Utusan Online - Sukan |
Sathia kekal digantung 6 bulan Posted: Sathia kekal digantung 6 bulanOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Persiapan penyandang juara Piala Malaysia, Red Warriors bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia 2011 ditimpa musibah besar apabila mereka tidak dapat menggunakan khidmat jurulatih, B. Sathianathan sehingga 23 Julai ini. Malah, bagai jatuh ditimpa tangga, pengurusan skuad Kelantan juga terpaksa mencari seberapa segera jurulatih baru yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A sebelum sepak mula perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Januari ini kerana pembantu Sathia, Hashim Mustapha hanya mempunyai lesen kelas B. Ia gara-gara keputusan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh K. Kanagarajah, yang mengekalkan hukuman enam bulan seperti mana diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM pada 23 Oktober lalu. Khabar menyedihkan buat peminat Kelantan itu telah disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud di Wisma FAM pada sidang akhbar pengelolaan perlawanan Piala Sumbangsih 2011, semalam. ''Selepas bersidang pada pagi ini, Jawatankuasa Rayuan berpuas hati dan bersetuju dengan hukuman penggantungan enam bulan yang dikenakan pada jurulatih Kelantan, B. Sathianathan oleh Jawatankuasa Disiplin. ''Hukuman itu akan bermula berkuatkuasa pada hari ini, 24 Januari dan akan berakhir pada 23 Julai. ''Selain itu, Kelantan harus mencari seorang caretaker coach (jurulatih sementara) yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A sepanjang tempoh penggantungan Sathianathan kerana mengikut peraturan teknikal pertandingan FAM, mereka tidak boleh mendaftar seorang jurulatih atau pemain yang sedang mengalami penggantungan," kata Ahmad Fuad. Sathianathan sebelum ini digantung enam bulan dan didenda RM2,000 oleh Jawatankuasa Disiplin kerana bersalah mempertikaikan keputusan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super. Dia sempat menjalani hukuman tersebut dalam satu perlawanan ketika Kelantan menentang Kedah di peringkat separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 23 Oktober lalu. Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM membuat keputusan dua hari selepas itu untuk menangguhkan hukuman Sathianathan dan membenarkan bekas jurulatih kebangsaan berkenaan berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan. Apa yang pasti, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ternyata menghadapi tugas yang cukup berat bagi mencari seorang jurulatih berkelas A dalam masa kurang seminggu sebelum menentang Selangor di Stadium Shah Alam. Beberapa nama mula dikaitkan untuk memegang jawatan panas itu seperti bekas pengendali Kedah dan Harimau Muda, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan M. Karathu. Dalam masa sama, Ahmad Fuad berkata hukuman yang dijatuhkan kepada pengendali T-Team, Che Ku Marzuki akan berakhir pada 20 April selepas menjalani hukuman pada 21 Oktober tahun lalu. |
Posted: Di mana pemain pelapis?KUALA LUMPUR - Skripnya hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya, Datuk Lee Chong Wei menjadi penyelamat Malaysia dengan merangkul kejuaraan ketujuh Terbuka Malaysia kelmarin. Keunggulan Chong Wei di pentas Siri Super, terutama di gelanggang sendiri tidak boleh disangkal. Bukan mudah untuk merangkul dua gelaran berturut-turut dalam tempoh sebulan, Lin Dan sekalipun mungkin tidak boleh melakukannya. Malah lawannya yang dikalahkan pada perlawanan akhir, Taufik Hidayat dari Indonesia mengakui permainan Chong Wei pada Siri Super amat hebat dan pantas. Selain kecemerlangan luar biasa Chong Wei, skrip keseluruhan yang dicatatkan pasukan negara pada kejohanan kali ini sebenarnya lebih teruk daripada tahun lalu. Tiada seorangpun pemain pelapis berjaya ke undian utama, manakala dalam saingan beregu, hanya satu berjaya ke suku akhir, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How. Tiga pemain pelapis yang diharap membuat impak, Liew Daren, Chan Kwong Beng dan Chong Wei Feng kandas di pusingan kelayakan. Beregu No. 1 negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bukan lagi pasangan yang sukar dikalahkan, buktinya mereka tumpas kepada beregu tidak ternama China, Hong-Wei Shen Ye di pusingan awal. Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim beraksi dalam undian utama dan seperti kebiasaan, mereka tidak mampu pergi jauh. Turut gagal melangkah jauh adalah beregu Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin buntu memikirkan apa lagi yang harus dilakukan untuk memastikan Chong Wei mempunyai pelapis. Pendedahan bukan lagi perkataan yang sesuai diberi kepada pemain seperti Wei Feng, Kwong Beng, Daren atau Tan Chun Seang. Sudah terlalu banyak peluang yang diberi, namun prestasi mereka masih tidak mampu mengembang. Meskipun memiliki Chong Wei sebagai rakan sparring, kelebihan itu gagal digunakan anak didik Rashid Sidek ini untuk meningkatkan permainan. Tindakan Hafiz meninggalkan skuad kebangsaan juga tidak banyak membantu. Mereka semakin kekurangan sparring berkualiti, justeru apa lagi yang boleh dilakukan oleh BAM ketika ini untuk menyelesaikan masalah yang sudah bertahun-tahun membelenggu pasukan badminton Malaysia negara ? Ada cadangan tumpuan sepatutnya beralih kepada skuad pelapis bimbingan Hendrawan yang dibarisi oleh Mohd. Arif Abdul Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Fang Yang dan Misbun Ramdan Misbun. Mungkin benar pemain ini belum mantap dari segi fizikal dan mental, tetapi bukankah lebih baik mencuba bakat yang ada memandangkan bakat yang sebelum ini sudah tidak menunjukkan kemajuan. Mereka mungkin belum bersedia sekarang, namun pendedahan awal di peringkat antarabangsa mampu menjadikan permainan mereka lebih matang. Sekurang-kurangnya BAM telah mencuba sumber lain yang ada dan tidak hanya menunggu hingga semuanya sudah terlewat. China antara negara yang berani mendedahkan pemain-pemain mudanya lebih awal. Lihat hasilnya sekarang. Chen Long, juara remaja dunia dua kali sudah mampu memenangi satu kejuaraan Siri Super - Terbuka China tahun lalu. Dia juga sudah berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Korea 2010 dan Terbuka Malaysia minggu lalu. Mereka juga sudah mula mengetengahkan Du Pengyu dan Wang Zhengming. Sektor perseorangan jelas lebih kritikal dibandingkan beregu. Biarpun Kien Keat-Boon Heong mencetus kebimbangan seluruh peminat badminton Malaysia ketika ini ekoran prestasi yang merosot sejak kebelakangan ini, namun Malaysia masih memiliki beberapa pelapis yang berpotensi diketengahkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan