Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Bukan omong kosong’

Posted: 04 Jun 2012 11:33 AM PDT

"INI bukan cakap kosong, saya dan rakan sepasukan berjanji akan mendapatkan keputusan positif menentang Singapura."

Demikian kata-kata semangat yang diluahkan kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menjelang aksi persahabatan antarabangsa dengan Singapura di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini.


Selepas aksi kurang memberangsangkan ketika seri tanpa jaringan dengan Filipina di Stadium Shah Alam Jumaat lalu, pemain tengah itu yakin mereka akan mempamerkan kemampuan sebenar sebagai juara bertahan Piala Suzuki AFF biarpun sedar Singapura bukan pasukan yang boleh diperlekehkan.

"Setiap perlawanan adalah pengalaman baru buat kami. Memang ketika menentang Filipina kami banyak mensia-siakan peluang tapi perlawanan itu akan mematangkan permainan kami.


"Kami sudah membuat persediaan terbaik untuk menentang Singapura, jadi saya harap kami akan mendapat keputusan baik, tidak kira perlawanan di gelanggang lawan dan di tempat sendiri," katanya yang ditemui selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Skuad kebangsaan yang akan berlepas ke Singapura esok sekali lagi bertandang ke Stadium Jalan Besar yang memberikan kenangan pahit apabila anak buah Datuk K Rajagobal tewas 3-5 pada perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

Malah skuad Singa itu dianggap kebal di gelanggang sendiri apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Malaysia sejak 2006 dalam tiga pertemuan dengan mencatat dua kemenangan dan satu seri.


Daripada lapan pertembungan kedua-dua musuh tradisi itu sejak 2006, Malaysia hanya menang sekali pada separuh akhir Piala Merdeka 2007 (3-1) manakala selebihnya seri lima kali dan kalah dua kali.

Bagi Safiq, 24, yang beraksi dengan pasukan Liga Super Selangor, pertemuan dengan Singapura amat penting buatnya untuk menebus kehampaan apabila dilayangkan kad merah ketika skuad kebangsaan tumpas kepada musuh tradisi itu tahun lalu di padang rumput tiruan, Stadium Jalan Besar.


"Saya dibuang padang pada separuh masa kedua, memang kecewa dan berharap perkara itu yang terakhir terjadi buat saya. Bagi saya setiap pasukan ada kelemahan dan kelebihan, kalau kita pandai gunakan kelebihan, kita boleh meraih kemenangan," katanya.


Selepas aksi di Singapura, skuad kebangsaan akan melayan kunjungan skuad kendalian Radojko Avramovic di Stadium Shah Alam pada 12 Jun ini.




MPB dilanda ‘demam’

Posted: 04 Jun 2012 11:28 AM PDT

DEMAM Euro 2012 yang kini berbaki empat hari lagi menyaksikan syarikat di bawah naungan Media Prima Berhad (MPB) turut sama menghangatkan suasana menerusi kejohanan Futsal Piala Emas, bermula pada 2 hingga15 Jun ini.

Selari dengan kempen menaikkan lagi semangat Euro 2012 yang bakal membuka tirai di Poland dan Ukraine, awal pagi Sabtu ini, Media Prima Content Services Sdn Bhd (MPCS) mengambil inisiatif untuk mengukuhkan lagi promosi Emas iaitu saluran baru MPB yang berkonsepkan retro kontemporari. Ia dipancarkan melalui HyppTV iaitu perkhidmatan Televisyen Protokol Internet disediakan TM.


Saingan yang mengikut format Euro ini berlangsung di Gelanggang Futsal The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dengan menyaksikan 21 pasukan di bawah bumbung MPB berentap di pusingan kelayakan terlebih dulu, Sabtu lalu.

Lebih menarik, setiap pasukan diberi nama negara yang beraksi di Euro 2012, antaranya NST Editorial mewakili Denmark, MY TV3 Dragon (Russia), Balai Berita Shah Alam (Belanda), Pemasaran NSTP (Itali), Pemasaran TV3 (Poland), Berita Semasa ntv7 (Perancis), Pengedaran NST (Greek), Konti TV3 (Republik Czech) dan Bahagian Kejuruteraan TV3 (Sepanyol).


Enam belas pasukan yang layak kemudian berentap secara liga semalam bagi merebut kedudukan lapan terbaik, sekali gus mara ke final. Turut hadir menyaksikan saingan, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah.


Juara akan membawa pulang RM1,000 berserta Piala Emas manakala kedua, RM700 dan ketiga, RM500. Penjaring terbanyak akan turut dianugerahkan Kasut Emas.

Setakat ini empat pemain yang tersenarai selaku penjaring terbanyak menerusi saingan kelayakan adalah Hail Roshman dari Pemasaran NSTP (Itali), Aidid Marcello dari MY TV3 Dragon (Russia), Zarul Iskandar dari ALT CSD (Croatia) dan Melvin Loi, Big Tree 2 (Sweden).




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan