Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Janji Zhuliang

Posted: 09 Sep 2012 01:34 PM PDT

"SAYA akan jadikan dia penerjun nombor satu dunia," tegas jurulatih terjun kebangsaan, Yang Zhuliang yang terharu dengan keputusan Pandelela Rinong menolak tawaran melanjutkan pelajaran empat tahun di Australia, baru-baru ini.

Zhuliang kagum dengan tindakan Pandelela itu semata-mata ingin berada di sampingnya di Malaysia.


Lantaran itu, beliau berjanji untuk memimpin Pandelela menjadi penerjun terbaik dunia sekali gus melonjakkan lagi sukan terjun Malaysia di peringkat antarabangsa.

Jika sebelum ini jurulatih kesayangan Pandelela itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sama ada ingin terus kekal memimpin penerjun Malaysia atau pulang ke negara asalnya, kini semuanya jelas terjawab.


"Saya memang ingin kekal di Malaysia dan hakikatnya keputusan itu dibuat sebelum Pandelela tampil mengeluarkan kenyataan rasmi untuk melanjutkan pelajaran di sini. Saya cukup gembira dengan tindakannya hingga tidak tahu apa yang ingin saya katakan," katanya, semalam.


Kontrak Zhuliang melatih penerjun Malaysia tamat Oktober ini dan jurulatih kesayangan semua penerjun Malaysia itu mula menerima tawaran beberapa negara termasuk Australia yang mahukan dirinya kembali.

Mula menabur khidmat pada 2001 sebelum meninggalkan skuad negara pada 2005 untuk ke Australia, Zhuliang kembali berkhidmat di Malaysia pada 2009 khusus bagi persediaan program Olimpik London dan berjaya membawa sukan terjun Malaysia ke tahap kuasa nombor dua Asia selepas gergasi China. Sebelum ini, Zhuliang pernah membantu Malaysia muncul juara keseluruhan acara terjun di Sukan Sea 2005 di Manila.


"Sejak dulu saya memang mengutamakan Malaysia. Di sini ramai penerjun bagus dan kita hanya perlu bijak menggilap," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan atlet sekarang ini, Zhuliang berkata latihan sudah bermula seperti biasa di Bukit Jalil.


"Cuma selepas Olimpik, tiada lagi kejohanan utama melainkan tahun depan saja. Ketika ini, saya hanya mempersiapkan atlet termasuk Lela ke Kejohanan Asia November ini di Dubai walaupun tidak pasti kita akan berentap di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Intai jurulatih China

Posted: 09 Sep 2012 01:18 PM PDT

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengambil jurulatih dari China bagi melatih atlet negeri itu dalam lima sukan yang diberikan perhatian utama iaitu menembak, renang, gimnastik, wushu, ping pong dan terjun.

Bagaimanapun, MSNT menghadapi sedikit kesulitan berikutan harga gaji pasaran jurulatih China kini naik sebanyak 20 peratus berikutan kejayaan negara itu memenangi banyak pingat di Sukan Olimpik London, bulan lalu. Pengarah MSNT, Zainal Abidin Husin berkata, pihaknya akan menghantar rombongan ke China untuk mengenalpasti dan menemuduga jurulatih terbabit bulan depan.


"Kami terpaksa mengambil jurulatih dari China biarpun kadar gaji mereka naik kerana kami yakin mereka mampu membimbing atlet negeri ini untuk maju dalam sukan masing-masing.

"Selain China, kami juga bercadang mengambil jurulatih lawan pedang dari Indonesia manakala muay thai dari Thailand.


"Kehadiran jurulatih terbabit diharap dapat menggilap bakat atlet Terengganu supaya lebih menyerlah dalam setiap pertandingan yang disertai," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri MSNT di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, baru-baru ini.


Beliau juga memberitahu sebanyak 19 acara dipertandingkan di Sukma ke-16 di Kuala Lumpur tahun depan termasuk dua acara baru iaitu muay thai dan woodball.

"Kami akan cuba menyiapkan pasukan terbaik untuk menyertai semua acara itu dan proses mengenal pasti atlit sudah mula dijalankan," katanya.


Zainal turut meminta kerjasama ibu bapa memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang terbabit dalam Sukma ke-16 bagi menyemarakkan semangat juang atlit apabila beraksi kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan