Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tiada kes terhadap Rajagobal

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Rajagobal

PETALING JAYA - Sejarah bagaikan tercipta pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam apabila Datuk K. Rajagobal menjadi orang pertama berjaya keluar daripada perbicaraan tanpa dikenakan sebarang hukuman dan masih kekal menjadi pengendali Harimau Malaya sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

Senjata terakhir yang berjaya menyelamatkan Rajagobal daripada digantung enam bulan serta didenda RM8,000 adalah pita rakaman sidang akhbar semasa perlawanan Malaysia dan Arab Saudi 17 Mac lalu yang dibawanya berjaya mempengaruhi semua ahli Jawatankuasa Tatatertib bahawa tiada sebarang kes yang boleh dikenakan.

Pengerusinya, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, setelah mendengar kembali rakaman kenyataan Rajagobal dalam sesi pembelaan, mereka sepakat yang jurulatih berusia 56 tahun itu tidak ada mengkritik dasar FAM dalam soal penggunaan pemain import di saingan Liga Malaysia.

''Jawatankuasa memutuskan bahawa tiada kes terhadap Rajagobal dan berpuas hati yang dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian setelah memperhalusi pita yang diberi oleh Rajagobal pada sesi pembelaan.

''Kita juga telah bertanya secara satu sama satu dengan Rajagobal dan dia menafikan segala kenyataannya dalam keratan akhbar.

''Dalam hal ini, mungkin apa yang diperkatakan dalam akhbar itu disalah tafsir... Itu lebih baik anda bertanyakan kepada pemberita yang membuat artikel berkenaan," katanya ketika ditemui selepas sesi perbicaraan di Wisma FAM, semalam.

Walaupun tidak dikenakan sebarang tindakan, Rajagobal enggan memberikan sebarang komen.

Dalam pada itu, Taufek juga menasihatkan kepada Rajagobal agar berhati-hati membuat kenyataan pada masa akan datang walaupun dia mempunyai kebenaran daripada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) untuk memberi sebarang komen selepas mana-mana perlawanan.

''Tidak salah membuat kenyataan tetapi saya mahu selalu mengingatkan kepada dia iaitu di bawah Kod Tatatertib 4.5.8, kita memang bagi kebenaran kepada jurulatih bagi kenyataan kepada media.

''Sebarang kata-kata yang berbentuk permusuhan dan kritikan perlu dielakkan dan jika dia didapati bersalah, dia boleh didakwa mengikut Perkara 18.3 iaitu melanggar polisi FAM, " katanya.

Bagi kes berlainan, dua pemain Selangor iaitu Afiq Azmi dan Abdul Shukur Jusoh masing-masing digantung dua perlawanan ekoran kontroversi pergaduhan semasa perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang ATM, 25 Januari lalu.

Shukur didenda RM2,000 ekoran tindakannya yang enggan keluar padang selepas menerima kad merah sehingga perlawanan terhenti selama 1 minit 35 saat sementara Afiq hanya didenda RM1,000 kerana cuba mencetuskan pergaduhan.

Beasley luah kekecewaan

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

John Beasley bersama Josiah Ng (kiri) dan Azizulhasni yang berjaya menempa nama di pentas dunia dalam acara trek.

KUALA LUMPUR - Jika hendak memastikan sukan berbasikal di Malaysia terus berkembang maju, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) harus memperhalusi segala perkara yang dibangkitkan oleh ketua jurulatih negara, John Beasley.

Jurulatih dari Australia itu tidak berselindung tentang program pembangunan sukan ini yang agak perlahan selepas tujuh tahun, walaupun dia berjaya menggilap bakat pelumba tempatan seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin

Menurut Beasley, dia berada di Malaysia selama tujuh tahun, namun mengakui berasa kecewa terutama dari segi pembangunan akar umbi dan perkembangan acara lebuh raya.

"Saya juga risau dengan struktur program pembangunan berbasikal kerana hanya sekolah sukan sahaja yang menjadi pembekal utama atlet yang bertaraf antarabangsa untuk bersaing di kejohanan besar," katanya kepada media selepas sesi taklimat PKBM dan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, semalam.

Beasley memberi contoh sukan bola sepak di mana pemain sudah pasti perlu dipilih daripada pasukan negeri atau kelab untuk mewakili skuad kebangsaan tetapi berbasikal tidak mempunyai kaedah seperti itu, ia seolah-olah seperti piramid terbalik, tanpa asas yang kukuh.

"Sebelum saya meninggalkan negara ini sudah tentu saya mahu melihat satu struktur yang kukuh terutama di bahagian asasnya yang melibatkan peringkat akar umbi. Kontrak saya bakal berakhir tahun depan, namun saya masih berasa komited sehingga Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro.

"Saya memang banyak mendapat tawaran dari negara lain, namun saya tidak memikirkan soal wang kerana saya gembira di sini dengan mempunyai ketua-ketua dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang bagus," katanya.

Taklimat tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad dan Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustafa.

Beasley dalam pada itu mendakwa, wujud musuh dalam selimut dalam badan tersebut yang menggagalkan usahanya untuk melonjakkan lagi sukan berbasikal di negara ini.

Dalam pada itu, menurut Naim, beliau mengambil serius perkara yang disampaikan oleh Beasley itu dan akan membawa perkara tersebut kepada Exco PKBM bagi sebarang tindakan lanjut.

"PKBM sama sekali tidak mahu individu yang membuat keputusan sendiri mengetepikan keputusan asal. Pada asalnya kita telah membuat keputusan A tetapi menjelang perlumbaan yang dilaksanakan ialah keputusan B. Perkara ini perlu dikaji dengan terperinci dan tindakan akan diambil jika perlu.

"Keputusan memilih atlet untuk beraksi di mana-mana kejohanan akan diputuskan jawatankuasa pemilihan PKBM berdasarkan cadangan pihak jurulatih," katanya.

Pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 di India, baru baru ini terdapat individu dalam PKBM yang tidak sependapat sehingga menimbulkan masalah sekali gus dilihat sebagai mencabar penilaian yang dilakukan Beasley sebagai ketua jurulatih.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Rajagobal bawa 'pita penyelamat'

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

K. Rajagobal

KUALA LUMPUR - Jika Datuk K. Rajagobal mengharapkan sesuatu yang boleh menghalangnya daripada dihukum Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, mungkinkah pita rakaman semasa sidang akhbar Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lalu mampu menyelamatkannya?

Seperti 'sediakan payung sebelum hujan', tindakan Rajagobal pasti membuatkan keputusan perbicaraan hari ini berdepan teka-teki sama ada beliau bersalah atau tidak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak mengesahkan, Rajagobal akan membawa pita rakaman sebagai bahan bukti paling penting untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

''Semasa perbicaraan esok, Rajagobal difahamkan akan membawa pita rakaman sendiri sebagai bahan bukti untuk tujuan pembelaan dirinya.

''Pita itu membabitkan rakaman sidang akhbar semasa perlawanan Malaysia dan Arab Saudi. Kita akan meneliti segala bukti sebelum menjatuhkan hukuman.

''Mungkin kes akan memakan sedikit masa tetapi kita akan pastikan keputusan tetap dicapai (bersalah atau tidak), " katanya.

Rajagobal, 56, didakwa atas Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai pengambilan pemain import dalam Liga Malaysia yang menjejaskan kualiti penyerang tempatan.

Jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000.

Fokus pemain tak lari

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh Maszureen Hadzman
sukan@utusan.com.my

Ong Beng Hee hanya memberi tumpuan kepada misi memburu kejuaraan dan bukan keadaan di Islamabad.

KUALA LUMPUR - Walaupun isu keselamatan di Islamabad menjadi topik hangat dan mendorong jurulatih negara, Peter Genever menarik diri daripada skuad, namun jaguh skuasy negara, Ong Beng Hee dan Low Wee Wern akan berlepas ke ibu negara Pakistan itu tanpa rasa takut.

Turun dengan reputasi juara empat kali, Beng Hee menegaskan, fokusnya untuk mencari kejuaraan Asia kelima tidak sedikitpun terjejas hanya kerana disajikan dengan isu keselamatan dan pengeboman menjelang Kejohanan Asia, 1-5 Mei ini.

Malah tegasnya, faktor Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bertindih dengan hari terakhir pertandingan juga bukan satu masalah buatnya,

"Sungguhpun keselamatan di sana agak merisaukan, ini sama sekali tidak memberi tekanan buat saya. Saya sudah bersedia dan yang penting saya perlu menikmati perlawanan sebaik mungkin.

"Mengenai pilihan raya, kami (pemain) tiada pilihankerana keputusan untuk ke Islamabad sudah dibuat sebelum tarikh PRU-13 diumum, jadi kami perlu meneruskan keputusan untuk beraksi.

"Kejohanan ini juga penting buat kami untuk membawa nama Malaysia, jadi saya harap semua pihak faham dengan kedudukan kami," kata Beng Hee.

Beng Hee, 33, ketika ditanya mengenai keputusan Genever enggan menyertai pasukan ke Islamabad berkata, jurulatih kelahiran England itu mungkin tidak biasa dengan senario di Asia.

"Saya adalah orang Asia, jadi saya tidak rasa takut untuk bermain di Pakistan tetapi dia (Genever) mungkin tidak biasa dengan semua keadaan ini, jadi dia berasa keselamatannya sedikit terancam dan ini adalah haknya (untuk tarik diri).

"Sejujurnya, ketiadaan Genever tidak langsung mematahkan semangat kami untuk beraksi cemerlang.

"Saya akan memberikan permainan terbaik. Saya tidak meletak harapan terlalu tinggi dan jika dapat merangkul kejuaraan, ia satu bonus,"kata juara 2002, 2004, 2006 dan 2008 itu lagi.

Selain Beng Hee, cabaran Malaysia dalam saingan lelaki pada Kejohanan Asia 2013 akan turut dipikul penyandang juara, Mohd. Nafiizwan Adnan dan Muhamad Asyraf Azan.

Pemain No. 7 dunia, Wee Wern pula menjadi sandaran utama untuk membawa pulang kejuaraan wanita ekoran ketiadaan pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan turut diiringi Delia Arnold serta Zulhijjah Azan.

Ditanya mengenai kebimbangan beberapa jurulatih mengenai keadaan di Islamabad, Wee Wern hanya berkata: "Saya lebih berminat untuk memberi tumpuan untuk mencari kemenangan dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keadaan di sana."

Keselamatan di Islamabad mencetus kebimbangan selepas keadaan tidak begitu stabil menjelang pilihan raya Pakistan pada 11 Mei depan.

Beberapa kejadian pengeboman yang berlaku dan mengorbankan banyak nyawa, selain gempa bumi yang melanda negara jiran, Iran antara sebab yang mendorong Genever untuk tidak menyertai pasukan ke Islamabad.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kita tetap ke Islamabad

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh Maszureen Hadzman
sukan@utusan.com.my

KETIADAAN Nicol David meletakkan Low Wee Wern (depan) menggalas tugas memburu kejuaraan pada Kejohanan Asia di Islamabad, Pakistan.

KUALA LUMPUR - Isu keselamatan yang membayangi Islamabad, selain tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bertindih dengan hari terakhir pertandingan tidak menghalang Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk tetap menghantar pasukan ke Kejohanan Asia di Pakistan, 1-5 Mei ini.

Biarpun jurulatih kebangsaan, Peter Genever telah menyuarakan hasrat untuk tidak menyertai pasukan ke Islamabad, manakala pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David antara yang terawal mengumumkan tidak akan bertanding, SRAM meneruskan rancangan penghantaran pasukan seperti biasa.

Pengurus Besar SRAM, Christopher Brodie menegaskan, pemain diberi pilihan 100 peratus sama ada mahu bertanding atau tidak pada kejohanan individu itu. Tiada unsur paksaan, sebaliknya mereka boleh menarik diri jika merasakan keselamatan tidak terjamin atau mahu terlibat dengan PRU-13.

SRAM menyerahkan 100 peratus kepada pemain sama ada mahu bertanding pada Kejohanan Asia atau tidak. Mereka sudah dimaklumkan mengenai situasi semasa di Islamabad, malah semua pemain juga sudah tahu tentang tarikh PRU-13.

Namun mereka tetap mahu beraksi kerana tidak pernah sampai ke Pakistan sebelum ini. Semua pemain sangat teruja untuk merasai pengalaman bermain di sana.

SRAM menyokong keputusan mereka, malah kami telah mengambil segala langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan jaminan daripada penganjur, mereka jamin semua terkawal dan kita boleh bermain tanpa rasa bimbang," kata Christopher, yang juga Setiausaha SRAM.

Menurut Christopher lagi, walaupun PRU-13 jatuh pada hari terakhir kejohanan, namun semua pemain dan jurulatih tahu akan tanggungjawab mereka dan membuat keputusan sendiri.

Malah, SRAM tidak menghalang mana-mana pemain untuk beraksi di Kejohanan Asia hanya kerana Nicol telah mengumumkan untuk tidak terlibat atas alasan keselamatan, selain mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Britain.

Saya yakin pihak penganjur pasti telah mengambil langkah keselamatan terbaik bagi memastikan keselesaan pemain serta pegawai sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Jadi pemain hanya perlu bersedia berhadapan dengan kawalan keselamatan yang ketat apabila tiba di sana nanti," katanya lagi.

Selain Genever, seorang lagi jurulatih kebangsaan, Aaron Soyza juga difahamkan masih belum memutuskan sama ada akan menyertai pemain-pemain ke Islamabad.

Keadaan di Pakistan agak tegang menjelang pilihan raya negara itu pada 11 Mei ini, termasuk berlakunya beberapa siri serangan bom yang telah mengorbankan nyawa.

Malah, gempa bumi yang melanda negara jiran, Iran yang telah mengorbankan 30 nyawa mencetus kebimbangan baharu.

Dengan ketiadaan juara lapan kali, Nicol, pemain No. 7 dunia, Low Wee Wern menjadi sandaran utama Malaysia untuk membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita.

Wee Wern akan turut diiringi Delia Arnold dan Zulhijjah Azan.

Dalam saingan lelaki, Mohd. Nafiizwan Adnan mengesahkan dia akan turun untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Juara empat kali, Ong Beng Hee dan Muhamad Asyraf Azan melengkapkan skuad negara, yang akan berlepas ke Islamabad, Ahad ini.

Selangor belum angkat bendera putih

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Francis Forkey Doe diketepikan daripada pertemuan menentang East Bengal selepas belum pulih daripada kecederaan. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM - Faktor keletihan dan pemain cedera bukan alasan buat pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyerah mudah kepada East Bengal FC dalam saingan Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bertemu pendahulu Kumpulan H itu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk mencari tiga mata dan menjaringkan gol kerana tidak mahu perbezaan mata serta gol menghalang mereka untuk layak ke pusingan kedua.

Kita tidak akan menyerah kalah dengan mudah, walaupun sedar ramai pemain utama mengalami kecederaan. Kita akan cuba beri persembahan terbaik serta realistik untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya dalam sidang media semalam. Selepas bermulanya pusingan kedua Piala AFC peringkat kumpulan, Selangor bangkit dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Saigon Xuan Thanh pada 9 April lalu.

Bagi saya sekarang ini semua perlawanan penting, baik saingan Piala AFC mahupun Liga Super, jadi saya perlu membuat perancangan terbaik malam esok (hari ini), walaupun pemain saya sekarang mengalami keletihan.

Pasukan lawan beruntung kerana mempunyai rehat sembilan hari, tetapi kita akan cuba mencuri mata," katanya lagi.

Ditanya sama ada dia membariskan pemain utama atau tidak kerana Selangor juga bakal berdepan tugas getir menentang pendahulu Liga Super, LionsXII hujung minggu ini, Irfan menjelaskan, dia akan membuat sistem penggiliran.

Malah katanya, pemain Selangor juga sudah melupakan kekalahan pada suku akhir Piala FA selepas disingkirkan Johor Darul Takzim dengan agregat 4-2, Selasa lalu.

Antara pemain Selangor yang tidak dapat diturunkan hari ini adalah penyerang import, Francis Forkey Doe, pertahanan tengah, Nasriq Baharom serta penjaga gol, Norazlan Razali.

Mohd. Fitri Shazwan Raduwan bagaimanapun akan beraksi, begitu juga pemain import dari Slovakia, Michal Kubala.

Sementara itu jurulatih East Bengal, Trevor Morgan berkata, mereka hanya memerlukan satu mata untuk mara ke pusingan kedua tetapi matlamat mereka ke Shah Alam bukan untuk seri sebalik pulang bersama tiga mata penuh.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Wendy, Jun Hoong sumbang gangsa

Posted: 20 Apr 2013 12:15 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Wendy Ng (atas) dan Cheong Jun Hoong menggegarkan Kolam Renang Diraja Komanwel dengan meraih gangsa pada Siri Terjun Dunia di Edinburgh.

KUALA LUMPUR - Selepas Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee gah menghadiahkan pingat perak kepada negara, awal pagi semalam giliran Wendy Ng Yan Yee, Cheong Jun Hoong menggegarkan Kolam Renang Diraja Komanwel dengan meraih gangsa pada Siri Terjun Dunia, Edinburgh.

Gangsa sudah cukup membuktikan bahawa gandingan Wendy-Jun Hoong harus diberi perhatian kerana ini adalah pencapaian terbaik mereka pada kejohanan ini dalam acara 3 meter papan anjal seirama.

Seperti dijangka, gandingan penerjun China, Wu Minxia-Shi Tingmao menguasai acara tersebut apabila mereka berjaya meraih emas dengan mencatat pungutan mata 332.10 selepas beraksi cemerlang sejak dari pusingan pertama.

Pasangan Britain, Alicia Blagg-Rebecca Gallantree pula menceriakan penyokong tuan rumah selepas beraksi dengan penuh fokus dan yakin untuk memenangi perak dengan catatan mata 305.28.

Sebelum ini, pasangan tuan rumah itu berjaya meraih perak dalam acara yang sama di DWS Beijing, ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa penerjun Britain ini mampu pergi jauh mencabar penerjun China.

Wendy dan Jun Hoong berjaya meraih gangsa dan setakat ini ia adalah keputusan paling cemerlang dicatatkan mereka selepas DWS Beijing dan Dubai.

"Prestasi kami sangat baik malam ini (semalam) namun kami masih perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada. Kami berasa gementar sebelum turun ke kolam renang.

"Apa pun kami sangat gembira kerana berjaya menghadiahkan pingat buat negara kami di Edinburgh," kata Jun Hoong yang mencipta sejarah tersendiri tahun lalu apabila berjaya melayakkan diri di Sukan Olimpik 2012 London.

Kelmarin Pandelela dan Mun Yee menceriakan kem negara selepas menghadiahkan pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama.

Jangan letak harapan tinggi di bahu Iskandar - Jurulatih

Posted: 20 Apr 2013 12:15 PM PDT

Masih terlalu awal meletakkan harapan pada Iskandar pada Sukan SEA.

KUALA LUMPUR - Tiada harapan tinggi dibebankan ke atas jaguh muda lompat bergalah lelaki negara, Iskandar Alwi pada penyertaan atlet itu pada Sukan SEA, Myanmar Disember ini.

Sungguhpun atlet itu sudah berupaya memperbaharui rekod kebangsaan pada bulan lalu, ketua jurulatih acara lompatan, Mohd. Man Sahar Abdul Jalil menegaskan, masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran pingat emas kepada Iskandar pada temasya dwi tahunan itu.

Kata Mohd. Man Sahar, masih ba nyak yang perlu diperkemaskan oleh pemegang rekod kebangsaan berusia 19 tahun itu untuk cemerlang meskipun telah melepasi kelayakan ke Sukan SEA secara merit.

Iskandar melepasi kelayakan Sukan SEA apabila memenangi Kejohanan Olahraga All Comers pada awal bulan lalu dengan catatan 5.01 meter yang memperbaharui rekod kebangsaan milik jurulatihnya sendiri Teh Weng Chang dilakukan pada 2002.

"Jika mahu memenangi emas Sukan SEA, dia (Iskandar) sekurang nya perlu membuat catatan 5.20m.

"Namun, apa yang telah dilakukannya sekarang sudah baik dan hanya perlu meningkatkan lagi tahap prestasi dari semasa ke semasa.

"Saya tidak boleh janji dia boleh memenangi emas tetapi saya yakin dia akan meraih satu pingat pada Sukan SEA nanti tidak kiralah apa warna sekalipun," kata Mohd. Man Sahar.

Selepas ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu bersara tumpuan terarah kepada Iskandar bagi menyambung kesinambungan emas dalam acara tersebut meski pun berbeza kategori.

Sementara itu, Mansahar turut memberitahu dalam tempoh dua ta hun lagi Iskandar diyakini mampu menghadiahkan emas pada temasya tersebut.

"Jika kita tidak boleh memenangi emas Sukan SEA dalam kategori wanita, kita cuba untuk kategori lelaki pula.

"Untuk edisi tahun ini memang sukar tetapi kita dapat beri jaminan bahawa Iskandar akan memenangi emas edisi berikutnya dua tahun lagi," kata Mansahar.

Ketika ini rekod acara lompat bergalah lelaki Sukan SEA masih lagi milik atlet dari Thailand iaitu Kreeta Sintawacheewa dengan catatan ke tinggian 5.21m pada Sukan SEA Laos 2009.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela, Mun Yee raih perak Siri Terjun Dunia

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Pandelela Renong dan Leong Mun Yee

KUALA LUMPUR - Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee membuktikan mereka masih lagi gandingan serasi selepas meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama di Siri Terjun Dunia (DWS) di Edinburgh, semalam.

Mereka terpaksa akur dengan China yang merangkul emas walaupun membariskan gandingan penerjun nombor dua, Li Huixia-Si Yajie, hasil pungutan 338.64 mata. Pandelela dan Mun Yee meraih 322.20 mata.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Rusia, Yulia Koltunova-Natalia Goncharova yang mencatatkan 308.22 mata.

Lebih menarik pingat perak yang diraih Pandelela dan Mun Yee adalah yang pertama selepas 12 bulan, di mana kali terakhir mereka menaiki podium di DWS Moscow, April tahun lalu ketika meraih pingat gangsa.

Ketiadaan gandingan Kanada, Roseline Filion-Meaghan Benfeito, yang menduduki tempat kedua di belakang penerjun China pada dua kejohanan sebelum ini di Beijing dan Dubai ternyata memberi tuah buat penerjun negara.

Bagaimanapun, kejayaan pingat perak tidak akan dicapai dengan mudah jika mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik semalam.

Mereka juga hampir meraih emas selepas melakukan kejutan mendahulu pungutan mata dari pusingan pertama hingga ke pusingan keempat sebelum dipintas oleh penerjun dari China itu.

"Saya tidak rasa aksi kali ini tidak sengit, malah kami melakukan tahap kesukaran yang sama tetapi kami berjaya melakukannya dengan baik sekali," kata Pendelela.

Kata penerjun kelahiran Sarawak itu, gandingannya dan Mun Yee semakin mantap selepas mereka sudah lama tidak mempamerkan aksi bersama seperti mana yang dilakukan semalam.

Kejayaan tersebut sudah pasti akan memberi suntikan semangat buat kedua-dua penerjun negara itu menjelang Kejohanan Dunia di Barcelona Julai depan tatkala mereka memburu pingat kedua di kejohanan tersebut selepas meraih gangsa di Rome pada 2009.

Johor DT lunas dendam

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my

Penyerang Johor DT, Mohd. Safee Sali menanduk bola sambil dihalang pemain pertahanan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. Johor DT menang 1-0. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Skuad Johor Darul Takzim berjaya membalas dendam ke atas Pahang apabila menundukkan pasukan Pantai Timur itu 1-0, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam

Johor DT pernah dikejutkan Pahang 3-2 dalam aksi pembukaan Liga Super tatkala ramai yang meramalkan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu mampu mencatat kemenangan pertama namun kekalahan tersebut berjaya ditebus di hadapan penyokong sendiri.

Disuntik semangat kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan suku akhir Piala FA, Selasa lalu, Harimau Selatan tampak garang apabila menguasai permainan keseluruhan babak pertama.

Mempamerkan aksi penuh bertenaga, tuan rumah bagaimanapun gagal meraih sebarang gol sepanjang separuh masa pertama walaupun Nurul Azwan Roya berpeluang memecah kebuntuan pada minit kelima, namun ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua, Johor DT terus mengasak kubu lawan dan akhirnya, Leonel Nunez berjaya merembat masuk gol pertama, hasil hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46.

Asakan demi asakan terus dilakukan oleh skuad Tok Gajah bagi memburu gol penyamaan sehinggakan nyaris membuatkan pemain pertahanan Johor DT, Kamarul Afiq Kamarudin menjaringkan gol sendiri di minit terakhir, namun bernasib baik kerana tandukannya mengenai palang.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan dan kemenangan tersebut melonjakkan kedudukan Harimau Selatan ke tangga teratas liga setelah Negeri Sembilan mengikat Selangor 0-0 di Stadium Paroi, Seremban.

Sementara itu di Stadium Shah Alam, tuan rumah, PKNS berjaya meraih tiga mata selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan.

Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit keenam melalui Ahmad Fakri Saarani.

PKNS berjaya menyamakan kedudukan apabila pemain import, Roman Chmelo berjaya membolosi gawang Kelantan pada minit ke-51.

Pada minit ke-72 Mohd Fauzan Dzulkifli muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan tuan rumah yang berpunca daripada sepakan percuma.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dan Selangor terikat 0-0, yang menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-86 selepas Ahmad Shakir Ali dilayangkan kad merah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Zolkples selar persatuan sukan

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Zolkples Embong

KUALA LUMPUR - Rumah siap tetapi pahat masih berbunyi.

Walaupun Anugerah Sukan Negara (ASN) 2012 berlangsung dengan cemerlang kelmarin, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kecewa dengan sikap persatuan yang tidak ambil serius anugerah tertinggi sukan tanah air itu.

Kata Zolkples, hanya 30 peratus persatuan menghantar nama atlet mereka untuk dicalonkan bagi merebut beberapa gelaran yang ditawarkan, termasuk Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Tegasnya, biarpun sesetengah sukan tidak berada dalam acara Olimpik itu tidak bermakna mereka tidak layak menerima pengiktirafan.

Setiap sukan katanya mempunyai kejohanan utama sendiri, seperti Kejohanan Dunia yang boleh diketengahkan.

"Sepatutnya persatuan sukan kemukakan calon mereka walaupun tidak mempunyai peluang untuk menang kerana ada pemenang pingat Olimpik berada dalam pencalonan," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Jelas Zolkples, setiap persatuan mempunyai atlet terbaik mereka sepanjang tahun yang layak untuk dicalonkan tidak kira walaupun mereka hanya memiliki pencapaian di peringkat Asia Tenggara.

"Mereka sepatutnya memilih atlet terbaik untuk dicalonkan, setidak-tidaknya kita menghargai sumbangan atlet tersebut, calonkan sahaja supaya boleh dipanggil untuk memeriahkan majlis ini.

"Menang ataupun tidak soal lain, saya rasa tidak sampai 50 peratus persatuan yang menghantar calon untuk ASN.

"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada persatuan sukan hantar calon, tetapi ini purata lebih kurang 30 peratus saja," katanya.

Kata Zolkples lagi, terdapat lebih 40 persatuan sukan di Malaysia, namun MSN hanya menerima 10 pencalonan untuk anugerah Olahragawan dan Olahragawati.

"Saya harap pada masa akan datang persatuan sukan jangan ulangi pekara ini dan hantar calon mereka.

"Contohnya dalam anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan, kita tidak menerima pencalonan langsung, jadi tidak ada pemenang untuk kali ini.

"Anugerah jurulatih pun tidak ada pencalonan, sedangkan kita mempunyai ramai jurulatih tempatan yang berwibawa. Sikap seperti ini perlu diubah oleh persatuan pada masa akan datang," katanya lagi.

Sebelum ini terdapat beberapa atlet yang pernah merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati sedangkan sukan yang mereka ceburi tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Antaranya, Malek Noor dan Sazali Samad (bina badan), Khoo Boon An, Shirley Chow, Michael Chuah, Lydia Kwah, Lisa Kwan, Sharon Low, Shalin Zulkifli (tenpin boling), Sam Chong (biliard-snuker), Datuk Nicol David (skuasy) serta Karamjit Singh-Allen Oh (rali).

Kepentingan Malaysia dalam EPL terjamin

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Kim Bo-Kyung meraikan kejayaan Cardiff City layak ke Liga Perdana sejurus tamat perlawanan dengan Charlton di Cardiff, semalam. - AGENSI

LONDON - Pada ketika masa depan Queens Park Rangers (QPR) dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) masih tidak menentu, kepentingan Malaysia dalam liga utama bola sepak England sudah terjamin menerusi Cardiff City.

Kelab Wales yang dimiliki oleh jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu mengesahkan tempat dalam EPL musim depan selepas seri 0-0 dengan Charlton Athletic semalam, keputusan yang cukup untuk menjamin kedudukan mereka pada dua tangga teratas Liga Kejuaraan (divisyen dua).

QPR, yang dimiliki oleh taikun AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berada dalam keadaan bahaya selepas menghuni tangga tercorot liga pada ketika saingan musim ini hanya berbaki tujuh perlawanan.

Kelab London itu dipisahkan dengan 10 mata di belakang kelab terakhir yang berada dalam zon selamat, Aston Villa.

Cardiff, yang sering dikecewakan dalam saingan playoff pada tiga musim terakhir kembali ke kancah liga utama buat kali pertama sejak 1962, iaitu 51 tahun yang lalu.

Kejayaan mereka diraikan oleh pemain dan peminat yang membanjiri padang di Stadium Cardiff City sejurus wisel penamat ditiupkan, semalam.

"Saya juga gembira bagi pihak mereka. Ramai orang di sini yang pernah berdepan detik sukar dan kejayaan ini ditujukan untuk mereka," kata Pengurus Cardiff, Malky Mackay, yang mula mengambil alih Cardiff pada 2011.

Tidak lama selepas melakar kejayaan tersebut, Vincent mengumumkan dana 25 juta pound (RM115.81 juta) akan disiapkan untuk mengukuhkan pasukan menghadapi cabaran Liga Perdana.

"Kami kena mencatur strategi dengan baik dan akan membelanjakan wang, mungkin sekitar 20 hingga 25 juta pound.

"Ada pasukan lain yang berbelanja besar tetapi gagal beraksi baik, jadi kami cuba berbelanja secara bijak," kata Vincent.

Walaupun saingan Liga Perdana masih berlangsung, namun kedudukan satu lagi kelab Wales, Swansea City dianggap terjamin kerana juara Piala Liga itu menghuni kedudukan pertengahan liga. Ini bermakna, Wales bakal memiliki dua wakil pada musim 2013/2014.

"Saya hilang kata-kata sekarang. secara jujur saya percaya, kami memang berhak meraih kejayaan ini.

"Kami menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang tahun, malah sejak November lalu kami mempamer prestasi yang sangat mantap dan memang mengharapkan tiket Liga Perdana.

"Sekarang, kami mahu meraikan detik yang hebat ini dan kemudian baru fikirkan tentang gelaran (Liga Kejuaraan)," kata pertahanan Cardiff, Mark Hudson kepada BBC.

Cardiff berada pada posisi selesa untuk menutup musim dengan kejuaraan selepas mengumpul 84 mata daripada 43 perlawanan, tujuh mata mengatasi pasukan tangga kedua, Hull City pada ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Walaupun sering dikecewakan menerusi playoff pada tiga musim terakhir, namun pasukan itu sering mencuri tumpuan dengan melakar beberapa kejayaan tidak diduga seperti melangkah ke final Piala FA 2008.

Pasukan Bluebirds itu juga kalah kepada Liverpool pada perlawanan akhir Piala Liga, tahun lalu. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelantan di landasan pertahan kejuaraan Piala FA

Posted: 16 Apr 2013 09:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 April - Penyandang juara Piala FA musim lalu, Kelantan kini semakin hampir mempertahankan kejuaraan apabila berjaya melangkah ke saingan separuh akhir selepas membenam Sarawak 2-0 untuk agregat 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Pada perlawanan separuh akhir, Kelantan dijadual menentang Terengganu yang turut melepasi suku akhir selepas meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan 3-0 untuk agregat 6-1.

Turut layak ke saingan sama ialah Pahang dan Johor Darul Takzim. - Utusan

Keputusan Piala FA 2013

Selangor 1 Johor DT 2

(agregat 3-3, Johor DT layak penalti 4-2)

Sarawak 0 Kelantan 2

(Kelantan layak agregat 4-1)

Sime Darby 0 Pahang 2

(Pahang layak agregat 2-0)

Terengganu 3 Negeri Sembilan 0

(Terengganu layak agregat 6-1)

Chong Wei, Pandelela menang lagi

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bergambar bersama penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Lee Chong Wei (kanan) dan Pandelela Rinong pada Anugerah Sukan Negara 2012 di Subang malam tadi. - UTUSAN/NAsirruddin Yazid

KUALA LUMPUR - Kejayaan memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London membantu Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong mengetepikan pencabar lain untuk mengekalkan gelaran Olahragawan serta Olahragawati Kebangsaan buat kali kedua berturut-turut pada Anugerah Sukan Negara 2012, semalam.

Chong Wei, 31, yang turut meraih empat kejuaraan dalam kalendar badminton Siri Super mengenepikan Sazali Samad (bina badan), Mohd. Syafiq Ridhwan (boling) dan Leong Tze Wai (karate), manakala Pandelela menewaskan Datuk Nicol David (skuasy), Fatehah Mustapa (berbasikal), Cheah Mei Lian (boling).

Lebih manis kejayaan kali ketiga Chong Wei diraih lima hari selepas menyambut kelahiran anak sulung, Kingston Lee.

"Ini tuah anak. Kemenangan ini akan bagi dorongan untuk saya beraksi baik pada Kejohanan Dunia. Harap saya dapat menyamai rekod Rashid Sidek (menang empat kali)," kata Chong Wei, yang turut muncul Olahragawan 2005 dan 2008.

Pandelela yang kini menyambung pengajian di Universiti Malaya berjaya mempertahankan gelaran apabila bukan hanya memenangi gangsa Olimpik tetapi pingat gangsa Siri Terjun Dunia Dubai.

"Sudah tentu saya gembira kerana menang kali kedua. Saya memang menyimpan impian untuk menang tetapi pada masa sama, saya sedar saingan sangat sengit sebab calon yang lain juga bagus," kata Pandelela yang turut dinobat sebagai penerima Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2012, baru-baru ini.

Pemenang menerima ganjaran RM20,000 berserta trofi daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tunku Jaafar.

Pingat perak memanah pada Sukan Paralimpik London membolehkan Hasihin Sanawi menggondol Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2012.

Pasukan hoki remaja lelaki, menerima Anugerah Pasukan Lelaki kebangsaan, manakala olahragawati lapan kali, Nicol mengetuai pasukan skuasy wanita muncul Pasukan Wanita kebangsaan.

Kesemua pemenang bagi pasukan lelaki dan wanita kebangsaan berjaya meraih hadiah wang tunai RM20,000 atau RM3,000 seorang beserta trofi.

Nicol bersama tiga lagi pemain wanita skuasy negara, Low Wee Wen, Delia Arnold dan Siti Munirah Jusoh layak menerima anugerah tersebut selepas menduduki tempat ketiga di Kejohanan Wanita Skuasy Dunia November lalu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tuah anak Chong Wei?

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei atau Sazali Samad? Datuk Nicol David atau Pandelela Rinong?. Teka-teki siapa yang bakal bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012, akan terjawab dalam Anugerah Sukan Negara Ke-48, malam ini.

Rezeki kelahiran Kingston Lee, Jumaat lalu mungkin akan berpihak kepada Chong Wei untuk naik ke pentas pemenang berdasarkan pencapaian pingat perak badminton pada Sukan Olimpik London, tahun lalu, selain lima gelaran Siri Super dan satu Grand Prix Emas.

Namun gelaran Mr. Universe kategori 70 kilogram pada Kejohanan Bina Badan Dunia WBDF Keempat di Bangkok, Disember lalu yang dimiliki Sazali tidak kurang hebatnya.

Ini akan menjadi pertaruhan anggota polis ini untuk dinobat sebagai Olahragawan selepas turut turut menjuarai Kejohanan Asia Ke-44 di China.

Chong Wei sudah bergelar Olahragawan Kebangsaan pada 2005, 2008 dan 2011 manakala Sazali pernah memenanginya pada 2000 dan 2006, sekali gus mencetuskan daya tarikan kepada pemerhati dan peminat sukan tanah air tentang siapa yang mampu melebarkan rekod kejayaan berprestij itu kali ini.

Kejutan juga mampu didatangkan oleh juara Master Piala Dunia AMF, Mohd. Syafiq Ridhwan, sambil sedikit tentangan bakal cuba diberikan oleh juara kata perseorangan dan berpasukanLiga Perdana Persekutuan Karate Dunia, Ogos lalu - Leong Tze Wai.

Persaingan merebut gelaran turut berlaku di antara ratu terjun negara, Pandelela dan jaguh skuasy No. 1 dunia, Nicol.

Kejayaan Pandelela meraih gangsa 10 meter platform individu pada Olimpik 2012 meletakkannya sebagai pilihan untuk membawa pulang gelaran Olahragawati.

Namun, Nicol dengan deretan kejuaraan, termasuk gelaran dunia ketujuh turut meletakkannya dalam kedudukan pilihan.

Mereka akan disaingi juara keirin berbasikal Asia, Fatehah Mustapa dan pemenang gangsa perseorangan Kejohanan Boling Dunia, Cheah Mei Lian.

Pandelela, Olahragawati Kebangsaan 2011 cuba menambah koleksi peribadi selepas turut dinobat sebagai pemenang Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Olimpian Wanita Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Nicol pula masih memegang rekod selaku Olahragawati Kebangsaan terbanyak dalam sejarah (lapan kali - 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010).

Trofi dan ganjaran RM20,000 yang dinaikkan sekali ganda sejak tahun lalu, menanti Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012 dengan majlis penyampaian anugerah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ini akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Anugerah lain, termasuk Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM20,000), Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan (RM10,000); Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM5,000) dengan persatuan sukan yang menaungi pemenangnya, mendapat RM2,000 di samping Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Kuasa 'bersuara' akan diperluas

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah menggantung ramai tokoh bola sepak negara gara-gara mengkritik persatuan, bakal mengalami transformasi.

Jika sebelum ini hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan bersuara, Artikel 88 akan diubahsuai untuk membenarkan lebih ramai pegawai melontarkan pandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Peraturan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, pegawai lain juga akan diberi kebenaran untuk bersuara oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM berdasarkan portfolio masing-masing, sekiranya pindaan kecil artikel itu dipersetujui Kongres, pertengahan Ogos ini.

Katanya, cadangan pindaan yang disifatkannya sebagai lebih jelas dan bertujuan memudahkan semua pihak itu bakal dihantar kepada ahli gabungan FAM, tiga bulan menjelang mesyuarat Kongres.

Ia bertujuan untuk memberi makluman kepada mereka agar dapat diselaraskan dengan perlembagaan persatuan masing-masing.

"Cadangan pindaan Artikel 88 itu memiliki sedikit pengubahsuaian daripada yang sekarang tetapi masih dalam kawalan tertentu. Kami tidak mahu ada lagi pihak yang mengambil tafsiran berbeza. Kami akan senaraikan apa yang boleh dan tidak boleh untuk mereka mengulas (kepada media) berdasarkan portfolio masing-masing," katanya.

Afandi yang juga Naib Presiden FAM, mengulas mengenai hasil mesyuarat Exco dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadirinya di sini, semalam.

Agenda utama mesyuarat ialah cadangan pindaan Artikel 88.

Tokoh bola sepak yang digantung dan didenda kerana menyalahi artikel berkenaan ialah Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan yang terbaharu bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib ialah ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Mohd. Taufek Abd. Razak berkata, kes jurulatih berkenaan bakal dibicarakan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 20 April ini bersama kes pergaduhan dua pemain Selangor dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Januari lalu.

"Sekarang ini saya sangat sibuk dengan PRU. Tunggulah kemungkinan besar (kes Rajagobal yang dikatakan mengkritik khidmat penyerang import dalam Liga Malaysia) selepas hari penamaan calon.

"Kesnya akan disebut bersama kes pergaduhan pemain Selangor, Afiq Azmi dan Shukur Jusoh dengan ATM dalam Piala FA itu," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Argentina pilihan Johor DT

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Dari kiri, Mohd. Farid, Muhammad Nazri, Leonel Jorge Nunez, Andre Francisco William serta Jasazrin yang akan memikul cabaran pasukan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super musim ini. Mereka diperkenalkan kepada peminat dii Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mempertaruhkan pemain import baharu dari Argentina, Leonel Jorge Nunez bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2013.

Bekas pemain Argentinos Juniors berusia 29 tahun itu mengikat kontrak dengan jumlah gaji yang tidak didedahkan bersama pasukan tersebut dan bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan tempat Daniel Guiza.

Nunez yang berasal dari Buenos Aires diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat sini, semalam.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter itu pernah beraksi bersama pasukan Olympiacos, Independiente serta Bursaspor.

Selain Nunez, PBNJ turut memperkenalkan empat pemain baharu iaitu Andre Francisco Da Silva (tengah), Mohd. Farid Ramli (pertahanan), Muhammad Nazri Ahmad (pertahanan) dan Jasazrin Jamaluddin (tengah).

Kempat-empat pemain yang beraksi bersama pasukan Johor dalam saingan Liga Perdana sebelum ini sudah membuat penampilan pertama dengan Johor Darul Takzim ketika menentang Terengganu 12 April lalu yang menyaksikan pasukan itu menang 1-0.

Pengumuman pengambilan Andre dan Nunez itu sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan Johor Darul Takzim.

Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, jika semua berjalan lancar termasuk urusan sijil perpindahan antarabangsa (ITC), Nunez bakal diturunkan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Selangor 16 April ini.

"Pihak PBNJ berharap kehadiran kelima-lima pemain baharu itu dapat memperkukuhkan lagi pasukan dalam segenap aspek sekali gus mempertingkatkan lagi mutu persembahan Johor Darul Takzim dalam usaha memburu kemenangan musim ini," katanya.

Nunez berazam jadi penyerang hebat

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

JOHOR BAHRU - Penyerang import baharu Johor Darul Takzim, Leonel Jorge Nunez bersedia memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan sekali gus memastikan kemenangan pasukan setiap kali beraksi.

Biarpun tidak berapa dikenali, pemain yang memulakan karier bola sepaknya bersama Argentinos Juniors itu akan berusaha menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang lain bagi membentuk satu pasukan mantap.

Nunez yang berasal dari Argentina itu juga bersedia untuk meledakkan gol untuk pasukan, namun tidak menetapkan sebarang sasaran gol kerana yang penting berusaha untuk Johor Darul Takzim menjulang piala musim ini.

Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu juga meminta semua pihak termasuk penyokong tidak membandingkan dirinya dengan bekas pemain import Johor Darul Takzim dari Sepanyol, Daniel Guiza.

"Kami adalah dua individu yang berbeza. Saya tidak mahu dibandingkan bersamanya, namun saya memiliki keazaman selaku penyerang seperti dia (Guiza) untuk menghasilkan gol demi kemenangan pasukan.

"Saya gembira dan saya mempunyai harapan besar datang ke sini untuk bersama-sama pasukan ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Baharu Johor Darul Takzim di sini, semalam.

Nunez memulakan karier profesional bersama Argentinos Juniors pada tahun 2004 hingga 2007 sebelum bersama Olympiacos (2007-2008) serta Independiente (2008-2010).

Dia kemudiannya memilih kelab Turki, Bursaspor (2010) untuk meluaskan pengalaman dalam kariernya sebelum kembali menyarung

jersi Independiente (2011) dan Argentinos Juniors (2012-2013).

Katanya, keputusan untuk menyertai Johor Darul Takzim dibuat selepas mendengar perancangan masa depan pasukan selain diberitahu mengenai gelombang perubahan demi misi memburu kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

Pada masa sama, dia juga tertarik dengan pihak pengurusan yang mempunyai pentadbiran tersusun selain mempunyai penyokong yang memenuhi stadium yang mampu menaikkan semangat seseorang pemain.

"Saya berharap tidak akan menghampakan semua pihak dengan memberi persembahan terbaik pada setiap perlawanan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Johor DT perkenal pemain baharu ganti tempat Guiza

Posted: 13 Apr 2013 09:56 PM PDT

JOHOR BAHRU 14 April - Johor Darul Takzim hari ini memperkenalkan pemain import baharu pasukan itu dari Buenos Aires, Argentina, Leonal Jorge Nunez bagi mengharungi baki saingan Liga Super 2013.

Pemain berusia 29 tahun yang pernah bermain untuk Olympiakos, Inpendiente dan Bursaspor itu bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan Daniel Guiza - UTUSAN ONLINE

EPL: Arsenal mengamuk pada penghujung perlawanan

Posted: 13 Apr 2013 09:58 AM PDT

LUKAS Podolski (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Norwich City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London semalam. - REUTERS

LONDON 14 April - Arsenal menjaringkan tiga gol dalam masa lima minit terakhir untuk menewaskan Norwich City 3-1 di Stadium Emirates dan melonjak ke tempat ketiga Liga Perdana sebentar tadi.

Tandukan Michael Turner pada awalnya kelihatan cukup untuk menundukkan anak-anak buah Arsene Wenger, tetapi Mikel Arteta menyamakan kedudukan pada minit ke-85 sebelum jaringan sendiri Sebastien Bassong dan percubaan Lukas Podolski pada masa kecederaan menyempurnakan kebangkitan Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal memintas Chelsea dan Tottenham Hotspur, kedua-duanya tidak beraksi, sekali gus mengekalkan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-juara.

Kemenangan Arsenal itu pastinya mengecewakan Everton, yang mahu merapati mereka selepas menang 2-0 di tempat sendiri ke atas pasukan kedua tercorot, Queens Park Rangers.

Darron Gibson menghasilkan gol pertama perlawanan di Goodison Park sebelum Victor Anichebe mengukuhkan kedudukan Everton menerusi gol 11 minit selepas rehat.

Pasukan tercorot, Reading pula berjaya mengekang serangan berbahaya Liverpool untuk seri 0-0 di Stadium Madejski.

Dalam perlawanan lain Aston Villa seri 1-1 di tempat sendiri dengan Fulham manakala West Ham United juga seri dengan jaringan sama dengan Southampton. - AGENSI

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Raja mengaku tidak bersalah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Rajagobal

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengaku tidak bersalah dalam surat pertuduhan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), satu hari sebelum tarikh tutup pada hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud yang berkata, Sekretariat FAM telah menerima surat jawapan daripada Rajagobal dan tarikh pendengaran kes tersebut akan diputuskan tidak lama lagi.

Namun, beliau menambah keputusan penetapan tarikh perbicaraan itu bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM tetapi dijangka hampir pasti berlangsung pada minggu depan.

Rajagobal telah membalas surat pertuduhan yang telah dihantar oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada hari ini (semalam) dan di dalam suratnya (Borang B), dia menyatakan pendirian bahawa dia tidak bersalah.

Selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh FAM, Rajagobal berpeluang membela diri ketika perbicaraan yang tarikhnya masih belum ditentukan lagi.

Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang dan menetapkan tarikh perbicaraan namun saya jangka dalam minggu hadapan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufik Abdul Razak yang ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh, Rabu lalu ada membayangkan akan mengadakan perbicaraan sebelum 20 April, iaitu sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Rajagobal yang mendapat surat pertuduhan pada 5 April lalu terselamat daripada dikenakan tindakan di bawah Artikel 88 apabila hanya akan disiasat mengikut kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.

Punca utama Rajagobal tidak disiasat di bawah Artikel 88 adalah kerana dia mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan pihak media tetapi melanggar arahan FAM.

Walaupun begitu, dia tidak boleh lari daripada risiko kehilangan jawatan apabila boleh dikenakan penggantungan enam bulan serta denda RM8,000 jika bersalah.

Semuanya gara-gara kerana mengatakan skuad negara sudah ketiadaan penyerang berkualiti dalam saingan Liga Malaysia dalam tempoh dua tahun pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lepas.

Hamidin calon pilihan?

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin

KUALA LUMPUR - Desas-desus bahawa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini akan meninggalkan badan induk bola sepak itu bagi menerima jawatan selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah terjawab pada Rabu lalu.

Tidak dinafikan antara jawatan cukup penting selepas Presiden yang kini masih dipikul Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung sahaja yang mempunyai kebenaran khusus untuk bercakap dengan media apabila membicarakan perihal bola sepak negara selain melaksanakan dan mengetuai Sekretariat FAM.

Namun, persoalan paling besar selepas Azzuddin akan mengucapkan salam perpisahan kepada FAM pada penghujung Mei ini, siapakah yang akan mengambil tempat yang akan ditinggalkan oleh beliau?

Buat masa ini, belum ada sebarang petanda jelas siapakah individu akan menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh Azzuddin, namun jika dilihat situasi di FAM, ada satu nama yang boleh dikaitkan di kerusi paling panas badan bola sepak induk berkenaan iaitu Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Jangan dilupakan bahawa beliau sebenarnya pernah diletakkan sebagai calon utama sebagai Setiausaha Agung FAM pada tahun 2007 sebelum Datuk Azzuddin Ahmad yang akhirnya mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Kini, mungkinkah rezeki akan menjadi milik Hamidin pada kali ini jika pengalaman dan pengaruhnya menjadi sandaran?

Dianggap di antara individu paling kana di FAM buat masa ini, Hamidin juga mendapat kepercayaan Sultan Ahmad Shah untuk mengendalikan salah satu portfolio paling penting iaitu Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Komitmen beliau untuk menswastakan sepenuhnya Liga Malaysia selewat-lewatnya tahun 2015 mungkin akan menjadi nilai tambah Hamidin untuk menjadi individu paling popular mengambil alih posisi Azzuddin.

Hamidin yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semenjak tahun 1998 mempunyai pengalaman yang cukup luas selama lebih 20 tahun menguruskan pentadbiran bola sepak negeri.

Di peringkat FAM, beliau pernah menjawat beberapa tugasan penting seperti Setiausaha penganjur Kejohanan Piala Belia Dunia 1997 di Kuala Lumpur dan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai pada penggal sebelumnya.

Malahan, beliau berkhidmat di bawah empat Presiden FAS iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Datuk Abu Hassan Omar, Tengku Ahmad Shah dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Walaupun begitu, semuanya bergantung kepada percaturan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kerana jawatan itu adalah di bawah lantikan baginda sepenuhnya.

Namun, jika ia menjadi kenyataan, beliau akan menjadi Setiausaha Agung FAM ketujuh selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin (2007-2013).

Di samping itu, dia akan menjadi Naib Presiden kedua selepas Ibrahim Saad yang dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS