Utusan Online - Sukan |
Safee sangkal dakwaan media Indonesia menuduhnya berbohong Posted: Safee sangkal dakwaan media Indonesia menuduhnya berbohongDaripada SAHARUDIN MUSTHAFA
JAKARTA - Biar apa sekalipun pandangan negatif atau dakwaan tidak masuk akal sesetengah pihak terhadapnya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali menegaskan, dia tidak pernah berbohong mengenai pemilihan kelab bola sepak luar yang disertainya. Bahkan, keputusan untuk bergabung dengan Kelab Pelita Jaya di Indonesia dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga majikannya sebelum ini. Kata Safee, penyertaannya dalam Kelab Pelita Jaya bukan dibuat berdasarkan keputusan peribadi semata-mata. Sebaliknya, pemain berusia 27 tahun itu berkata, segala rundingan dengan ketiga-tiga kelab bola sepak Indonesia yang mengemukakan tawaran rasmi dibuat oleh FAS. "Saya tidak pernah membuat kenyataan memilih Persib Bandung. Saya sekadar bercakap yang saya berminat dengan Persib Bandung. "Saya pernah ke Bandung melihat Selangor menentang Persib Bandung. Bahkan, Persib Bandung juga pernah berkunjung ke Selangor semasa menjayakan kejohanan Piala Menteri Besar Selangor," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam. Pemain kelahiran Selangor itu menegaskan, dakwaan kononnya dia menipu Kelab Persib Bandung dengan memilih kelab Pelita Jaya tidak benar sama sekali. Kata Mohd. Safee, ketika dia membuat kenyataan berminat menyertai Persib Bandung, FAS belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab bola sepak untuk perpindahannya. Buat sekian kalinya juga, Safee mengulangi pendirian berhijrah ke kelab bola sepak luar negera didorong oleh keinginannya untuk menimba pengalaman bermain di rantau orang. Selain itu, jelasnya, peluang beraksi dengan kelab luar merupakan tawaran yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mana-mana pemain bola sepak profesional. "Usia saya sudah mencapai 27 tahun dan inilah masanya untuk saya mengembangkan kerjaya saya di peringkat yang lebih besar. Keinginan ini sudah ada dalam fikiran saya sejak tahun 2007 lagi," jelas Safee yang ditemani pengurusnya, Zakaria Rahim serta kaum keluarganya. Menangkis dakwaan pengurus Persib Bandung yang Safee menipu, Zakaria berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan mungkin kerana berlaku salah faham. Zakaria juga tidak menolak andaian kenyataan pengurus Persib Bandung disensasikan pihak media. "Bila saya baca balik cerita itu, sebenarnya dia sendiri pun tidak cakap Safee menipu. Dia cuma menyatakan ada berunding dengan FAS dan tidak pula pernah mengeluarkan kenyataan yang dia ada berunding dengan Safee," jelas Zakaria. Menurut Zakaria, sungguhpun banyak kelab bola sepak menyatakan hasrat untuk memiliki Safee, namun, hanya tiga kelab dari Inodnesia yang menghantar tawaran rasmi iaitu Balik Papan, Persib Bandung dan Pelita Jaya. "Dalam rundingan antara FAS dan ketiga-tiga kelab itu, saya tak tahu apa yang menyebabkan FAS tertarik dengan Pelita Jaya, itu hak FAS, kita tak boleh komen," ujarnya lagi. Sebagai menghormati kesepakatan yang dicapai antara FAS dengan Pelita Jaya, Safee juga enggan mendedahkan yuran perpindahannya. Katanya, dalam proses perundingan biasanya sesebuah kelab bola sepak akan membuat pertimbangan berdasarkan berapa banyak ganti rugi yang boleh dibayar sebuah kelab lain terhadap kontrak pemainnya dan pada masa sama mengambil kira apa yang boleh disediakan kelab baru itu kepada pemain berkenaan. Sementara itu, Safee sudah bersedia untuk memikul tugas baru di Kelab Pelita Jaya dari aspek mental sebagai memenuhi cita-citanya bergelar pemain bola sepak profesional. Menyedari bakal berhadapan dengan budaya baru di negara orang, Safee mengakui, dia harus bekerja keras kerana di Indonesia cara permainannya berbeza dari Liga Malaysia. Safee bakal beraksi buat pertama kali pada 7 Mac ini menentang Persib Bandung di Stadium Singaperbangsa di Karawang, Jawa Barat. - Utusan | ||
ACA desak tambah acara trek Sukan SEA Posted: ACA desak tambah acara trek Sukan SEAOleh SAYED HESHAM IDRIS Presiden ACA, Abu Samah Abd. Wahab menegaskan beliau telah pun bertemu Setiausaha Agung Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Choi Woong Boo secara peribadi dan badan berbasikal terbesar di Asia itu berjanji tidak akan memberi pengesahan terhadap tiga acara trek yang dipertandingkan oleh Indonesia pada Sukan SEA di negara mereka. Menurutnya, ACA agak terkejut dengan perkembangan tersebut dan beliau yang juga Setiausaha Agung ACC berpendapat perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak menepati perkembangan semasa dalam acara trek di seluruh dunia. "Sehubungan itu, ACA akan menghantar surat rasmi kepada SGF (Persekutuan Sukan SEA) untuk memaklumkan ia tidak memberikan hak pengiktirafan dan persetujuan kepada KOI (Komite Olimpik Indonesia) bagi menyenaraikan hanya tiga acara trek di Sukan SEA 2011 nanti," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merumuskan Indonesia hanya memilih acara trek yang difikirkan boleh membawa keuntungan dan potensi memenangi pingat iaitu kejar-mengejar individu, scratch race dan point race (perlumbaan mata). Katanya, penganjur tidak mempunyai semangat kesukanan sejati apabila memilih acara yang difikirkan dapat memberikan pingat untuk pelumba mereka sahaja. "Ini baru acara trek, belum lagi basikal bukit. Saya dengar itu ada berlaku pemilihan acara yang memihak kepada pelumba Indonesia. "Sepatutnya KOI pertandingkan acara trek sama seperti pada Kejohanan Dunia. Sepatutnya ada acara keirin, pecut, 1 kilometer ujian masa dan team sprint (pecut berpasukan). Jadi mesyuarat tergempar nanti akan memaksa Indonesia senaraikan semula semua acara trek yang dipertandingkan di Kejohanan Sedunia. "Saya akan panggil semua ahli Majlis ACA termasuk Indonesia. Kami akan hantar surat jemputan rasmi kepada mereka dan terpulang kepada Indonesia untuk hadir atau tidak. Mesyuarat ini mesti diadakan sebelum 25 Februari ini kerana pada tarikh tersebut SGF akan mengadakan Mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif SGF di Denpasar, Bali," katanya. Abu Samah percaya Malaysia mampu menguasai acara seperti keirin, pecut individu dan pecut berpasukan dengan kehadiran pelumba bertaraf dunia seperti Rizal Tisin, Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Edrus Yunos. Katanya, Malaysia bukan mahu mendabik dada kerana mempunyai pelumba trek bertaraf dunia. "Setidak-tidaknya hormatilah hak kami sebagai salah sebuah negara yang menyertai Sukan SEA 2011. Malah kalau menang nanti pelumba juga akan dapat habuan hadiah kemenangan, itu saja niat kami," katanya Beliau juga meminta SGF dan KOI lebih peka kepada kehendak negara seperti Malaysia, Thailand dan Filipina yang mempunyai pelumba trek yang mahu bertanding sesama mereka di peringkat Asia Tenggara. "Pada Sukan 2009, Laos juga pada awalnya tidak mahu mengadakan acara berbasikal. Bagaimanapun setelah kami mengadakan kunjungan hormat ke Vientiane, mereka ubah fikiran. PKBM juga hantar pegawai untuk adakan acara berbasikal khususnya lebuh raya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan