Utusan Online - Sukan |
Posted: NS semakin mencengkam
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan menepati status sebagai pasukan pilihan apabila merakamkan kemenangan kedua di Stadium Paroi dengan menjinakkan T-Team 3-1, semalam. Kemenangan itu meletakkan skuad Hoben Jang Hoben itu di tangga teratas selepas dua perlawanan mengutip enam mata. Pemain veteran, Idris Karim meletakkan skuad pelawat di hadapan apabila menanduk masuk gol pertama berpunca sepakan sudut pada minit ke-27, namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan menerusi Rosdi Talib. Namun, Negeri Sembilan tidak rela kehilangan tiga mata dan ia terbukti menerusi gol kedua melalui penyerangnya, Firdaus Azizul yang menanduk masuk, sekali lagi berdasarkan situasi sepakan sudut. Idris melenyapkan sisa kebangkitan T-Team apabila rembatan dari luar kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-67 bagi mengekalkan rekod hebat Negeri Sembilan pada permulaan musim Liga Super. Sementara itu, penyandang juara Liga Super, Selangor kembali mendapatkan keyakinan apabila meraih kemenangan pertama dengan menundukkan Perlis 2-0 di Stadium Utama, Kangar. Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali bijak memperdayakan pertahanan Perlis sebelum melepaskan rembatan yang membuahkan hasil bagi gol pertama Selangor pada minit ke-62. Kelalaian pertahanan Perlis sekali membawa padah apabila pemain kecil molek Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan menggunakan peluang terhidang untuk menghukum skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-76 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan. Kelantan pula sekadar terikat 1-1 dengan jiran terdekat, Terengganu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV. Walaupun mendahului menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhrul Mohd. Radzi, Kelantan pada minit ke-35 kempunan memungut tiga mata apabila hantaran Joseph Kalang Tie menemui kepala Mohd.Marzuki Yusof yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69 bagi mengikat keputusan 1-1. Perak harus berterima kasih hasil jaringan tunggal bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli yang sebelum itu menggelecek dua pertahanan lawan pada minit ke-92 memberikan kemenangan berharga mengatasi Johor FC 1-0 di Stadium Perak di Ipoh. Di Stadium Darul Aman, Kedah juga tidak ketinggalan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pendatang baru, Felda United menerusi jaringan penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 dengan penjaga gol pelawat, Mohd. Hamsani Ahmad mendapat kad merah pada penghujung perlawanan. Sementara itu, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong muncul wira skuad warga kota, Kuala Lumpur apabila rembatannya dari bahagian tepi di sebelah kanan pada minit ke-54 gagal ditepis kemas oleh penjaga gol, Azizon Abdul Kadir sebelum bola bergolek masuk bagi memberikan kemenangan 1-0 kepada Kuala Lumpur ke atas Sabah. | ||
Juara LTdL 2011 milik Monsalve Posted: Juara LTdL 2011 milik MonsalveOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Pelumba Androni Gi- ocattoli, Jonnatha Molsalve meneruskan tradisi pakar bukit selepas menjuarai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 seterusnya meraih jersi kuning sebaik tamat perlumbaan peringkat terakhir semalam. Monsalve, 22, dari Venezuela muncul juara edisi ke-16, dan kejayaan menakluk Genting Highlands di peringkat kelima memberi kelebihan buat pelumba tersebut mengulangi pencapaian rakan senagara Jose Rujano Guillen tahun lalu. Biarpun hanya berpeluang menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya peringkat kelapan di Jasin, namun ia sudah memadai bagi Monsalve mempertahankan jersi tersebut sehingga peringkat terakhir di Dataran Merdeka semalam. Menurut Monsalve, dia cukup gembira dan berbangga kerana namanya kini berada dalam senarai juara LTdL. Ini merupakan kejayaan sulungnya dalam kejohanan sebegini dan ia cukup mengujakan. "Saya mahu menjadikan kemenangan pada LTdL sebagai pemangkin buat saya untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan-kejohanan yang akan saya sertai pada masa akan datang," kata Monsalve di sidang media selepas tamat perlumbaan semalam. Selepas tamat 10 peringkat perlumbaan, Monsalve merekodkan catatan masa keseluruhan 30 jam 08 minit 57 saat diikuti pelumba Le Tua Cycling Team, Libardo Nino Corredor (3'09:02s) dan pelumba seorang lagi pelumba Androni Giocattoli, Emanuele Sella (30'09:21s). Monsalve yang turut meraih gelaran Raja Bukit (jersi merah) berkata, pada awalnya dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk dijulang sebagai juara baru pada kejohanan berstatus 2HC itu. "Saya mula melakukan persiapan bagi menghadapi LTdL sejak Disember tahun lalu. Ketika itu, saya tidak mahu meletakkan sasaran kerana saya sedar ramai pelumba-pelumba ternama turut bersaing pada kejohanan ini. "Tetapi tumpuan dan fokus saya mula berubah sejak saya memenangi perlumbaan di Genting Hinghlands. Sejak itu, saya sudah meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan kali ini," ujarnya. Monsalve berkata, selepas hanya ketinggalan dua saat di belakang Libardo pada peringkat kelima di Genting Highlands, dia mula mengekalkan rentak kayuhannya sehingga berjaya merampas jersi kuning di tangan pelumba itu di Jasin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan