," katanya.


Abdullah juga mengaku persatuan sedang menimbang sama ada mahu mengambil jurulatih baru untuk menggantikan Mat Zan yang mempunyai kontrak dua tahun dengan skuad Penyu.


Antara nama yang disebut ialah bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler, yang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk berkhidmat di Terengganu.


"Namun semua itu masih di peringkat perbincangan dan tidak ada kata putus dibuat dalam masa terdekat ini," katanya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan