Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


AFC perlu lebih telus

Posted:

AFC perlu lebih telus

NASIB skuad Harimau Muda untuk layak ke pusingan akhir Piala AFC B-22 bergantung kepada keputusan AFC sama ada menerima bantahan berhubung tindakan Myanmar menggunakan pemain melebihi had umur pada pusingan kelayakan Piala AFC baru-baru ini.


JIKA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersikap telus, pihak yang melakukan kesalahan sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.

Jika berlaku permainan politik, yang bersalah akan terlepas tanpa sebarang tindakan.

Mungkin itu ungkapan lebih sesuai buat AFC agar bersikap lebih telus dalam mengendalikan sesuatu aduan atau protes.

Isu terbaharu melibatkan aduan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendakwa pasukan Myanmar telah melanggar peraturan dengan menurunkan pemain melebihi had umur pada pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang dihoskan oleh mereka minggu lepas.

Semalam, AFC telah mengesahkan bahawa mereka telah menerima aduan rasmi yang pertama daripada FAM berhubung kontroversi skuad bawah 22 tahun Myanmar yang menggunakan pemain melebihi usia.

Sumber dalaman AFC mendedahkan, mereka akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Jawatankuasa Disiplin AFC bagi meneliti segala dakwaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Kami telah menerima aduan rasmi daripada pihak FAM pada 3 Julai lalu.

"Buat masa ini, kami akan mengadakan satu mesyuarat bersama jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan penipuan umur di dalam pasukan bawah 22 tahun Myanmar pada aksi Piala AFC (bawah 22 tahun) baru-baru ini.

"AFC tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi tetapi kami akan mengkaji segala data-data dan maklumat berhubung pemain yang dikaitkan melebihi usia yang ditetapkan pada kejohanan tersebut sebelum memutuskan sebarang tindakan.

"Kami akan menunggu keputusan daripada lembaga disiplin AFC berhubung hal ini," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa FAM telah menghantar aduan rasmi pertama.

Terdahulu, impian skuad negara untuk mara secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC bawah 22 tahun lebur apabila tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G.

Tinjauan Kosmo! dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu www.fifa.com dan kelab Yangong United (www.ygnutd.com) mendapati Myanmar membariskan empat pemain melebihi usia 22 tahun pada kempen kelayakan tersebut.

Penjaring dua gol Myanmar ketika menentang Harimau Muda iaitu Kaung Si Thu berusia 25 tahun.

Chong Wei berpangkat 'Leftenan Komander'

Posted:

Chong Wei berpangkat 'Leftenan Komander'

CHONG WEI (tengah) berpakaian Leftenan Komander pada majlis penganugerahan pangkat tersebut oleh Zahid Hamidi (kanan) di Kuala Lumpur semalam.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei semalam menerima pengtauliahan pangkat Leftenan Komander (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSS- TLDM) daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Chong Wei berkata anugerah tersebut yang berkuat kuasa 1 Mei lepas sekurang- kurangnya memberi dorongan kepadanya dalam persediaan menghadapi Sukan Olimpik London 2012 hujung bulan ini.

"Anugerah ini menyuntik semangat saya untuk bermain dengan lebih baik, tambahan pula saya baru pulih daripada kecederaan kaki yang dialami pada Piala Thomas yang lalu."

Beliau berkata demikian pada majlis yang berlangsung di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur semalam.

Chong Wei yang bakal melangsungkan perkahwinannya tahun depan berkata, penyertaannya pada Sukan Olimpik kali ini adalah yang terakhir, dan segala perancangan mengenai perkahwinannya hanya akan diumumkan selepas temasya sukan itu.

"Sekarang saya hanya fokus kepada latihan untuk memberi persembahan terbaik dan memperoleh pingat untuk negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pengtauliahan pangkat itu, Chong Wei berharap ia mampu menggalakkan lebih ramai ahli sukan profesional menyertai pasukan beruniform seperti PSSTLDM.

"Sebagai penerima pangkat, saya akan berkongsi segala pengalaman, suka duka sebagai atlet yang berjaya mempertahan kedudukan ranking No. 1 dunia selama empat tahun berturut-turut," katanya.

Chong Wei menduduki ranking No. 1 dunia mulai 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, penganugerahan pangkat kehormat adalah untuk mengiktiraf peranan sektor awam dan swasta dalam usaha menarik minat lebih ramai golongan profesional menyertai PSSTLDM.

Misi wajib menang Kedah

Posted:

Misi wajib menang Kedah

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

BADDROL (kiri) akan memastikan Kedah mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang Negeri Sembilan malam esok.


KEDAH yang menanti kunjungan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, Alor Setar malam esok mempunyai misi besar untuk diselesaikan.

Berbaki tiga perlawanan sebelum menutup tirai saingan liga musim ini skuad Kenari menagih kemenangan bagi mengutip mata penting, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

Namun, di sebalik misi untuk meraih kemenangan, skuad Hijau Kuning yang berada di tangga ke-12 liga berharap agar Felda United yang mengumpul 26 mata lebih satu mata berbanding Kedah tumpas kepada PKNS.

Tanpa mahu memikirkan pasukan lain, kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar berharap rakan-rakan sepasukan mampu mengekalkan momentum kemenangan bagi meraih kejayaan ke atas Negeri Sembilan.

Katanya, mereka tidak boleh keciciran mata lebih-lebih lagi di saat-saat getir ini bagi memastikan Kedah tidak tersingkir ke Liga Premier tahun depan.

"Pemain tiada pilihan dan kami mempunyai misi wajib menang menentang Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Tambahnya, semua pemain Kedah amat mengharapkan sokongan padu daripada peminat untuk membanjiri stadium bagi menyuntik semangat mereka meraih kejayaan ke atas pasukan lawan.

"Pemain memahami peminat kecewa dengan prestasi pasukan, namun berilah kami peluang untuk membuktikan sesuatu," katanya.

Tuah kemenangan diharap sekali lagi berpihak kepada Kedah yang berjaya menumpaskan Terengganu 2-1 pada 30 Jun lalu.

Dalam pada itu, penolong jurulatih, Radhi Mat Din menyifatkan perlawanan dengan Negeri Sembilan yang dibimbing bekas sifunya, Mohd. Azraai Khor Abdullah sebagai pertembungan taktikal.

Ujarnya, Azraai mengetahui kekuatan dan kelemahan pemain Kedah kerana beliau pernah membawa skuad tersebut menjulang juara trebel sebelum ini.

Namun katanya, beliau akan mengubah strategi pasukan bagi mengelak daripada terperangkap dengan taktikal pasukan lawan.

"Bagaimanapun, terserah kepada pemain untuk menterjemahkannya di atas padang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen