Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Pandelela lega

Posted: 17 Aug 2012 06:47 PM PDT

Terima RM300,000, biasiswa lanjut pelajaran dan jurulatih kekal

Kuala Lumpur: Pandelela Rinong Pamg semalam menerima empat berita gembira yang dianggap tonik terbaik bagi menyuntik semangat baru untuk terus cemerlang dalam sukan terjun.

Ratu renang negara itu menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan berjumlah RM100,000, unit Amanah Saham Wawasan RM200,000 dan ditawarkan biasiswa daripada Yayasan Tun Razak untuk menyambung pengajian.

Sebagai pelengkap kepada pakej istimewa itu, dia hampir pasti kekal berlatih bersama sifu kegemarannya, Yang Zhuliang yang akan ditawarkan kontrak baru oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik saja tamat tempoh 31 Oktober ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong yang mengatakan pihaknya akan menawarkan kontrak baru kepada Zhuliang serta empat lagi jurulatih skuad terjun negara.

"Memang impian utama saya ialah belajar dan berlatih di Kuala Lumpur. Itu berita baik, dia (Zhuliang) akan terus bersama kami.

"Kalau dia kekal di sini, saya akan belajar di sini," kata Pandelela ketika mengulas perkembangan terbaru isu kontrak jurulatih dari China itu yang dikatakan masih menunggu tawaran baru MSN.

Semalam, BH Sukan melaporkan Pandelela berada dalam dilema sama ada menyambung latihan dan belajar di dalam atau luar negara berikutan nasib tidak menentu Zhuliang untuk terus berkhidmat di sini.
Wujud kemungkinan dia akan mengikuti jejak jurulatih itu berpindah ke Australia jika menerima tawaran negara berkenaan.

Secara peribadi, sepanjang berada di bawah tunjuk ajar Zhuliang, Pandelela cukup yakin jurulatihnya itu gembira berada di Malaysia kerana negara ini mempunyai banyak persamaan dengan China serta komitmen tinggi anak buahnya mencapai kejayaan.

Selepas menerima ganjaran hadiah kemenangan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, dia sempat meluangkan masa membeli belah bersama rakan di ibu negara.

"Saya akan gunakan hadiah itu untuk sambung belajar, simpanan masa depan dan membeli belah barangan peribadi. Sudah tentu saya akan beri hadiah istimewa untuk ibu dan ayah," katanya yang akan pulang ke Sarawak pada 21 Ogos ini.

Berdasarkan tawaran biasiswa yang diterima dia yang lebih dikenali dengan panggilan Lela diberi pilihan melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di Malaysia dalam bidang pilihannya.

Namun, sejak awal lagi Lela sudah mengatakan berminat untuk menuntut di universiti tempatan sama ada dalam pengajian sains sukan atau komunikasi.

Selangor tetap menyerlah tanpa saya: Amri

Posted: 17 Aug 2012 04:18 PM PDT

Kapten Selangor, Amri Yahyah tetap berkeyakinan tinggi pasukan juara 32 kali itu mampu melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia meskipun tanpa kehadiran dirinya untuk tiga perlawanan awal.

Amri bersama Bunyamin Umar tidak dapat diturunkan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk bertemu Sarawak di Kuching Rabu ini, Pahang di Shah Alam (22 Ogos) dan T-Team di Kuala Terengganu (25 Ogos) akibat penggantungan tiga perlawanan kerana menumbuk penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar.

Namun penyerang berusia 31 tahun itu yakin dia mampu mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi baiknya untuk baki tiga perlawanan Kumpulan D nanti.
"Saya hanya mampu berdoa dan memberi kata-kata semangat kepada rakan-rakan. Harapan saya, mereka dapat mencatat kemenangan pada aksi sulung bertemu Sarawak dan juga perlawanan seterusnya.

"Bagi saya sendiri, biarpun tidak beraksi tiga perlawanan awal, saya akan tetap berlatih sendiri di bawah pengawasan jurulatih kecergasan setiap kali pasukan beraksi di tempat lawan nanti," kata Amri ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang Sime Darby di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Prestasi Selangor sepanjang aksi persahabatan pada Ramadan ini tidak begitu memberangsangkan apabila hanya menang 1-0 ke atas Johor FC, seri 1-1 dengan Kedah dan Sime Darby serta tewas 1-2 kepada FELDA United.

"Insya-Allah kami semua akan perbaiki dan pertingkatkan lagi persembahan pada saingan sebenar nanti. Momentum dan kesungguhan perlu diteruskan bagi memastikan kemenangan untuk Selangor mara ke pusingan seterusnya," katanya.
Dengan ketiadaan Amri, lilitan lengan kapten akan dipakai pemain bek kiri, P Gunalan manakala kekosongan tempat ditinggal Amri dan Bunyamin bakal diisi dua pemain pinjaman, Rozaimi Abd Rahman dari Sabah dan S Veenod dari USM FC.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan