Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Malaya tekad pulih reputasi

Posted:

Harimau Malaya tekad pulih reputasi

Harimau Malaya tekad pulih reputasi

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SAFEE jelas kecewa apabila gagal menjaringkan gol ketika menentang Filipina di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.


KEKECEWAAN jelas tergambar pada riak wajah penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali sejurus tamat aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Apa tidaknya, Safee terus gagal menamatkan kemarau jaringan bersama skuad kebangsaan sejak November tahun lalu.

Biarpun memiliki sekurang-kurangnya empat peluang terbaik, Safee masih gagal merobek gawang Filipina sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

"Ia satu perlawanan yang cukup sengit. Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi masih gagal menyudahkannya dengan baik.

"Memang keputusan itu sukar saya terima. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki," kata Safee kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Bagaimanapun, Safee mahu menebus kekecewaannya itu apabila Harimau Malaya berdepan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, 8 Jun ini.

"Kami akan mempertingkatkan usaha kami dan berharap kesilapan serta kelemahan yang sama tidak akan berulang ketika menentang Singapura nanti.

"Lebih mustahak, kami perlu memanfaatkan peluang jaringan yang terhidang," jelasnya.

Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim turut menganggap keputusan seri tanpa jaringan dengan Filipina itu dapat dijadikan sebagai pengajaran.

Selain tekad untuk memperbaiki kesilapan, perancang Selangor itu bersedia untuk meningkatkan lagi tahap persembahan ketika menentang Singapura nanti.

"Satu pengajaran buat saya dan rakan-rakan sepasukan. Kami sebenarnya mampu memenangi perlawanan tersebut tetapi gagal untuk memanfaatkan peluang yang ada.

"Ia merupakan satu keputusan yang tidak positif. Kami tidak harus mempersia-siakan lagi peluang yang ada dan kami akan memperbaiki kelemahan ketika menentang Singapura," ujarnya.

Selepas bertandang ke Stadium Jalan Besar, Harimau Malaya akan menanti kunjungan Singapura pada aksi persahabatan kedua di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kini dalam persiapan menjelang misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 yang akan berlangsung November depan.

Perhitungan Argentina, New Zealand

Posted:

Perhitungan Argentina, New Zealand

Perhitungan Argentina, New Zealand

Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@kosmo.com.my


PEMAIN Malaysia, Azlan Misron (kiri) mengasak pemain Argentina, Lucas Hernan Cammareri pada aksi di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.


JUARA edisi 2008, Argentina akan berdepan New Zealand pada aksi final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Argentina layak ke pentas final setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan Argentina merekodkan 12 mata hasil empat kemenangan.

Walaupun tumpas 0-1 kepada Korea Selatan pada aksi yang berlangsung petang semalam, New Zealand tetap layak ke final setelah mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan.

New Zealand mencipta sejarah apabila layak kali pertama ke pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983.

Malaysia pula kekal berada di tangga keenam dan akan menentang Korea Selatan pada perlawanan klasifikasi tempat kelima/keenam petang ini.

Pada aksi semalam, Malaysia dan Argentina dilihat mempamerkan permainan berhati-hati sehingga menyebabkan persembahan mereka agak hambar pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Argentina mula mempamerkan taring dengan melakukan beberapa serangan berbahaya ke kubu Malaysia.

Akhirnya, pasukan dari Amerika Selatan itu berjaya menembusi pintu gol Malaysia melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Pedro Ibarra pada minit ke-40.

Ketumpulan jentera serangan membuatkan Malaysia terlepas beberapa peluang terbaik bagi mendapatkan gol penyamaan.

Sementara itu, Britain berjaya menduduki tangga ketiga setelah menumpaskan Pakistan 2-1 melalui jaringan Barry Middleton pada minit ke-47 dan Ashley Jackson (66).

Gol tunggal Pakistan dijaringkan oleh Abdul Haseem Khan pada minit ke-15.

Pakistan yang muncul juara pada edisi 1999, 2000 dan 2003 berada di tangga tercorot daripada tujuh negara yang menyertai kejohanan kali ini.

Anak Malaysia kembali tembusi benua Eropah

Posted:

Anak Malaysia kembali tembusi benua Eropah

Anak Malaysia kembali tembusi benua Eropah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SAH... Nazmi nyata teruja apabila menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab Beira Mar pada 22 Mei lalu.


KEJAYAAN arkitek muda berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor menakluk benua Eropah bukan lagi menjadi satu rahsia.

Pada 22 Mei lalu, pemain kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu sah mengikat kontrak dengan kelab Divisyen Satu Portugal, S.C. Beira-Mar selama tiga tahun.

Sudah pasti, kecemerlangan anak keempat daripada lima beradik itu menembusi pasaran bola sepak Eropah berjaya menerbitkan perasaan teruja dalam kalangan penggiat serta peminat bola sepak tempatan.

Namun mungkin ada segelintir yang terlepas pandang betapa pencapaian anak kepada pasangan Mansor Mustafa dan Normala Nordin itu bukanlah sesuatu yang baharu buat dunia bola sepak negara sebenarnya.

Sejak era 1970-an lagi, beberapa legenda bola sepak tanah air seperti Wong Kam Fook, Chow Chee Keong dan Lim Fung Kee seolah-olah memiliki tenaga yang cukup luar biasa apabila beraksi dalam dua liga berbeza dalam tempoh masa yang sama - Malaysia dan Hong Kong.

Kehebatan pembantu jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich, Lim Teong Kim menyarung jersi kelab Jerman, Hertha BSC Berlin pada era 1980-an juga sesuatu yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kesinambungan itu juga dilihat berjaya diteruskan menerusi pemain-pemain generasi millenium seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari dan terbaharu, Safee Sali.

Meskipun bukan yang pertama, sekurang-kurangnya resume Nazmi kini cukup mahal sebagai antara permata negara yang sedang digilap untuk menyinar seantero dunia.

Cuma setiap permata yang berkilat juga boleh pudar jika tidak kena pada gayanya barangkali.

Sejarah sudah membuktikan segala-galanya. Faktor wang ringgit, kemasyhuran dan anasir-anasir negatif yang lain mampu menjadi 'racun' yang tidak pernah diundang.

Situasi itu seharusnya menjadi 'sempadan' buat Nazmi jika mahu mengecap kejayaan di rantau orang.

Jiwa harus kental

Penganalisis sukan, Rizal Hashim percaya betapa Nazmi memerlukan satu sistem sokongan yang cukup kuat sepanjang menimba ilmu di Portugal.

Menurut beliau, sejarah segelintir pemain terdahulu yang 'merengek' mahu pulang gara-gara merindui suasana kampung halaman tidak mustahil bakal berulang jika Nazmi tidak menerima sokongan sepenuhnya.

"Pemain muda seperti Nazmi memerlukan satu sistem sokongan yang kuat seperti keluarga angkat dari negara kita sebagai tempat rujukan sekiranya dia tidak dapat ditemani ahli keluarga sepanjang berada di sana.

"Pemain bertaraf dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldinho juga membawa ahli keluarga semasa mewakili Barcelona.

"Sebagai contoh, Akhmal Rizal juga ditemani seorang chef dan seorang usahawan semasa berguru di Perancis, sebab itu dia cemerlang menimba ilmu serta menjadi kayu pengukur yang disegani rakan-rakan sepasukan sekembalinya beliau ke Malaysia," kata Rizal kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Rizal, Nazmi bukan sahaja berdepan cabaran bersama rakan-rakan sepasukan sepanjang mengikuti latihan, malah perlu segera menyesuaikan diri dengan budaya yang pastinya berbeza di Portugal.

"Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada ejen semata-mata jika tidak mahu Nazmi 'tewas sebelum berjuang'.

"Jiwa Nazmi perlu kental, tambahan pula peluang beraksi dalam liga yang mementingkan aspek teknikal dan bukannya fizikal di Portugal bukannya selalu ada depan mata.

"Saya percaya, Nazmi memiliki kebolehan tersebut dan kekal di sana untuk sekurang-kurangnya dua musim sebelum berhijrah ke saingan liga yang lebih baik seperti Perancis dan Belgium selepas ini," katanya.

Bapa Nazmi, Mansor juga tidak mahu perjalanan anaknya terhenti sebegitu sahaja meskipun pada awalnya mengakui tidak menyangka pemain berusia 18 tahun tersebut boleh pergi sejauh itu.

"Saya harap ia dapat menjadi batu loncatan buat Nazmi untuk melangkah lebih jauh dan menimba sebanyak mana pengalaman yang mungkin.

"Saya yakin Nazmi tidak mempunyai masalah tinggal di Portugal kerana sejak menuntut di sekolah menengah, dia sudah biasa tinggal berjauhan dengan keluarga," katanya.

'Kaka Malaysia'

Penghijrahan Nazmi itu merupakan pengorbanan kedua yang dilakukan pemain tersebut selepas terpaksa 'melupakan' Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Untuk rekod, nama Nazmi mula meniti di bibir peminat tempatan apabila disenaraikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta pada 2011.

Sejak itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang. 'Saham' Nazmi semakin melambung apabila dia berjaya meledak gol yang cukup cantik dari luar kotak penalti ketika berdepan Bahrain dalam kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 November 2011.

Mungkin, tidak keterlaluan jika ada peminat tanah air yang melabelkan Nazmi sebagai 'Kaka Malaysia', namun jurulatih Beira-Mar, Ulisses Morales melihat pemain muda itu persis pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar.

Seorang lagi penganalisis sukan, Serbegeth Singh yang juga lebih dikenali sebagai Shebby pula berasakan gaya permainan Nazmi mirip arkitek negara pada awal 1990-an, Azizol Abu Hanifah.

Shebby turut percaya Nazmi memiliki kriteria secukupnya sebagai seorang bintang.

Shebby sebelum ini dilaporkan berkata, corak permainan yang ditunjukkan Nazmi cukup matang berbanding usianya.

"Setelah sekian lama, kita berjaya memiliki pemain muda berbakat seperti Nazmi yang mampu bersaing dengan skuad senior dan memberikan kelebihan kepada sukan bola sepak negara untuk jangka masa panjang," kata Shebby yang dipetik menerusi satu laporan portal sebelum ini.

Namun adat pemain bola sepak, pasti ada segelintir peminat yang khuatir skuad negara bakal kehilangan sentuhan Nazmi terutamanya ketika menyertai kejohanan berskala besar kerana komitmennya bersama kelab.

Namun Kim Swee yang lebih mengenali Nazmi 'luar dan dalam' percaya itu bukannya satu alasan bagi menghalang mana-mana pemainnya berhijrah ke mana-mana kelab luar.

Kim Swee berkata, masih ramai pemainnya yang dilihat berpotensi mengikuti jejak langkah Nazmi selepas ini seperti mana Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria yang bakal menjalani ujian bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu bulan depan.

"Pujian harus diberikan kepada Nazmi yang telah banyak berusaha untuk beraksi di Eropah.

"Sejujurnya, saya sangat bangga apabila mengetahui salah seorang pemain muda negara dapat beraksi bersama salah sebuah kelab utama di Portugal.

"Ini menunjukkan hasil usaha FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menghantar pemain-pemain muda beraksi di Slovakia telah membuahkan hasil, seterusnya menutup mulut para pengkritik yang mengatakan ia satu pembaziran," katanya.

Untuk rekod, Kim Swee merupakan individu bertanggungjawab mencungkil bakat Nazmi apabila mula menyaksikan kelibat pemain itu empat tahun lalu.

"Ramai pihak yang mempersoalkan saya apabila menyenaraikan Nazmi bagi mewakili negara pada Sukan SEA biarpun baru berusia 17 tahun.

"Ada pihak turut mempertikai keputusan saya apabila menurunkan Nazmi ketika menentang Thailand tetapi sejak itu, dia telah dikenali ramai," katanya.

Ternyata harapan yang digalas Nazmi ketika ini sememangnya cukup besar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Meminjam kata-kata Fadzli yang kini mewakili T-Team kepada pihak media sebelum ini: "Apa yang penting, mentaliti pemain itu sendiri. Kalau hati dan fikiran mereka masih di Malaysia, tidak ada gunanya."

Apa yang pasti, doa keluarga dan jutaan peminat sentiasa mengiringi kejayaan Nazmi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan