Utusan Online - Sukan |
Posted: Ke All England tanpa MisbunOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak pernah melupakan mentornya, Datuk Misbun Sidek, namun seperti dua kejohanan terdahulu - Siri Super Masters Akhir dan Terbuka Korea, dia akan mengharungi kempen mempertahankan kejuaraan All England tanpa jurulatihnya itu. Ekoran kegagalan Misbun untuk mengesahkan diri sama ada mahu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan atau sebaliknya sejak meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, Chong Wei terpaksa mengharungi satu lagi kejohanan besar di bawah pengawasan pembantu jurulatih kebangsaan, Tey Seu Bock. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan, nama Misbun tidak disenaraikan dalam skuad ke Birmingham, England pada 8-13 Mac ini kerana permohonan akreditasi kejohanan perlu dilakukan awal, sedangkan status jurulatih tersebut masih tergantung. Sehingga hari ini, masih tiada sebarang petanda sama ada jurulatih itu akan kembali ke pangkuan pasukan negara, justeru BAM sebagai badan induk badminton kebangsaan perlu mengambil tindakan yang dirasakan terbaik untuk pemain di bawah naungannya. "Kami tidak boleh mengulas apa-apa mengenai isu Misbun ketika ini kerana memang tiada apa yang hendak diulas tetapi mengenai Lee Chong Wei, beliau akan pergi ke All England dengan diawasi oleh Tey Seu Bock sebagai jurulatih. "Senarai nama pemain dan jurulatih sudah dihantar awal kerana kami perlu memohon akreditasi kejohanan dan ia sudahpun ditutup, jadi kami tidak dapat menyenaraikan Misbun kerana statusnya sendiri masih tidak pasti,'' kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh. Walaupun mengakui amat memerlukan sentuhan Misbun, namun beraksi tanpa mentornya di sisi bukan perkara baru buat jaguh No. 1 dunia itu, yang sebelum ini mempertahankan kejuaraan hatrik Siri Super Masters Akhir di Taiwan, Januari lalu dengan hanya ditemani Seu Bock. Pemilik lapan kejuaraan 2010 itu juga muncul naib juara Terbuka Korea, bulan lalu tanpa Misbun iaitu seminggu selepas mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia dengan kehadiran jurulatihnya itu dari hari kedua hingga final kejohanan. Biarpun gagal menandingi seteru utama, Lin Dan pada pertemuan tunggal mereka tahun ini - final Terbuka Korea, namun Chong Wei tetap menjadi sandaran terbaik Malaysia untuk membawa pulang kejuaraan prestasi All England, sekali gus meninggalkan beban yang berat buat pemain itu. Chong Wei satu-satunya pemain kebangsaan yang akan berentap dalam saingan perseorangan di England, pada ketika satu lagi wakil Malaysia merupakan pemain profesional - Wong Choong Hann manakala dua lagi pemain yang berada dalam senarai simpanan, K. Yogendran dan Pei Wee Chung, juga pemain bebas. Cabaran Malaysia lebih meriah dalam saingan beregu lelaki apabila empat wakilnya beraksi dalam undian utama diketuai Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock, Goh Wei Shem-Teo Kok Siang dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen. Beregu muda, Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah pula akan bersaing dari pusingan kelayakan, manakala Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How sekadar mengisi senarai simpanan. Wong Mew Choo menjadi wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita dengan pemain remaja, Tee Jing Yi berada dalam senarai simpanan. Malaysia tidak memiliki wakil dalam beregu wanita tetapi akan menurunkan juara asia, Chan Peng Soon-GohLiu Ying dalam undian utama beregu campuran, manakala Ong Jien Guo-Sabrina Chong beraksi dari pusingan kelayakan. | ||
Hafiz kempunan beraksi di All England Posted: Hafiz kempunan beraksi di All EnglandOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Hasrat Muhammad Hafiz Hashim untuk memulakan karier profesional dengan kemunculan simbolik dalam kejohanan yang pernah menjulang namanya, All England bulan depan berakhir dengan berita mengecewakan. Nama juara 2003 itu tersisih daripada senarai ke kejohanan 8-13 Mac itu, biarpun pada awalnya Hafiz cukup yakin dia dapat bertanding bersama jaguh dunia lain, sekali gus mengukuhkan ranking dalam laluan mencari tiket ke Sukan Olimpik London 2012. Menurut Hafiz, 28, berita ini memang mengecewakan, apatah lagi dia baru hendak memulakan karier profesional sejak meninggalkan skuad kebangsaan pada 1 Februari lalu, namun dia tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya menganggap segala yang berlaku sebagai satu pengajaran berguna. "Memang saya amat berharap untuk beraksi pada All England dan kecewa apabila mendapati nama saya sebenarnya tidak disenaraikan oleh BAM tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa kerana mungkin ia adalah kesilapan saya sendiri. "Saya difahamkan bahawa nama saya memang disenaraikan BAM sebelum ini tetapi apabila saya mengesahkan untuk keluar daripada skuad kebangsaan, mungkin ia telah ditarik. Saya sepatutnya membuat susulan kepada BAM dan beritahu mereka saya tetap mahu bertanding atas biayaan sendiri. "Apabila saya mengetahui nama saya tidak tersenarai, semuanya sudah terlambat kerana sudah melewati tarikh tutup pendaftaran pada 1 Februari. Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan, kecuali mengalihkan fokus kepada kejohanan lain. Bagaimanapun saya tetap lega kerana sempat mendaftar untuk Terbuka Switzerland (15-20 Mac),'' ujar pemain No. 24 dunia itu. Menurut Hafiz, yang turut terlepas saingan Terbuka Jerman (1-6 Mac), biarpun kecewa namun dia tetap optimis dengan peluang untuk mencari tiket ke Temasya London, 27 Julai hingga 12 Ogos, 2012 kerana proses kelayakan masih panjang. Malah, dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran berguna dalam mengharungi karier profesional yang masih agak asing buatnya. "Sebenarnya, selepas bertanya kepada rakan-rakan dan mereka yang lebih berpengalaman, saya dapati ia (menguruskan diri sendiri) bukanlah terlalu susah, cuma sekarang saya masih baru dan dalam proses pembelajaran, jadi ada perkara yang saya terlepas pandang,'' katanya. Ditanya apakah dia sudah mempunyai penaja untuk membiayai karier profesionalnya, Hafiz menjelaskan, ia masih dalam proses rundingan dengan beberapa pihak. "Ketika ini, saya masih berunding dengan dua penaja dan apabila semuanya selesai nanti, saya percaya saya dapat meneruskan karier dengan lebih tersusun, sekali gus memberi tumpuan penuh kepada apa yang sepatutnya,'' kata Hafiz lagi. Perjalanan karier profesional Hafiz akan bermula dengan pengalaman pertamanya beraksi dalam Superliga Indonesia 2011 di Bandung dari 20-26 Februari ini, di mana dia akan bergabung bersama Wong Choong Hann untuk kelab Musica Champion. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan