Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Safee dalam dilema

Posted:

Safee dalam dilema

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SAFEE terpaksa melupakan hasrat beraksi pada Piala AFF Suzuki November depan.


PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan yang mendapat tempiasnya ialah penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan beliau telah menerima salinan surat penggantungan tersebut daripada PSSI yang turut melibatkan setiap pegawai dan pemain kelab Liga Super Indonesia.

Pemain yang bernaung di bawah Pelita Jaya juga tidak dibenarkan beraksi dengan skuad kebangsaan.

Menurut Azzuddin, berita buruk itu jelas memberikan impak kepada skuad kebangsaan yang terpaksa melupakan khidmat bekas penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali.

Ini kerana kelab yang diwakili Safee, Pelita Jaya turut berada di dalam senarai penggantungan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara jiran tersebut.

"Benar, laporan semalam (kelmarin) hanya menyentuh mengenai penggantungan kelab. Tidak menyentuh pasal isu pemain.

"Tetapi awal pagi tadi (semalam), saya telah menerima satu surat daripada PSSI yang mana mereka telah mendapat surat penggantungan daripada FIFA.

"Setiausaha Agung PSSI, Halim Mahfudz mengesahkan pengiriman salinan surat tersebut kepada FAM.

"Ini bermakna Safee tidak dapat mewakili Malaysia sehingga PSSI bersidang pada satu Kongres mereka hujung tahun ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan, Azzuddin mengesahkan khidmat Safee tidak terjejas ekoran penggantungan 25 kelab di bawah naungan PSSI.

Ia gara-gara PSSI tidak mengiktiraf Liga Super Indonesia yang didakwa sebagai 'liga haram'.

Sebaliknya, kepimpinan baharu PSSI yang diterajui Djohar Arifin Husin mengiktiraf Liga Premier Indonesia (IPL) dan bukannya ISL.

Kemelut dalaman itu mendapat perhatian serius daripada FIFA yang menegaskan bahawa badan bola sepak dunia itu mahu persatuan bola sepak republik tersebut menyelesaikan 'isu' liga utama mereka pada Mac lalu.

Mengulas lebih lanjut, Azzuddin mengakui kesal dengan kemelut dalaman PSSI yang melibatkan khidmat Safee, sekali gus dilihat memberikan tamparan kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.

"Saya agak terkejut selepas mendapat laporan itu. Saya terus menghubungi PSSI dan meminta penjelasan daripada mereka.

"PSSI menjelaskan yang mereka sudah mendapat surat penggantungan yang dikeluarkan secara rasmi oleh FIFA.

"Malah, satu salinan surat tersebut telah diberikan kepada Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay.

"Justeru, dukacita dimaklumkan bahawa kita tidak dapat menggunakan khidmat Safee sebelum PSSI bersidang hujung tahun ini," katanya.

Farizal bawa ATM ke final

Posted:

Farizal bawa ATM ke final

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

ZAQUAN Adha (kiri) dihalang dua pertahanan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala Malaysia
di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi. ATM mara ke final selepas menang 5-4 menerusi penalti.


PENJAGA gol, Farizal Harun layak dijulang sebagai wira apabila membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempah slot ke final kempen Piala Malaysia 2012 sebaik menewaskan Lions XII menerusi sepakan penalti 5-4 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat menerusi agregat 2-2 sebaik masa sebenar tamat apabila perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Ketika perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada masa tambahan, Farizal akhirnya muncul wira apabila berjaya menepis dua sepakan penalti Lions XII yang gagal disempurnakan Shaiful Esah dan Baihakki Khaizan.

Penyerang gantian ATM, Fitri Omar akhirnya tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir sebelum sepakan pemain Lions XII, Yasir Hanapi sekadar terkena tiang.

Kecemerlangan Farizal malam tadi turut dilihat berjaya menebus kegagalan dua pemain ATM, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan A. Varanthan yang terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Pada masa sama, kemenangan itu juga menyaksikan ATM berjaya menjejak pentas final di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini buat kali pertama dalam tempoh 46 tahun.

Terdahulu, keghairahan ATM memburu gol akhirnya dihukum pelawat apabila rembatan penyerang Lions XII, Agu Casmir tertampan tonggak pertahanan ATM, sekali gus menewaskan Farizal pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan tersebut, ATM yang terdesak memburu jaringan penyamaan kembali bangkit melakukan serangan bertali arus, namun masih gagal memecah kebuntuan.

Begitupun, percaturan jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy mengeluarkan kapten, Shahril Ishak ternyata mengundang padah apabila penyerang import ATM, Marlon Alex James akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Pasukan pelawat bertambah tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Isa Halim diperintahkan keluar padang pada awal masa tambahan gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Zaquan Adha Abdul Radzak.

Kesempatan itu begitupun gagal dimanfaatkan ATM apabila penjaga gol pelawat, Izwan Mahmud bertindak cemerlang menggagalkan percubaan Marlon pada penghujung perlawanan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini juga terikat 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.

Satu lagi finalis bakal ditentukan antara Selangor dan Kelantan dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

Kelantan ketika ini mendahului menerusi agregat 1-0 hasil jaringan Nur Farhan Muhammad di Kota Bharu minggu lalu.

Misi hidup mati Gergasi Merah

Posted:

Misi hidup mati Gergasi Merah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

IRFAN BAKTI (dua dari kiri) gigih merencanakan strategi pada sesi latihan skuad Selangor di Shah Alam semalam.


TEKA-TEKI mengenai kemampuan Selangor menterjemahkan 'Misi 33' dalam kempen Piala Malaysia kali ini bakal terjawab malam ini.

Malam ini, Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi kebangkitan Gergasi Merah, sekali gus memadam defisit satu gol yang dimiliki Kelantan dalam aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.

Sentuhan 'magis' yang dimiliki pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim juga benar-benar ditagih penyokong setia Merah Kuning bagi menamatkan penantian selama tujuh musim selepas kali terakhir mengucup trofi Piala Malaysia pada 2005.

'Sentimen' pentas final edisi kali ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam juga pastinya menyuntik moral pemain Selangor supaya berjuang bermati-matian malam ini.

Biarpun mahu perlawanan malam ini sebaik-baiknya tidak diheret ke masa tambahan mahupun penentuan sepakan penalti, Irfan Bakti kekal optimis peluang anak-anak buahnya menjejak pentas final masih bersisa.

"Masih ada 90 minit dan kami tekad untuk mengatasi kelebihan Kelantan.

"Jaringan (Kelantan) itu masih belum selamat dan saya berharap persembahan pemain akan bertambah baik dan matang, terutama ketika beraksi di laman sendiri (malam ini).

"Matlamat kami adalah untuk mara ke final pada musim ini dan 'Misi 33' masih berada di landasan tepat," tegas Irfan Bakti.

Malam ini, sentuhan pemain berbisa Selangor seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim, Bosko Balaban dan Rozaimi Abdul Rahman pastinya ditagih Irfan Bakti biarpun kehilangan tonggak pertahanan, Mohd. Nasriq Baharom yang dilayangkan kad merah dalam separuh akhir pertama sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menyeru penyokong supaya membanjiri Stadium Shah Alam malam ini.

"Perlawanan berdepan Kelantan ibarat perlawanan akhir, jadi kehadiran penyokong Selangor di Stadium Shah Alam pastinya menyuntik moral pemain kami," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen