Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Real, Man City dalam ‘kumpulan maut’

Posted: 30 Aug 2012 05:14 PM PDT

Monaco: Empat juara liga - Real Madrid, Manchester City, Ajax Amsterdam dan Borussia Dortmund - diundi dalam Kumpulan D yang boleh digelar 'kumpulan maut' Liga Juara-Juara 2012/13 di Monaco, awal pagi tadi.

Saingan kumpulan itu menarik perhatian ramai kerana Real Madrid adalah juara La Liga, Manchester City menamatkan kemarau 44 tahun memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan Ajax pula mengungguli Liga Belanda sementara Dortmund menjuarai Bundesliga.

Saingan musim baru itu akan bermula dengan perlawanan pertama dijadualkan pada 18 dan 19 September ini. Final pula akan diadakan di Stadium Wembley pada 25 Mei 2013.

Juara bertahan

Chelsea, yang menewaskan Bayern Munich dalam penentuan sepakan penalti pada final musim lalu, berhasrat menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan dalam era Liga Juara-Juara diundi dalam Kumpulan E bersama-sama juara Serie A Juventus, Shakhtar Donetsk dan pendatang baru dari Denmark Nordsjaelland.

Juara tiga kali Manchester United pula diundi dalam Kumpulan H bersama-sama SC Braga dari Portugal, Galatasaray (Turki) dan CFR-Cluj (Romania).

Gergasi EPL itu mencatat rekod apabila beraksi buat kali ke-18 di peringkat kumpulan tetapi mereka berharap dapat mengelak sejarah hitam tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas kepada FC Basel musim lalu.
Bayern Munich, yang muncul naib juara musim lalu akan berdepan Valencia, Lille dan1 BATE Borisov dari Belarus dalam Kumpulan F.

Barcelona, pasukan pilihan musim lalu tetapi tewas kepada Chelsea di separuh akhir, akan berdepan musuh lama Benfica, Spartak Moscow dan Celtic dalam saingan Kumpulan G. - Agensi

Yunus digantung dua tahun

Posted: 30 Aug 2012 03:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Yunus Lasaleh - seorang daripada kuartet 4X400 yang disahkan positif doping di Sukan SEA, Jakarta tahun lalu akhirnya dikenakan penggantungan dua tahun oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Yunus antara 37 atlit dari seluruh dunia yang dikenakan hukuman gantung seperti dalam senarai dikeluarkan oleh Jabatan Anti-Doping dan Perubatan IAAF bertarikh 24 Ogos pada laman web IAAF.

Namun, tiga lagi rakannya, Sehzuan Ahmad Rosely, P Yuvaraaj dan S Kannathasan terlepas daripada dikenakan sebarang hukuman tetapi seperti yang sudah diputuskan mereka diarahkan memulangkan semula pingat emas yang dimenangi.

Kemuka rayuan

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi mendengar kes Yunus mencadangkan kepada IAAF supaya pelari berusia 23 tahun itu dikenakan hukuman gantung dua tahun.

Namun, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mempengerusikan mesyuarat Kejurulatihan KOM 19 Julai lalu menegaskan badan induk itu akan membela Yunus dengan mengemukakan rayuan kepada IAAF bagi meringankan hukuman ke atas atlit kelahiran Sabah itu.

Selain Yunus, atlit angkat berat, Firdaus Abdul Razak yang memenangi gangsa pada temasya itu turut didapati positif.
Bagaimanapun, keputusan hukuman ke atas atlit angkat berat itu belum diketahui tetapi kemungkinan berdepan hukuman lebih berat iaitu gantung selama empat tahun mengikut hukuman baru yang ditetapkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan