Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Beza 1,414 mata

Posted: 21 Jun 2012 01:34 PM PDT

LIN DAN merampas ranking nombor satu dunia milik pemain negara, Datuk Lee Chong Wei selepas kedudukan terbaru dikeluarkan badan induk badminton dunia BWF semalam menunjukkan jaguh China itu yang juga pemenang pingat emas Olimpik Beijing, meninggalkan pencabarnya dengan perbezaan 1,414 mata.

Berikutan kecederaan dialami Chong Wei, peralihan ranking ini memang dijangka selepas pemain utama negara itu tidak dapat menyertai sebarang kejohanan, termasuk Siri Super Premier Terbuka Indonesia minggu lalu, kejohanan yang pada awalnya berada dalam kalendar pertandingan Chong Wei.


"Kami memang jangkakan perkara ini akan berlaku kerana sebelum ini kedudukan mata antara Chong Wei dan Lin Dan terlalu rapat," kata jurulatihnya Tey Seu Bock.

Kedudukan ranking terbaru itu dikira berdasarkan penyertaan Lin Dan di Terbuka Thailand, meskipun juara Olimpik itu terkandas di suku akhir.


Chong Wei mengungguli ranking nombor satu dunia sejak 21 Ogos 2008 hingga 20 Jun lalu.


Perubahan ranking dunia ini bagaimanapun tidak akan mempengaruhi 'seeding' pemain di temasya Olimpik London bulan depan kerana ia diatur mengikut kedudukan ranking 3 Mei lalu.

Begitupun, Lin Dan pastinya mendapat satu lagi semangat tambahan menjelang saingan badminton di Olimpik London yang akan bermula 28 Julai hingga 5 Ogos ini.


Selain rekod pertemuan yang memihak Lin Dan, kecederaan Chong Wei yang dialami di pusingan akhir Piala Thomas Mei lalu, menjadi tonik paling berharga buat jaguh China itu meraih keyakinan tinggi mempertahankan emas Olimpik kali ini.


Tarikh tutup penyertaan

Posted: 21 Jun 2012 09:36 AM PDT

TARIKH tutup merebut slot ke Grand Final Karnival Futsal Harian Metro dibawa oleh AmBank 2012 berakhir hari ini dan setiap pasukan yang berminat diminta segera membuat bayaran menyertai saingan Zon Selatan pada 30 Jun dan 1 Julai ini.

Zon Selatan yang berlangsung di Sports Prima Johor Bahru itu turut menjadi medan terakhir untuk setiap pemain Karnival Bola Jaring Harian Metro merebut hadiah lumayan di saingan kemuncak di Melaka, bulan depan.


Lantaran itu, sebarang perubahan atau penambahan pemain perlu dilaksanakan hari ini bagi memastikan tiada sebarang masalah sepanjang kejohanan berlangsung. Penukaran pemain sama sekali tidak akan dilayan selepas tarikh tutup. Semua pasukan diminta mematuhi segala syarat permainan yang ditetapkan memandangkan penganjur berhak membatalkan mana-mana penyertaan pasukan yang ingkar.

Antara syarat itu adalah memakai jersi bernombor dan berlengan selain memakai stoking panjang dan pelindung tulang keting bagi mengelak sebarang kecederaan serius. Tujuan pelaksanaan syarat ketat itu adalah bagi memastikan setiap pasukan lebih berdisiplin selain mengurangkan risiko kecederaan ditanggung sepenuhnya pemain. Selain itu, setiap pasukan diingatkan supaya tidak menurunkan pemain dikuarantin, yakni tidak layak beraksi seperti pemain kebangsaan dan negeri kecuali dua yang dibenarkan kerana tiada sebarang kompromi terhadap pasukan yang melanggar syarat pertandingan. Syarat yang sama juga ditetapkan bagi aksi Karnival Bola Jaring Harian Metro yang dianjurkan sempena kemeriahan karnival futsal ini. Bagi tujuan kelancaran semasa pertandingan, setiap pemain juga diminta untuk membawa kad pengenalan asal dengan salinan fotostat tidak akan diterima.


Untuk karnival Futsal, tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Lelaki Bawah 17 dengan habuan wang tunai dihadiahkan sehingga tempat kelapan setiap kategori dengan hadiah keseluruhan bernilai RM37,500. Karnival Bola Jaring menawarkan kategori Terbuka Lelaki dan Wanita dengan habuan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000 bagi kedua-dua kategori. Diingatkan, meskipun kejohanan berlangsung di Zon Selatan, penganjur tidak menghalang penyertaan pasukan dari seluruh negara yang berminat untuk tampil bersaing.


Selain AmBank selaku penaja utama, karnival tahun ini turut menampilkan H-TWO-O sebagai penaja minuman rasmi selain Lancast (pakaian rasmi) dan Sani Express (pengangkutan rasmi).


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan