Kosmo Online - Sukan |
Posted: Kelantan kena lagiDENDA penggantungan selama enam bulan ke atas Sathianathan dikekalkan. Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa rayuan FAM semalam. BELUM pun saingan Liga Malaysia musim ini membuka tirainya, Kelantan, juara Piala Malaysia 2010, sudah menerima perkhabaran buruk. Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan mengekalkan hukuman gantung enam bulan ke atas ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkuat kuasa kelmarin. Keputusan tersebut mengejutkan penyokong setia pasukan The Red Warriors ketika persiapan mereka sudah memasuki fasa terakhir sebelum aksi merebut Piala Sumbangsih antara Kelantan dan Selangor pada 29 Januari ini bermula di Stadium Shah Alam. Ekoran keputusan tersebut, Kelantan perlu mencari pengganti Sathianathan untuk mengemudi The Red Warriors berikutan penolongnya, Hashim Mustafa hanya mempunyai Lesen Kelas B dan tidak layak mengetuai pasukan. Penyokong Kelantan menganggap tindakan FAM itu sebagai 'kurang cerdik' kerana membuat keputusan pada saat-saat akhir sekali gus menyusahkan pasukan The Red Warriors untuk mencari pengganti yang sesuai. Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan, Marhasim Mat berkata, keputusan FAM itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menjahanam serta merosakkan moral pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini "Saya amat kecewa dengan tindakan FAM, kes ini sepatutnya sudah lama diselesaikan dan tidak perlu mengambil tempoh yang lama untuk membuat keputusan. "Sekiranya kes ini diselesaikan lebih awal, saya yakin dan percaya ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah buat Kelantan dalam mempersiapkan pasukan," katanya kepada Kosmo! semalam. Tambahnya, ini merupakan kali ketiga FAM membuat keputusan yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat The Red Warriors. Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebook miliknya mengesahkan, beliau telah menerima surat rasmi daripada FAM mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan badan induk bola sepak itu mengekalkan keputusan ke atas Sathianathan. Menurut Annuar, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini (semalam) untuk membincangkan masalah tersebut dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas itu. Kelantan kini dikatakan sedang mengadakan rundingan untuk Azraai Khor Abdullah mengemudi skuad Kelantan. |
Posted: FAS ketat kawalan keselamatanINSIDEN kekecohan melibatkan penyokong Selangor dan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober tahun lalu dijamin tidak akan berulang, lapor WAN FAKHRUL BAKAR. Kedua-dua pasukan tersebut bakal bertemu lagi untuk aksi sulung Liga Super 2011 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sebagai langkah pencegahan pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk meletakkan sekurang-kurangnya 745 anggota bagi perlawanan tersebut. "Pihak polis akan mengawal dari sebelum perlawanan bermula, ketika perlawanan berlangsung dan juga selepas perlawanan. Ia bagi memastikan pergaduhan penonton sebelum ini tidak berulang. "Polis juga akan ditempatkan di luar stadium dan sejurus sebelum perlawanan tamat, polis akan berada di lokasi tertentu bagi mengelakkan pertempuran penyokong kedua-dua pasukan. "Kita harap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan saya harap penyokong Selangor dan Kelantan datang untuk menikmati perlawanan, bukannya melakukan perkara yang tidak diingini. "Sila jaga emosi masing-masing," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengelola di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. Menurut Hamidin, tiket bagi perlawanan sumbangsih itu akan dijual pada Jumaat ini dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di kaunter pintu utama Stadium Shah Alam serta pada Sabtu bermula 9 pagi hingga perlawanan bermula. "Harga tiket ialah RM20 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Untuk mengelak kesesakan, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 4 petang hari perlawanan. "Kita akan beri tempat duduk 50-50 untuk kedua-dua pasukan. Cuma zon pemisah nanti akan dianjakkan mengikut keadaan iaitu jumlah penyokong pasukan mana yang lebih ramai," ujarnya. |
Posted: Guardini sukar digugatOleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR GUARDINI (jersi kuning) dari pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli meraikan kejayaannya selepas menguasai peringkat kedua LTdL 2011 semalam. PELUMBA pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila mengungguli peringkat kedua Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 semalam. Kemenangan pada perlumbaan di laluan landai sejauh 145.4 kilometer dari Kangar ke Butterworth itu menyaksikan Guardini terus menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan. Guardini mencatat masa tiga jam 26 minit 26 saat diikuti pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing Boris Shpilevsky daripada pasukan Tabriz Petrochemical Team (TPT) dan Anuar Manan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSC). Selain itu, pelumba Itali tersebut turut mengungguli kedudukan teratas dalam perebutan Jersi Biru (Raja Pecut) selepas mengumpul keseluruhan 33 mata, dua mata di hadapan Anuar. "Kejayaan saya hari ini (semalam) membuktikan kemenangan saya semalam (kelmarin) bukan disebabkan faktor nasib semata-mata. "Saya gembira kerana sekali lagi menaiki podium selaku juara seterusnya mempertahankan Jersi Kuning dalam dua peringkat berturut-turut," kata Guardini yang dua kali menewaskan pemecut tersohor, Mark Cavendish tahun lalu. Guardini menegaskan perlumbaan semalam lebih mencabar jika dibandingkan pada peringkat pertama di Langkawi khususnya pada jarak beberapa kilometer terakhir ke garisan penamat apabila berlaku insiden kemalangan. "Ketika menuju ke garisan hadapan, saya yang berada dalam kelompok hadapan terpaksa bersaing sengit dengan pelumba-pelumba lain sehingga menyebabkan ada yang terjatuh. "Bagaimanapun saya bernasib baik kerana dapat meloloskan diri daripada kelompok besar sehingga berjaya menuju ke garisan penamat sebagai pemenang. "Saya mahu berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang lain kerana mereka banyak membantu dari mula hingga tamat perlumbaan." Sementara itu, Anuar yang juga Raja Pecut 2010, merampas Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) daripada pelumba pasu-kan Korea Selatan, Park Sung-baek. Sung-baek ditimpa malang apabila terlibat dalam kemalangan bersama pelumba Europcar, Yukiya Arashiro ketika bersaing dengan barisan pencabarnya kira-kira 200 meter terakhir menuju ke garisan penamat. Jersi Merah (Raja Bukit) pula kekal menjadi milik pelumba pasukan Skil Shimano Cycling Team, Koen De Kort buat hari kedua berturut-turut. "Selepas perlumbaan semalam (kelmarin), saya berazam untuk terus mengekalkan Jersi Merah dan misi saya hari ini (semalam) dianggap berjaya. Saya akan cuba untuk terus mengekalkan Jersi Merah," kata De Kort. Dalam pada itu, rakan sepasukan Anuar, Mohd. Harrif Salleh menduduki tempat ke-13 diikuti Mohd. Shahrul Amin (ke-53), Mohd. Saufi Mat Senan (66). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan