Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Kim Swee mahu buat bantahan

Posted: 04 Jul 2012 12:36 PM PDT

SKUAD bawah 22 tahun negara (B-22) sudah boleh melupakan slot pasukan ketiga terbaik keseluruhan untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2013 selepas kedudukan mereka itu kini menjadi milik Oman.

Oman menewaskan India 4-0 pada aksi terakhir kelmarin untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan mengumpul 10 mata, mengatasi Malaysia yang bersaing dalam Kumpulan G dengan satu mata.


Apa yang tinggal buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu adalah mengemukakan bantahan terhadap Myanmar yang didakwa menurunkan pemain lebih umur di pusingan kelayakan kejohanan itu termasuk ketika mereka menewaskan Malaysia 2-1 di Yangon kelmarin.

Namun pengendali negara itu yang tiba di tanah air semalam menegaskan, mereka memerlukan bukti yang kukuh sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengemukakan bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam tempoh 48 jam selepas perlawanan itu.


"Isu pemain Myanmar lebih umur ini ditimbulkan oleh pihak media dan bukannya pihak persatuan (FAM). Apabila kita mendapat tahu, saya menganggap ini perkara yang serius dan jika benar kita akan buat bantahan. Ia terpulang kepada pihak pengurusan (FAM) untuk mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan AFC.


"Kita tidak boleh buat bantahan dengan hanya mendengar khabar angin, jika kita ada bukti kukuh, kita akan buat bantahan. Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku kerana kita semua tahu Myanmar akan menjadi tuan rumah Sukan Sea tahun depan. Jika terlepas kali ini, kemungkinan mereka akan menggunakan pemain lebih umur pada Sukan Sea," tegas Kim Swee.

Malaysia terlepas slot automatik apabila tumpas kepada Myanmar yang mengiringi Korea Selatan selaku juara kumpulan ke pusingan akhir kejohanan itu tahun depan.


Di sebalik rasa kecewa, Kim Swee tetap menganggap anak buahnya beraksi dengan baik sepanjang kelayakan itu dengan mencatat kemenangan ke atas Filipina 7-0, Taiwan (4-2) dan Vietnam (3-0) manakala tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan.

"Walaupun tewas dengan Myanmar semalam (kelmarin), pemain-pemain menunjukkan semangat juang tinggi terutama pada babak kedua. Bagi saya secara keseluruhan, pasukan ini beraksi dengan baik dalam semua perlawanan," katanya.


Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya bersedia membuat bantahan sekiranya mempunyai asas yang kukuh mengenai isu pemain lebih umur Myanmar itu.


"Saya akan berbincang bersama Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin (Ahmad), pengurus pasukan Datuk Afandi Hamzah dan Kim Swee mengenai perkara ini sebelum membuat bantahan. Tapi sekiranya benar Myanmar tidak menggunakan pemain berusia lebih 22 tahun, kita perlu akur dan menerima kekalahan ini dengan hati terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Ayuh sah penyertaan

Posted: 04 Jul 2012 11:03 AM PDT

SEMUA pasukan yang sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di Karnival Futsal dan Bola Jaring Harian Metro dibawa oleh AmBank diminta mengesahkan penyertaan masing-masing.

Sebanyak 96 pasukan bagi saingan futsal dan 32 pasukan bola jaring diminta untuk mengisi semula borang pengesahan dan menghantarkannya dengan kadar yang segera atau sebelum tarikh tutup iaitu pada 9 Julai ini.


Mana-mana pasukan yang gagal berbuat demikian akan di anggap tidak berminat untuk beraksi di grand final yang akan berlangsung pada 14 Julai ini di Kompleks Sukan Batu Berendam, Melaka.

Setiap pasukan disarankan untuk mematuhi semua syarat pertandingan dan sekiranya didapati melanggar peraturan, penganjur berhak untuk membatalkan penyertaan serta merta.


Mana-mana pemain dan pasukan yang sudah layak ke grand final tidak dibenarkan mewakili pasukan lain.


Setiap pasukan futsal dibenarkan menukar empat pemain manakala empat pemain asal perlu dikekalkan.

Sementara itu bagi bola jaring, setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan lima pemain baru dan mengekalkan lima pemain asal. Setiap pemain yang sudah layak tidak dibenarkan beraksi untuk pasukan lain dan sekiranya didapati melanggar peraturan, penganjur tidak akan bertolak ansur untuk membatalkan penyertaan.


Perhatian untuk semua pasukan yang bertanding. Penganjur ingin menjelaskan bahawa sekiranya terdapat mana-mana pasukan didapati menjual perlawanan, penyertaan pasukan itu akan dibatalkan dengan hadiah wang kemenangan akan ditarik balik.

Syarat baru ini terpaksa diperkenalkan berikutan terdapat aduan yang diterima bahawa pasukan yang beraksi di separuh akhir menggunakan pendekatan menjual perlawanan bagi mendapat imbuhan hadiah kemenangan yang sama banyak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan