Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


England bernasib baik

Posted:

England bernasib baik

PEMAIN-PEMAIN England meraikan kejayaan pasukan itu mara ke suku akhir selepas menewaskan Ukraine 1-0 di stadium Donbass Arena awal pagi semalam.


DONETSK, Ukraine - Kapten England, Steven Gerrard menegaskan, pasukan itu memerlukan tuah untuk menewaskan Ukraine 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan D di stadium Donbass Arena awal pagi semalam.

Penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney menyumbat masuk gol kemenangan England pada minit ke-48 tetapi Ukraine yang terdesak untuk memburu kemenangan, tidak bernasib baik.

Ini kerana, jaringan penyerang Ukraine, Marko Devic pada minit ke-62 telah dibatalkan kerana pengadil menganggap bola tersebut belum melepasi garisan gol.

Gerrard yang mengetuai England mara ke suku akhir untuk berdepan Itali berkata, skuad The Three Lions pernah melalui situasi seperti itu pada Piala Dunia 2010.

Ketika ini, jaringan Frank Lampard telah dibatalkan oleh pengadil ketika England tewas 1-4 kepada Jerman pada pusingan kedua di Afrika Selatan.

"Untuk berjaya dalam kejohanan ini, dengan standard pasukan yang bertanding, kamu memerlukan sedikit tuah bersama kamu.

"Dua tahun lalu, kami tidak bernasib baik apabila jaringan Lampard yang dianggap sebagai gol penting ketika menentang Jerman telah dibatalkan.

"Kami terpaksa pulang lebih awal ekoran daripada kekalahan itu tetapi pada hari ini (semalam), tuah lebih memihak kepada kami.

"Ia menunjukkan sekiranya kamu bekerja lebih keras dan sentiasa berjuang, kamu akan memperoleh tuah tersebut dan kami berhak dengan kemenangan itu," kata Gerrard.

Gerrard menambah, England berhak menerima pujian selepas muncul selaku juara Kumpulan D setelah Perancis tewas 0-2 kepada Sweden dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.

"Kami berada dalam satu kumpulan yang sukar. Lebih jelas, banyak pihak yang menganggap kami tidak mampu menjadi juara kumpulan.

"Namun, saya sentiasa percaya dan yakin dengan kualiti yang kami miliki. Kami mampu menampilkan persembahan yang lebih cemerlang," katanya. - AFP

Perancis perlukan keajaiban

Posted:

Perancis perlukan keajaiban

BLANC (tengah) memberikan arahan kepada para pemain Perancis pada perlawanan menentang Sweden di Stadium Olimpik awal pagi semalam. Sweden menang 2-0.


KIEV, Ukraine - Perancis memerlukan keajaiban untuk menewaskan Sepanyol pada aksi suku akhir di stadium Donbass Arena, Ahad ini.

Jurulatih Perancis, Laurent Blanc berkata, para pemain skuad Les Bleus perlu mempamerkan aksi luar biasa jika mahu menewaskan juara bertahan itu.

Blanc, 46, memberikan amaran itu selepas Perancis tewas 0-2 kepada Sweden pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Olimpik awal pagi semalam.

Kekalahan itu telah meleburkan rekod 23 kemenangan milik Perancis.

Selain itu, ia turut menyebabkan anak-anak buah Blanc sekadar menamatkan saingan Kumpulan D selaku naib juara di belakang England yang menang tipis 1-0 ke atas Ukraine.

Selaku naib juara, Perancis akan berdepan juara Kumpulan C, Sepanyol manakala England dijadual menentang Itali (naib juara Kumpulan C).

Blanc berkata, beliau akan melakukan perubahan drastik dalam kesebelasan utama bagi berdepan Sepanyol selepas pasukan itu mempamerkan aksi hambar yang mengundang kekalahan kepada Sweden.

"Sweden bermain bersungguh-sungguh pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam). Dari aspek fizikal, mereka lebih bersedia dan memiliki pemain yang mampu mengubah situasi perlawanan.

"Kami berasa sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana ia telah mengundang masalah kepada kami.

"Kami tewas dalam satu perlawanan yang berpunca daripada kesilapan kami sendiri apabila tidak menurunkan sebuah pasukan yang kuat.

"Sekiranya mahu mencatat kemenangan, saya tidak akan menurunkan pasukan yang sama bagi perlawanan seterusnya," kata Blanc.

Ditanya sama ada beliau akan melakukan perubahan di setiap posisi, Blanc berkata: "Saya tidak fikir jentera serangan kami (Perancis) telah mempamerkan aksi yang buruk.

"Apa yang saya nampak, pasukan kami mengalami kelemahan di bahagian pertahanan." - AFP

Özil mampu bawa kejayaan buat Jerman

Posted:

Özil mampu bawa kejayaan buat Jerman

ÖZIL menjadi taruhan Jerman pada aksi suku akhir menentang Greece di stadium PGE Arena, Poland awal pagi Sabtu ini.


GDANSK, Poland - Jurulatih Jerman, Joachim Löw yakin bintang Real Madrid, Mesut Özil mampu menyerlah pada aksi suku akhir menentang Greece di stadium PGE Arena, Poland awal pagi Sabtu ini.

Pemain berusia 23 tahun itu melakukan hantaran yang cantik kepada pertahanan Jerman, Lars Bender ketika menewaskan Denmark 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri ke kelompok lapan pasukan terakhir, Isnin lalu.

Özil turut dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan pembukaan yang berkesudahan Jerman menewaskan Portugal 1-0 pada 10 Jun lalu.

Bagaimanapun, Özil mengaku yang dia mampu beraksi lebih baik selepas dikritik hebat media Jerman ekoran prestasinya yang tidak memberangsangkan pada Euro 2012.

Kritikan itu bermula selepas Özil gagal menguasai bahagian tengah pada aksi separuh masa pertama kerana dia dikawal ketat pemain pertahanan Denmark.

Namun, Löw tetap optimis dengan kebangkitan pemain tengah Real itu pada saingan kalah mati nanti.

"Setakat ini, saya masih berpuas hati dengan prestasi- nya. Dia (Özil) mempamerkan peningkatan yang baik ketika menentang Denmark dan dia seorang pemain yang mengutamakan pasukan.

"Saya yakin, Özil masih belum mempamerkan tahap permainan sebenarnya," kata jurulatih berusia 52 tahun itu.

Löw turut mengaitkan kembali kecemerlangan Özil selaku tonggak utama pasukan ketika membantu Jerman meraih tempat ketiga kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Jerman membelasah England (4-1) dan Argentina (4-0) sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir.

"Prestasi Özil sama seperti ketika dia beraksi pada saingan peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010.

"Namun, dia (Özil) berubah menjadi pemain yang paling menonjol ketika menentang England dan Argentina.

"Saya rasa, perkara yang sama akan berlaku di sini (Euro 2012)," kata Löw. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen