Kosmo Online - Sukan |
Posted: Chong Wei pula ke IndonesiaOleh HELMI TALKAH LEE CHONG WEI memilih untuk beraksi dalam Liga Super Badminton Indonesia sebagai persiapan menghadapi Seluruh England bulan depan. ATLET Malaysia nampaknya kini menjadikan Indonesia sebagai destinasi pilihan untuk menimba pengalaman. Ia bermula dengan pemain bola sepak negara, Mohd. Safee Mohd. Sali yang membuat keputusan beraksi dengan kelab Pelita Jaya dalam Liga Super Indonesia (ISL). Kini, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pula berbuat demikian. Alasan mereka sama iaitu mencari suasana baru yang lebih kompetitif. Chong Wei dilaporkan akan beraksi dalam saingan Liga Super Badminton Indonesia di Surabaya yang bermula 20 hingga 26 Februari. Keputusan yang diambilnya itu tidak salah dan ia telah disahkan oleh jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek. Menurut Rashid, memang Chong Wei ada menyatakan hasrat untuk beraksi dalam saingan tersebut sebagai persiapan menghadapi Seluruh England pada Mac depan. "Chong Wei merasakan di Malaysia saingannya tidak cukup kompetitif dan sebab itu dia mahu beraksi di Indonesia sebagai persiapan menghadapi Seluruh England. "Lagipun di sini (Malaysia) tidak ada mana-mana pemain yang dapat menandingi Chong Wei. Jadi, tidak salah rasanya Chong Wei menyertai kejohanan di Indonesia itu," kata Rashid kepada Kosmo! semalam. Difahamkan, Chong Wei, 29, akan beraksi dengan kelab SGS PLN Bandung. Dia akan bergandingan dengan rakan baiknya, Taufik Hidayat yang merupakan pemain perseorangan utama Indonesia Bagaimanapun, pemain No. 1 dunia itu hanya akan beraksi selama dua hari dalam saingan Liga Indonesia memandangkan dia bakal menyertai Sirkit Grand Prix (GP) Kebangsaan Akhir 2010 di Terengganu yang bermula pada 18 hingga 21 Februari ini. Sementara itu, Rashid menuntut pemain-pemain skuad elit negara seperti Tan Chun Seang, Chan Kwong Beng dan Chow Wei Feng mempamerkan aksi terbaik mereka sepanjang berlangsungnya GP Akhir di Terengganu itu. "Memang sukar buat pemain-pemain ini untuk muncul juara pada kejohanan tersebut memandangkan Chong Wei turut beraksi, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan mengapa mereka tidak boleh turun dengan prestasi terbaik masing-masing. "Jika tewas sekalipun, janganlah tewas ditangan pemain-pemain lebih rendah tarafnya daripada mereka. Jika itu juga yang berlaku, saya tidak teragak-agak untuk memberikan amaran kepada mereka dan tempoh setahun diberikan untuk kesemua pemain terbabit membuktikan kemampuan masing-masing," jelas Rashid. Sebelum ini, Rashid pernah menyuarakan kekecewaannya terhadap prestasi yang dipamerkan Kwong Beng, Liew Darren dan Wei Feng selepas mereka gagal melayakkan diri ke pusingan pertama Terbuka Malaysia 2011 bulan lalu. Biarpun telah mendapat pendedahan yang secukupnya di pentas antarabangsa, ketiga-tiga pemain itu terkandas pada aksi pusingan kelayakan. | ||
Posted: 'Tidak perlu gentar'Daripada AZIZUL FAHMI
KORAT, Thailand – Barisan pelumba lebuh raya negara hanya menunggu masa untuk bersaing dalam acara lepas beramai-ramai lelaki senior pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 esok. Bagaimanapun, kesemua empat pelumba negara diingatkan agar tidak gentar ketika berdepan dengan nama-nama besar seperti Wong Kam Po dari Hong Kong, Yukiya Arashiro (Jepun) dan Hossein Askari (Iran). Pada kejohanan kali ini, skuad lebuh raya menyandarkan harapan di bahu empat pelumba iaitu Mohd. Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Suhardi Hassan yang mengambil alih tempat jaguh pecut, Anuar Manan yang menarik diri pada saat-saat akhir ekoran masalah kesihatan. Menjelang acara terakhir yang dipertandingkan pada ACC 2011 itu, jurulatih skuad lebuh raya negara, Graham Seers (gambar) berharap anak-anak buahnya menampilkan kayuhan bertenaga dan seterusnya mampu menghadirkan pingat buat Malaysia. "Apa saja boleh berlaku dalam sekelip mata ketika perlumbaan menghampiri garisan penamat," kata Seers yang mula menabur bakti bersama Malaysia pada 2 Januari lalu selepas membimbing pasukan kebangsaan India. "Pelumba Malaysia harus memberi tumpuan kepada perlumbaan mereka saja. Jangan pedulikan reputasi pelumba-pelumba lain. Saya sudah berbincang dengan semua pelumba Malaysia tentang perlumbaan Sabtu ini (esok). Saya ada taktik tersendiri dan saya harap pelumba Malaysia boleh menang nanti." Sebagai rekod, skuad lebuh raya gagal menyerlah sejak ACC 2007 di Bangkok, Thailand; ACC 2008 di Nara, Osaka, Jepun; ACC 2009 di Banjarmasin, Indonesia; ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Araba Bersatu (UAE); Sukan SEA 2007 di Korat; Sukan SEA 2009 di Laos; Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Justeru, Seers berharap anak-anak buahnya mampu memulihkan kembali imej mereka yang semakin tercalar, sekali gus membayangi kelibat Kam Po, Arashiro dan Askari yang disebut-sebut sebagai pelumba pilihan bagi menyambar pingat pada edisi kali ini. Sekalipun sudah menjangkau usia 39 tahun, Kam Po membuktikan betapa kayuhannya masih bertenaga. Buktinya, dia merangkul pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Arashiro pula muncul pelumba pertama Jepun yang berkayuh pada dua kejohanan utama - Jelajah Perancis dan Jelajah Itali selain tampil bergaya apabila menduduki tempat kesembialan pada Kejohanan Dunia di Geelong, Australia tahun lalu. Nama Askari juga tidak kurang hebatnya apabila dia membantu Tabriz Petrochemical Cycling Team muncul juara berpasukan keseluruhan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dan 2011. Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab berkata, barisan pelumba negara harus menggunakan kebijaksanaan apabila bersaing dengan nama-nama besar seperti Kam Po, Arashiro atau Askari. "Saya percaya mereka (pelumba-pelumba negara) datang ke Korat dengan persiapan rapi. Jadi apabila ada nama-nama besar keluar melakukan breakaway (pemecahan), mesti ada pelumba kita ikut. Jangan hanya duduk dalam kelompok besar sampai ke garisan penamat tanpa pedulikan apa yang berlaku di depan. "Mereka juga harus saling bekerjasama dan beri laluan kepada sesiapa yang nampak seperti boleh menang," kata Abu Samah. | ||
Posted: Safee semakin terujaSAFEE (kiri) bersama rakan sepasukan tekun mendengar taklimat sebelum memulakan latihan di Pusat Olahraga Pelita Jaya semalam. PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali berasa teruja selepas mengikuti sesi latihan pertama bersama kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya pagi semalam. Selepas diperkenalkan pada satu majlis khas oleh pihak pengurusan Pelita Jaya setibanya di Jakarta pada Isnin lalu, Safee mula turun berlatih di Pusat Olahraga Pelita Jaya, Sawangan, Jakarta Selatan, semalam. "Pada hari pertama latihan, rasa seronok kerana dapat berjumpa rakan baru dan merasai tempat baru. "Fasiliti kelab sangat bagus dan para pemain lain juga cukup mesra. Cuma corak latihan berbeza sedikit dan pasukan ini banyak bermain one touch football. "Terima kasih kepada semua yang memberi ucapan dan mendoakan saya di sini," kata Safee menerusi laman Facebook rasminya, 'SafeeSali_10 Official' semalam. Sesi latihan pagi semalam dikendalikan dua penolong jurulatih Pelita Jaya iaitu I Made Pasek Wijaya dan Djadjang Nurjaman memandangkan ketua jurulatih, Miodrac Radovic berada di Australia. Menerusi laman Facebook itu juga, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim yang turut menyaksikan sesi latihan itu berkata, Safee kelihatan tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri. "Dia (Safee) nampak enjoy dan cepat menyesuaikan diri. Tapi dia nampak agak penat kerana sudah empat hari tidak turun berlatih sejak tiba di Jakarta Isnin lalu. "Esok (hari ini), skuad Pelita Jaya akan bertolak ke satu tempat peranginan di Punchak, Bandung untuk latihan pusat hingga 25 Februari sebelum aksi pertama pusingan kedua ISL pada 7 Mac menentang Persib Bandung," kata Zakaria. Selain Safee, empat pemain import Pelita Jaya yang lain turut kelihatan pada sesi latihan pagi semalam iaitu penyerang dari Paraguay, Juan Ramirez, Tomoyuki Sakai, Shibakoya Yuichi (Jepun), Walter Benitez (Argentina) dan Coulibaly (Mali). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan