Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


KOM diheret ke CAS

Posted:

KOM diheret ke CAS

KOM diheret ke CAS

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akhirnya diheret ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Ia berikutan tindakan KOM yang hanya mengenakan amaran keras kepada enam atlet pecut negara yang melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu seterusnya menyebabkan Agensi Antidoping Dunia (WADA) membawa kes tersebut ke CAS di Lausanne, Switzerland.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai (gambar kecil) semalam.

"Ya, memang KOM telah menerima surat daripada CAS berhubung kes itu. Berdasarkan kandungan surat itu, KOM diberi tempoh selama 10 hari untuk mengemukakan rayuan dan ia perlu sampai ke CAS selewat-lewatnya pada 21 Mei ini.

"Saya sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Presiden KOM (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan KOM akan mengadakan perbincangan dengan peguam kami bagi mengetahui lebih lanjut proses untuk membuat rayuan," kata Annamalai ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan WADA bersedia untuk mengheret KOM ke CAS jika badan induk itu gagal menyelesaikan segera isu berhubung hukuman terhadap enam atlet pecut negara yang melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping tersebut.

Ketua Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Nishel Kumar berkata, hukuman berbentuk amaran keras yang dikenakan KOM terhadap keenam-enam atlet terlibat ternyata telah melanggar peraturan ditetapkan WADA.

Katanya, mengikut peraturan WADA, melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping adalah satu kesalahan dan sekurang-kurangnya perlu dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun dan bukan sekadar diberi amaran keras.

Ditanya sama ada KOM tidak sedar dengan peraturan yang telah ditetapkan WADA itu sebelum membuat keputusan sekadar mengenakan amaran keras terhadap atlet yang terlibat, Annamalai menjawab: "Kita memang sedia maklum mengenai peraturan itu."

"Namun dalam kes ini, KOM mengambil kira daripada semua aspek. Salah satu daripadanya, keenam-enam atlet yang terlibat itu jelas tidak bersalah.

"Selepas melakukan siasatan, KOM mendapati (bekas) jurulatih mereka (Harun Rasheed Othman) yang bersalah dalam hal ini kerana telah mengarahkan keenam-enam atlet terbabit melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping.

"Dengan mengambil kira usia atlet yang masih muda, hukuman penggantungan sudah pasti akan memusnahkan karier mereka dalam sukan olahraga. Selain itu, KOM juga mahu membela nasib atlet-atlet itu yang dilihat mempunyai potensi cerah untuk menjadi jaguh sukan olahraga.

"Disebabkan itu, KOM hanya mengenakan amaran keras kepada mereka dan jurulatih yang terlibat telah dikenakan penggantungan selama setahun," ujar Annamalai lagi.

Pada 24 Mei tahun lalu, enam atlet pecut negara, Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd. Imran Abd Hadi telah melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping di pejabat Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil.

Rentetan daripada isu tersebut, KOM telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Annamalai pada September tahun lalu bagi mengetahui punca sebenar berhubung masalah yang timbul itu.

"Jika KOM gagal dalam proses rayuan, kami menerima dengan hati yang terbuka segala bentuk hukuman yang akan dikenakan baik daripada WADA, IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa) atau CAS kepada kami," tambah Annamalai.

BAM tampil skrip berbeza

Posted:

BAM tampil skrip berbeza

BAM tampil skrip berbeza

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SEHARI selepas bekas jurulatih beregu badminton lelaki negara, Yoo Yong-sung mendedahkan punca dia meletak jawatan, semalam giliran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula tampil dengan skrip berbeza.

Pada satu sidang akhbar khas di Sri Hartamas, Kuala Lumpur kelmarin, Yong-sung menjelaskan, keputusannya meletak jawatan adalah disebabkan BAM tidak membenarkannya melatih pemain yang sama secara tetap dan bukannya soal gaji.

Bagaimanapun, pendedahan mengejut yang dibuat Yong-sung itu dinafikan oleh Pengurus Besar BAM, Kenny Goh ketika ditemui pemberita di pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Menurut Kenny, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu telah diberi peranan untuk melatih gandingan muda negara, Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat secara tetap dua bulan sebelum tempoh percubaannya tamat.

"Pada awal pelantikan Yong-sung, BAM telah meletakkan tempoh percubaan selama enam bulan kepada beliau.

"Memang pada awalnya Yong- sung tidak ada pemain tetap untuk dilatih tetapi dalam hal ini, BAM menyerahkan segala keputusan dibuat oleh Tan Kim Her (ketua jurulatih beregu lelaki negara). Mungkin Kim Her ada perancangannya yang tersendiri.

"Namun, dua bulan sebelum tamat tempoh percubaannya itu, kita telah memberi peranan kepada Yong-sung untuk melatih Ee Yi-Nelson.

"Jadi, mengapa pula dia mempersoalkan BAM tidak memberikan pemain tetap untuk dilatihnya," kata Kenny.

Menurut Kenny, kenyataan Yong- sung yang dia tidak pernah meminta kepada BAM untuk menaikkan gajinya adalah tidak benar.

"Pada awal Mac lalu, Yong-sung ada datang bertemu dengan saya dan Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM) bagi meminta agar kadar gajinya dinaikkan dan membenarkan dia melatih pemain yang sama secara tetap.

"Namun, soal melatih pemain kami telah memaklumkan kepada Yong- sung bahawa pemain beregu lelaki sudah ditetapkan untuk jurulatih tertentu dengan ketetapan program latihan dan tugasan jurulatih bagi kejohanan antarabangsa.

"Soal gaji pula, kami telah mengadakan perbincangan semula dengan Yong-sung pada 24 April lalu yang mana dia sekali lagi meminta agar gajinya dinaikkan. Kali ini, dia meminta gaji dinaikkan sebanyak tiga kali ganda berbanding yang diterimanya ketika itu.

"Kami telah membawa perkara itu dalam mesyuarat Exco BAM pada 27 April lalu. Barisan Exco setuju untuk mengesahkan jawatannya selaku jurulatih tetapi tanpa sebarang kenaikan gaji," jelas Kenny.

Di sebalik masalah yang timbul itu, Kenny memberitahu, komunikasi dianggap sebagai punca utama wujudnya isu tersebut.

"Saya rasa ini masalah ini timbul disebabkan faktor komunikasi. Yong-sung tidak fasih berbahasa Inggeris dan mungkin apa yang kami (BAM) maklumkan kepadanya dalam perbincangan-perbincangan sebelum ini tidak difahami sepenuhnya.

"Kami juga mengalami masalah yang sama kerana ada ketika kami juga tidak faham apa yang dikatakan oleh Yong-sung.

"BAM tidak mahu memperbesar- besarkan mengenai isu ini. Kami mahu memberi tumpuan penuh terhadap persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2012 dan Piala Thomas yang akan bermula beberapa hari lagi.

"Apa pun, BAM mengucapkan terima kasih kepada Yong-sung atas khidmatnya selama ini," jelas Kenny.

'Ronaldinho bukan ancaman'

Posted:

'Ronaldinho bukan ancaman'

'Ronaldinho bukan ancaman'

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

KURANG 48 jam sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA, pengendali Kelantan, Bojan Hodak memulakan perang psikologi selepas mendakwa penyerang import Sime Darby FC, Patrick Ronaldinho Wleh bukanlah penyerang yang terlalu berbahaya buat pasukannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pemain berasal dari Liberia itu merupakan antara pemain import terbaik yang beraksi dalam Liga Premier ketika ini, termasuk meledakkan lima gol pada aksi Piala FA.

Menurutnya, Liga Premier dan Liga Super mempunyai tahap berbeza serta aksi yang dipamerkan oleh setiap pasukan juga berlainan selain kemampuan para pemain juga pastinya tidak sama.

"Dia seorang pemain yang bagus pada Liga Premier tetapi Liga Super mempunyai tahap yang berbeza. Dia mungkin boleh menjaringkan gol di sana tetapi saya tidak pasti sama ada dia boleh menjaringkan gol jika beraksi di Liga Super.

"Jika anda lihat, terlalu banyak ruang pada aksi Liga Premier. Ketika dia menjaringkan gol tiada pemain lawan berada berhampirannya. Saya fikir itu tidak akan terjadi dalam Liga Super," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, barisan pertahanannya perlu lebih fokus dalam menangani serangan pasukan lawan dan menutup semua ruang serta tidak membenarkan Ronaldinho dan seorang lagi penyerang Sime Darby, Razali Umar Kandasamy bergerak bebas.

Mengulas mengenai kekuatan Sime Darby, Hodak berkata, pasukan tersebut mempunyai disiplin yang cukup baik biarpun tidak memiliki pemain bintang, selain daripada pemain yang rajin dan berkualiti.

"Dalam tempoh 90 minit mereka tidak berubah. Sama ada mereka mendahului atau ketinggalan, kekuatan mereka tetap sama. Kekuatan utama mereka adalah kerjasama.

"Semua orang bercakap Kelantan akan menjaringkan gol dengan banyak dan menang tetapi saya tidak mahu ia menjadikan kita terlampau yakin.

"Saya tidak risau sama ada perlawanan berlarutan ke masa tambahan ataupun penalti, kita mempunyai kualiti dan bersedia untuk itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Hodak memberitahu, beliau kini sudah mengenal pasti lapan pemainnya yang akan beraksi pada perlawanan tersebut, namun tiga lagi pemain akan diputuskan sebelum perlawanan.

"Saya sudah ada pemain yang dalam perancangan. Lapan daripada mereka hampir pasti tetapi tiga lagi saya akan putuskan. Saya tidak akan beritahu anda sekarang.

"Semua orang mahu bermain pada perlawanan akhir tetapi ini adalah bola sepak, saya hanya perlu memilih 11 pemain. Apa yang boleh saya lakukan, saya mahu mereka yang dipilih memberi komitmen 200 peratus," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan