Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


KOM kena lagi

Posted: 12 Jul 2012 01:09 PM PDT

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) kini kembali menimbulkan isu panas dengan atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu menuduh badan induk itu 'pilih kasih' dan mahukan penjelasan kerana menyenaraikan Lee Hup Wei dan Noraseela Khalid sebagai atlet bertanding atas tiket wild-card di Sukan Olimpik London, bulan ini.

Roslinda mendakwa KOM gagal memberi penjelasan memuaskan ketika ditanya mengenai kriteria pemilihan atlet ke temasya berprestij dunia itu.


"Mereka hanya menjelaskan yang pemilihan itu adalah menerusi persetujuan ahli lembaga tanpa memberikan penjelasan terperinci bagaimana pemilihan itu dilakukan," katanya yang tidak menyembunyikan rasa terkejut apabila mengetahui keputusan KOM itu selepas sekembalinya daripada menyertai latihan dan pertandingan di Jerman.

Menurutnya, dalam kes Hup Wei, KOM melanggar peraturan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa Dunia (IAAF) dengan menyenaraikan atlet lompat tinggi itu untuk beraksi di Olimpik.


"Saya benar-benar rasa pelik. Mengapa KOM menghantar Hup Wei kerana mengikut peraturan IAAF, acara padang perlu melepasi syarat ditetapkan iaitu layak secara merit.


"Tapi Hup Wei tidak layak. Malah catatannya di Jerman jauh lebih rendah daripada syarat kelayakan. Dia hanya mencatatkan 2.21m berbanding syarat kelayakan 2.28m," katanya yang merekodkan 4.20m dan hanya perlu melepasi 0.20m untuk layak ke Olimpik.

Roslinda menjelaskan, jika berdasarkan kedudukan ranking dan mata dikumpul, pencapaiannya jauh lebih tinggi berbanding kedua-dua atlet iaitu Noraseela dan Hup Wei.


"Memang tarikh akhir ke Olimpik sudah tutup. Begitu juga peluang saya. Tapi saya tidak puas hati dan perlukan penjelasan. Atas dasar apa kriteria pemilihan itu dibuat. Jika berdasarkan ranking, kedudukan saya jauh lebih baik dan catatan saya lebih hampir dengan syarat kelayakan. "KOM perlu berikan penjelasan. Jika ada syarat baru kenapa tidak maklumkan kepada kami," katanya.

Malah seorang lagi atlet 110m lari berpagar negara, Rayzam Syah Wan Sofian turut mengalami nasib sama apabila ranking catatannya jauh lebih baik berbanding Noraseela yang juga atlet 400m berpagar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


Sedia terima kunjungan

Posted: 12 Jul 2012 12:26 PM PDT

PENAJA lokasi, Kompleks Sukan Batu Berendam (KSSB) Melaka sudah bersedia menerima kunjungan ribuan pengunjung dan peserta yang dijangka membanjiri venue itu sempena Grand Final Karnival Futsal dan Bola Jaring Harian Metro, esok.

Sambil menyatakan rasa berbesar hati dengan pemilihan KSSB sebagai gelanggang Grand Final buat kali kedua selepas Zon Tengah 2 tahun lalu, Pengurus Lee Jia Woie berkata, mereka menjangkakan sambutan lebih hangat kali ini kerana pertandingan bukan saja membabitkan saingan akhir futsal dan bola jaring tapi juga pelbagai aktiviti lain termasuk gusti lengan yang akan memeriahkan kejohanan sehari itu.


Justeru, menurutnya, pemilihan KSBB sebagai venue Grand Final menjadi detik bersejarah buat syarikatnya kerana ia menunjukkan penghargaan penganjur untuk menganjurkan kejohanan berprestij futsal itu di tempatnya.

"Secara tidak langsung ia turut menunjukkan kepercayaan penganjur terhadap kami dalam menyediakan venue yang lengkap dengan kemudahan diperlukan.


"Kami bangga dengan pemilihan ini kerana ia mampu melonjak nama KSBB ke peringkat lebih tinggi untuk dikenali di seluruh negara.


"Lebih penting lagi, pemilihan itu akan turut memberikan 'mileage' buat kami untuk memikat penganjur lain supaya mengadakan kejohanan mereka di tempat kami berikutan kepercayaan yang diberikan Harian Metro terhadap KSBB," katanya.

Jia Woie berkata, antara persediaan awal yang dilakukan sebelum Grand Final Karnival Futsal Harian Metro adalah menaik taraf sebuah gelanggang dengan menggunakan permukaan vinil bagi menggantikan 'turf'.


"Tempat kami juga mempunyai sistem pencahayaan yang mampu menerangi gelanggang tanpa mengira masa dan sistem pengudaraan baik bagi membolehkan pemain berentap dengan sempurna serta selesa.

"Apatah lagi, kawasan seluas dua hektar ini juga mampu menempatkan ramai pengunjung pada satu masa serta memberi peluang kepada penganjur menjalankan pelbagai aktiviti," katanya yang turut mempunyai gelanggang badminton untuk disewa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen