Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Penyerang tiada taji

Posted: 01 Jun 2012 12:28 PM PDT

FILIPINA tidaklah terlalu Eropah, namun penyerang Datuk K Rajagobal terlalu tumpul untuk membolosi benteng terakhir skuad Azkals.

Sembilan daripada kesebelasan utama Filipina adalah pemain yang berpangkalan di Eropah, namun itu bukan cerita utama kerana rembatan ke langit skuad negara lebih mendapat perhatian.


Dengan peluang terbaik terhidang tidak terkira banyaknya, cubaan rangkaian penyerang negara Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan Shahurain Abu Samah, satupun tiada yang tepat ke gawang Filipina.

Skuad bimbingan Rajagobal lebih kreatif di babak pertama apabila lebih banyak mengancam benteng pertahanan Filipina yang diketuai penjaga gol Roland Richard Muller.


Begitupun skuad Harimau Malaya mengundang padah dengan kealpaan pertahanan melakukan hantaran ke belakang hampir membuatkan gawang negara yang dikawal Mohd Farizal Marlias dibolosi seawal minit pertama.


Hantaran lintang cantik juga kerap dilakukan S Kunalan dengan 'dummy' oleh Norshahrul tetapi sayang gagal disepak kemas Safee.

Serangan Filipina sebaliknya lebih terarah kepada penyerang tinggi lampai Angel Guirado, namun tidak cukup tajam menyaksikan separuh pertama berkesudahan tanpa jaringan.


Di babak kedua, penguasaan skuad negara berterusan namun masalah sama berlaku iaitu ketumpulan penyudah.

Safiq memiliki empat peluang terbaik menjaringkan gol termasuk sepakan percuma namun ketepatan menjadi kepincangan terbesar.


Kemasukan S Chanturu juga gagal mengubah senario di atas padang. Penguasaan bola dan serangan bertali arus gagal memecah kebuntuan menyaksikan Rajagobal sekali lagi menyuarakan rasa puas hati dengan sejumlah 16 peluang di depan gawang yang dipersia-siakan.


Selepas ini ada dua lagi perlawanan persahabatan buat skuad Harimau Malaya, iaitu berdepan Singapura di gelanggang lawan dan di Stadium Shah Alam iaitu pada 8 dan 12 Jun ini.


Sebelum ini pemain Rajagobal seri 1-1 dengan Filipina di tempat lawan, menang ke atas Sri Lanka 6-0, Kelantan 5-0, Sabah 1-0 dan seri 1-1 dengan Sarawak.




‘Segera selesaikan’

Posted: 01 Jun 2012 12:18 PM PDT

BEKAS jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengharapkan kemelut penamatan kontrak Mat Zan Mat Aris (gambar) dapat diselesaikan segera dengan cara terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Jurulatih berusia 60 tahun yang kini mengendali pasukan Selangor tidak mahu melihat Mat Zan yang mengambil tempatnya sebagai ketua jurulatih Terengganu akhir musim lalu teraniaya akibat penamatan awal kontrak dua tahunnya.


Irfan yang mengaku masih sayangkan pasukan Penyu berkata, masalah luar padang boleh memberi kesan kepada prestasi dalam padang dan dia cuma mahukan yang terbaik untuk pasukan yang pernah dibimbingnya selama dua tahun itu.

"Bagi saya, seorang jurulatih memerlukan masa secukupnya untuk membentuk pasukan mantap dan agak malang buat seorang jurulatih jika khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi selepas beberapa bulan bertugas.


"Saya juga memerlukan masa untuk membentuk pasukan berwibawa ketika mengambil tempat (Ken) Worden dulu dan cuma di tahun kedua, kami berjaya menjadi juara Piala FA, naib johan Piala Malaysia dan menduduki tangga kedua Liga Super," katanya.


Namun, kata jurulatih kelahiran Kelantan itu, sekiranya perpisahan sudah tidak dapat dielakkan lagi maka kedua pihak perlu berpisah dengan cara baik supaya prestasi pasukan tidak terjejas akibat masalah luar padang.

"Jalan penyelesaian akan dapat dicari sekiranya kedua belah pihak memahami isi kandungan kontrak yang ditandatangani namun semua yang terbabit perlu jujur, telus dan tidak mencari peluang untuk kepentingan sebelah pihak," katanya.


Sementara itu, Mat Zan yang menamatkan tempoh 'rehat' selama sebulan semalam, berkata masih belum ada berita daripada persatuan mengenai kedudukannya dalam pasukan.

Jurulatih berusia 54 tahun yang tempatnya kini diambil oleh bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler, berkata tidak keterlaluan untuknya meminta majikannya membayar gajinya sehingga hujung tahun ini kerana dia mengikat kontrak selama dua tahun.


"Saya ada meminta pandangan nasihat daripada beberapa jurulatih lain yang pernah ditamatkan kontrak lebih awal dan saya mendapati majikan mereka bertindak adil dan saksama dengan membayar pampasan yang sewajarnya.


"Saya juga ingin mendapat sedikit keadilan daripada majikan saya dan berharap mereka akan menghubungi saya dengan berita yang lebih menggembirakan dalam masa terdekat ini," katanya.


Pada masa sama, isu penamatan kontrak Mat Zan yang menemui jalan buntu pada masa ini juga mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.


Namun menurut Rozi yang ditemui ketika pelancaran program mencari bakat baru pelumba motosikal, Evolusi R, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu kelmarin, berkata pihaknya cuma memantau keadaan buat masa ini.


"Belum masanya untuk kami masuk campur dalam hal dalaman ini dan kami yakin pihak persatuan dapat menangani masalah terbabit dalam masa terdekat ini," katanya.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan