Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Kunci rampas gelaran’

Posted: 17 Aug 2012 02:46 PM PDT

LONDON: Pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand memberi amaran kepada juara bertahan, Manchester City, kejayaan pasukannya menyambar bekas bintang Arsenal, Robin van Persie dilihat mampu membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris kembali ke Old Trafford.

Dengan saingan liga bakal membuka tirai malam ini, United sudah melakukan kejutan sebelum saingan bermula apabila bintang Belanda, Van Persie mengambil keputusan menolak tawaran City, sebaliknya memilih untuk bersama skuad Alex Ferguson.


Apabila City yang melakukan pelaburan besar merangkul kejuaraan pada hari terakhir musim lalu, ia dilihat bermulanya era dominasi pasukan baru dalam saingan teratas liga.

City yang memulakan kempen dengan bertemu Southampton di Eastlands malam esok, pada mulanya dilihat destinasi pilihan Van Persie.


Namun kuasa pujukan Ferguson menyebabkan Van Persie menukar fikiran untuk ke United dan Ferdinand percaya ia bakal mencetuskan detik bersejarah bagi kedua-dua kelab.


"Pengurus sentiasa beritahu saya pintu perpindahan pemain bukan tertumpu kepada siapa pemain yang dibawa masuk tapi lebih kepada bagaimana untuk memperkuatkan skuad.

"Jangkaan peminat begitu tinggi. Ada pemain beraksi cemerlang tapi ada juga yang mempamer aksi hambar. Bagaimanapun, saya tidak bimbang mengenai Van Persie.


"Saya tahu dia tidak mementingkan diri sendiri. Ia lebih kepada mahu memenangi trofi. Jika dia mampu menjaringkan gol seperti dilakukannya musim lalu, kami pasti bergembira pada hujung musim ini." Van Persie serta Shinji Kagawa menjadi pembelian baru United dan mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama apabila bertemu Everton awal pagi Selasa ini sementara pasukan kendalian Ferguson dilihat begitu berbisa musim ini selepas gagal menjulang sebarang trofi buat kali pertama sejak 2005.

Meskipun tanpa Van Persie, City masih menjadi pasukan yang mampu menggugat harapan United memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20.


Pengurus City, Roberto Mancini dikecewakan kegagalan kelabnya menyambar pemain berprofil tinggi untuk memantapkan pasukan yang merangkul kejuaraan pertama dalam tempoh 44 tahun musim lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012


Zulfadli idam rebut tiket Rio

Posted: 17 Aug 2012 02:41 PM PDT

PEMAIN sensasi remaja, Zulfadli Zulkifli dari KLRC menaruh impian untuk beraksi di Kejohanan Dunia tahun depan, namun mengaku perlu memperbaiki kedudukan rankingnya ke kelompok 30 terbaik dunia hujung tahun ini.

Zulfadli yang kini berada di ranking ke-81 dunia bagaimanapun dilihat sukar untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Guangzhou tahun depan, berbanding pemain remaja Denmark, Viktor Axelsen yang kini berada di kedudukan ke-23 dunia, lawan yang tewas kepada pemain negara di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.


Justeru, dia meletakkan sasaran jangka pendek untuk beraksi di Kejohanan Seluruh England, tahun depan.

"Saya perlu menyertai sebanyak mungkin baki kejohanan yang ada hujung tahun ini untuk melayakkan diri ke Seluruh England, kemudian baru merancang untuk Kejohanan Dunia," kata Zulfadli yang mungkin menyertai enam hingga lapan lagi kejohanan.


Untuk merealisasikan kesungguhannya, dia tidak berehat di bulan Ramadan sebaliknya jurulatih yang juga bapanya, Zulkifli Sidek memberi penekanan fizikal seimbang dengan latihan di gelanggang, baik siang mahupun selepas berbuka puasa.


"Semua pihak termasuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) meletakkan saya dalam program ke Rio. Namun saya tidak boleh melihat terlalu jauh sebaliknya fokus kepada setiap program jangka pendek dengan maksimum 12 kejohanan antarabangsa setahun." Juara Remaja Asia dan Komanwel itu akan menyertai Kejohanan Terbuka Vietnam minggu depan diikuti Terbuka Jepun dan GP Emas Terbuka Indonesia.

Sementara itu, Zulfadli berkata, dia akan berusaha mengelak dari mengalami kecederaan serius.


"Kini saya sudah bebas dari kecederaan dan perlu mengekalkan keadaan fizikal di tahap terbaik.

"Beraksi di Piala Axiata baru-baru ini memberi keyakinan baru kepada saya apa lagi ketika berdepan pemain ternama Indonesia. Setakat ini saya belum berpeluang menentang semua pemain di kelompok 20 terbaik dunia.


"Dalam semua baki kejohanan hujung tahun ini, saya mesti sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir untuk melayakkan saya beraksi di kejohanan berstatus Siri Super tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan