Berita Harian: Sukan |
Posted: 09 Sep 2012 04:52 PM PDT Pelik apabila mesyuarat lebih enam jam tetapi gagal capai keputusan Kuala Lumpur: Bekas pakar beregu negara, Razif Sidek menyifatkan kegagalan Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan beberapa isu penting selepas bersidang lebih enam jam kelmarin adalah satu lagi sandiwara badan induk itu. Razif yang juga bekas ketua jurulatih negara berkata, 'mesyuarat tanpa keputusan' itu adalah sesuatu yang pelik, tatkala peminat dan pengkritik mahu tahu apakah tindakan drastik BAM yang diambil selepas kegagalan menepati janji memenangi pingat emas di Sukan Olimpik bulan lalu. "Saya rasa mereka (CTC) sekarang ini mahu melindungi diri masing-masing dan sebab itu kebanyakan keputusan tidak mahu diumumkan dengan memberi alasan menunggu keputusan Exco."Ia jelas berbeza berbanding sebelum ini kerana banyak perkara penting seperti pengguguran atau kemasukan pemain atau jurulatih dilakukan CTC, sementara Exco hanyalah meluluskan apa yang sudah dibincangkan dalam CTC," katanya. Razif berkata, ketidakpastian CTC dalam merumuskan beberapa isu penting termasuk kontrak jurulatih dan senarai pemain skuad Olimpik Rio 2016 jelas menyerlahkan kelemahan pengurusan jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai itu dalam menentukan hala tuju badminton negara. "Saya dapat tahu ada beberapa pemain yang sudah dipisahkan daripada gandingan asal dan digugurkan sebelum CTC bermesyuarat (kelmarin) oleh jurulatih, tapi kenapa mereka mahu selindung? Selepas enam jam bermesyuarat, tidak ada asas untuk sorok keputusan," katanya. Pemain perlu penjelasan Razif berkata, CTC perlu berterus terang mengenai keputusan yang diambil kerana pemain juga perlukan penjelasan tentang status mereka secepat mungkin untuk merancang masa depan karier masing-masing. Razif juga mempersoalkan tindakan Kenny Goh yang 'masuk campur' dengan menjawab soalan yang dikemukakan wartawan sedangkan Pengurus Besar BAM itu bukan anggota CTC. "Pelik apabila Pengurus Besar BAM bercakap sedangkan dia bukan anggota CTC. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Adakah dia dibenarkan 'masuk campur' kerana setahu saya tugasnya hanya menguruskan pentadbiran BAM," kata Razif. |
Tidak ada petunjuk baru kes Sharbinee Posted: 09 Sep 2012 02:41 PM PDT Kuala Terengganu: Tidak ada petunjuk baru dalam siasatan rasuah ke atas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli dan pemain lain. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Md Yusoff Md Zain berkata, bagaimanapun siasatan kes rasuah bola sepak pemain negeri itu masih belum ditutup. "Kami bukan mahu mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi mahu mencari kebenaran dan dalam kes seperti ini, ia bukannya mudah. Kita menjalankan siasatan, kumpulkan bukti untuk cari kebenaran apa sebenarnya yang berlaku."Lapan saksi (pemain, jurulatih dan pegawai) sudah dipanggil memberi keterangan. Tidak ada lagi saksi yang dipanggil selepas itu," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di pejabat SPRM, semalam. Berbeza dengan kes T-Team SPRM memulakan siasatan apabila Sharbinee memberitahu media, dia rela disiasat untuk membersihkan namanya selepas didakwa menjual perlawanan dengan sengaja menampan bola ke gawang sendiri ketika menentang Kedah di Kuala Terengganu. "Penjaga gol itu membuat pengakuan yang dia tidak mengatur keputusan perlawanan. Kami mahu pastikan dia bercakap benar. Ditanya apakah siasatan akan diteruskan, beliau enggan memberi komen dan berkata; Apabila tiba masa, kita akan maklumkan. Kita puas hati, semua yang dipanggil memberi keterangan memberi kerjasama penuh," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan