Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Azam Elaine

Posted: 15 Jan 2011 08:23 AM PST

NAMA Elaine Koon mula meniti bibir peminat sukan apabila menghadiahkan lima pingat (satu emas, satu perak dan tiga gangsa) pada temasya Sukan Komanwel New Delhi tahun lalu.

Ratu gimrama ini menerima ganjaran tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), RM180,000 serta anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) - 100Plus Outdo Youself yang menawarkan RM5,000 setiap atlet.

Ikuti temubual Wartawan Metro Ahad (MA), WAN NORIZA MEOR IDRIS dengan Elaine.

MA: Sebelum menjadi gimnas, apakah cita-cita asal Elaine?

ELAINE KOON (EK): Saya berangan-angan menjadi gimnas sejak kecil kerana teruja melihat aksi gimnas dunia di televisyen. Tidak terlintas mengimpikan kerjaya lain. Boleh dikatakan cita-cita saya sudah tercapai.

MA: Adakah petua atau pantang larang diamal untuk kekalkan prestasi?

EK: Saya lebihkan makan sayur dan buah-buahan tapi sekali sekala, saya makan apa saja seperti daging tapi dalam kuantiti yang sedikit. Saya tiada pantang larang.

MA: Apakah sukan lain yang anda minati?

EK: Saya suka renang, hobi sejak kecil. Setiap masa terluang, saya pasti berenang di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

MA: Siapa idola Elaine?

EK: Juara dunia serta pemenang pingat emas Olimpik 2008, Yevgeniya Kanayeva dari Russia. Dia terlalu sempurna.

MA: Siapa pendorong menceburi sukan ini?

EK: Tentunya keluarga dan guru sekolah rendah saya. Sokongan keluarga banyak membantu membina karier saya.

MA: Apakah perkara paling sukar pernah anda tempuhi?

EK: Cabaran di Sukan Komanwel paling sukar. Entah mengapa saya gementar melihat pencabar lain. Apatah lagi tiba-tiba kepala cedera ketika latihan di sana. Mujur, perasaan itu ditangani hingga berjaya membawa pulang lima pingat buat Malaysia.

MA: Kenapa pilih gimrama dan bukan gimnastik artistik?

EK: Saya jatuh cinta pandang pertama melihat gimrama di kaca televisyen ketika berusia 5 atau 6 tahun. Saya mula aktif di Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis (C) Yu Hua, Kajang dan menjadi pelapis pada usia lapan tahun. Dalam erti kata lain, saya pilih gimrama sejak awal lagi.

MA: Bagaimana dengan teman lelaki?

EK: Saya baru berusia 18 tahun dan terlalu awal untuk memikirkan teman lelaki. Pada masa ini, tumpuan saya pada pelajaran serta kejohanan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ujian getir Chong Wei

Posted: 15 Jan 2011 08:22 AM PST

SAINGAN pembuka tirai Siri Super 2011 di Kuala Lumpur bakal menjadi kejohanan paling menarik sepanjang sejarah penganjuran Terbuka Malaysia sejak 1937. Apa tidaknya, pelbagai elemen kejutan berlaku sebelum kejohanan itu membuka tirai Selasa ini.

Bermula dengan pengesahan China yang menghantar skuad perseorangan terkuat diketuai Lin Dan, Chen Jin, Chen Long, Bao Chunlai dan Du Pengyu, peletakan jawatan jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pelantikan Li Mao sebagai jurulatih baru Indonesia bakal menjanjikan elemen kejutan.


Tidak menghairankan China menurunkan skuad terkuat kali ini biarpun Terbuka Malaysia tidak berstatus Siri Premier seperti Terbuka Korea, Indonesia, China, Denmark dan Seluruh England yang menawarkan hadiah lumayan.

Terbuka Malaysia tetap menarik perhatian pemain ternama dunia kerana menawarkan hadiah keseluruhan AS$400,000 (RM1.2 juta).


Terbuka Korea paling lumayan dengan nilai keseluruhan AS$1.2 juta (RM3.7 juta) diikuti Indonesia AS$600,000 (RM1.8 juta), Denmark, China dan England AS$350,000 (RM1.07 juta).


Selain merebut hadiah lumayan bagi juara perseorangan lelaki RM96,000, cabaran kali ini lebih terarah kepada menguji persediaan barisan pemain elit dunia yang akan mula memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik London 2012 bermula 2 Mei depan hingga 29 April 2012.

Datuk Lee Chong Wei pastinya mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2008 hingga 2010 selain memburu kejuaraan di tanah air buat kali ketujuh selepas jaguh negara itu turut menjuarai gelaran pada 2004-2006.


Namun, tugasnya bukan mudah dengan kehadiran pemain China yang sudah lama tidak beraksi di Malaysia. Apa lagi tanpa kelibat Misbun yang tidak melatihnya sejak 31 Disember lalu.

Chong Wei juga perlu bersedia fizikal dan mental kerana berdepan laluan sukar di separuh akhir apabila dijangka berdepan Lin Dan. Pertemuan terakhir Chong Wei-Lin Dan di Stadium Putra, Bukit Jalil adalah pada kejohanan Piala Thomas Mei tahun lalu yang memihak jaguh China itu.


Jika berjaya melepasi Lin Dan sekalipun, Chong Wei bakal berdepan satu lagi kesukaran andai bertemu pemain Indonesia, Taufik Hidayat di final selepas pemain itu diletak pilihan kedua.


Kelibat pemain Indonesia kali ini pasti berbeza selepas mendapat jurulatih baru, Li Mao. Li Mao yang dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) esok mampu mencongak percaturan strategi pemainnya ketika menentang pemain Malaysia, China mahupun Korea.


Jurulatih berpengalaman itu pernah melatih skuad kebangsaan China, Malaysia dan Korea sebelum beralih ke Indonesia yang ketika ini menghadapi masalah sama dengan Malaysia, ketandusan bakat perseorangan.


Sementara itu, beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sepatutnya tiada masalah mempertahankan kejuaraan tahun lalu selepas mendapat status pilihan utama kejohanan.


Gandingan utama negara itu dijangka mudah ke final, namun badi kekalahan kepada gandingan kedua Korea Yoo Yeon Seong-Koo Sung Hyun mungkin menjadi penghalang.


Sepanjang empat pertemuan kedua-dua beregu itu, gandingan negara tewas semuanya. Terbuka Malaysia mungkin menjadi gelanggang terbaik buat mereka bangkit selepas jurulatih Rexy Mainaky sebelum ini berkata, kekalahan terakhir gandingan negara itu kepada pasangan Korea pada Pusingan Akhir Siri Super Dunia di Taiwan disebabkan mereka tidak bersedia daripada segi fizikal dan mental.


China dijangka menguasai perseorangan wanita kerana menurunkan pemain terbaik mereka, Wang Xin, Wang Shixian, Wang Yihan, Jiang Yanjiao dan Lu Lan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan