Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sasar prestasi bertaraf dunia

Posted: 24 Sep 2011 08:28 AM PDT

KEKALAHAN skuad Olimpik negara di tangan Jepun 2-0 Rabu lalu menceritakan hakikat sebenar betapa sukarnya anak buah Ong Kim Swee untuk menamatkan penantian Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik London 2012 selepas kali terakhir berjaya dilakukan 31 tahun dulu di Moscow.

Realitinya seperti yang diakui Kim Swee, pasukan negara nombor satu Asia itu berada dalam kelas tersendiri dan wajar diangkat sebagai calon pilihan untuk mengungguli saingan kelayakan Kumpulan C selain Syria dan Bahrain.


Namun ada juga yang enggan bersikap realistik dan lebih senang menyalahkan taktik Kim Swee yang dikatakan lebih gemar bertahan sehingga gagal menyerlahkan potensi sebenar pemain negara ketika berdepan Jepun.

"Bukan masalah taktik, kita kena lihat kualiti pemain Jepun, pasukan mereka di ranking nombor satu Asia sedangkan kita ketinggalan di belakang.


"Memang kalau boleh saya mahu menerapkan corak serangan, turunkan tiga penyerang tapi sanggupkah kita dibolosi enam hingga tujuh gol? "Namun ini tidak bermakna saya lebih gemar bertahan kerana kita perlukan kemenangan selepas ini dan bila bermain di tempat sendiri kita pasti menyerang," jelas Kim Swee yang berhajat memburu mata apabila menentang Syria dan Bahrain, November depan di Kuala Lumpur.


Kekalahan di tangan Jepun yang memburu tiket ke Olimpik kelima berturut-turut harus membuka mata semua pihak bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dari segi persiapan untuk bersaing di peringkat tinggi ini.

Dibandingkan dengan skuad Jepun yang muncul pemenang pingat emas Sukan Asia Guangzhou tahun lalu, mereka memiliki pemain yang mendapat pendedahan lebih baik berbanding pemain negara yang lebih gemar berkampung di Slovakia saja.


Seperti contoh, Hiroshi Kiyotake yang mencipta gerakan untuk Keigo Higashi menyumbat gol pertama menentang Malaysia adalah tonggak utama kelab handalan Liga-J. Baru-baru ini Kiyotake menyumbat dua gol untuk membantu kelabnya menang 4-3 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara AFC ke atas Jeonbuk Hyundai Motors.

Malah ramai lagi pemain skuad kendalian Takashi Sekizuka ini beraksi dalam liga berstatus A, Liga-J seperti Higashi mewakili kelab Omiya Ardija dan Kensuke Nagai (Nagoya Grampus).


Namun mahu tidak mahu segala kekurangan anak buahnya perlu ditangani dengan baik oleh Kim Swee kerana misi mereka masih belum berakhir kerana bakal berdepan Syria pada 23 atau 24 November dan Bahrain (27 November) sebelum membuat perhitungan sekali lagi dengan Jepun, Februari tahun depan.


Pastinya hidup mati perjuangan Malaysia dalam merebut salah satu 3.5 slot pasukan Asia ke Olimpik bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Syria dan Bahrain di gelanggang sendiri. Syria sudah mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Bahrain 3-1 pada perlawanan pertama.


Tapi persiapan Kim Swee bagi menghadapi dua pertemuan itu tampak terjejas kerana pengendali negara itu seakan tersepit dengan dua tugasan iaitu Sukan Sea dan Olimpik pada November.


Lebih wajar jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi keutamaan kepada pusingan kelayakan Olimpik berbanding Sukan Sea biarpun kita turun selaku juara bertahan.


Kejohanan manakah yang lebih berprestij? Jangan pula yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran FAM!

QPR teruja

Posted: 24 Sep 2011 08:24 AM PDT

LONDON: Skuad Queens Park Rangers yang kini berwajah baru mahu pergi lebih jauh dalam liga itu apabila menanti kehadiran Aston Villa ke Loftus Road malam ini.

Pengambilalihan oleh Tan Sri Tony Fernandes, bulan lalu menyaksikan beberapa pemain baru dibawa masuk ke QPR dan pengurus kelab, Neil Warnock nyata puas hati dengan impak yang terhasil.


"Saya suka melihat DJ Campbell atau Shaun Wright-Phillips baik di terowong mahupun koridor kerana anda akan tahu apa yang akan anda terima, senyuman mereka benar-benar menceriakan keadaan," kata Warnock.

"Campbell seorang pemain yang menyenangkan, dia ceria dan ramah. Dia ingin bermain setiap minggu sedangkan dia terlupa perlu berehat selama tiga atau empat minggu kerana jangkitan virus.


"Namun dia cukup bersemangat minggu lalu dan seronok apabila kembali bersama pasukan." katanya.


Pasukan pelawat, Villa mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini tetapi seri empat daripada lima perlawanan dan melakukan hanya 14 percubaan tepat dalam semua perlawanan musim ini.

Malah suasana di kelab itu jauh daripada positif ketika pengurus, Alex McLeish belum berjaya memenangi hati penyokongnya selepas berpindah daripada pasukan jiran, Birmingham City.


Jurulatih kelahiran Scotland menggesa penyokong supaya terus bersama kelab itu ketika mereka cuba mengukuhkan cabaran untuk tiket ke kancah Eropah pada musim depan.

"Saya tidak bimbang apabila menyaksikan pemain yang meninggalkan kelab ini," kata McLeish.


"Randy Lerner mahu mengurangkan bayaran gaji. Kami sentiasa terbuka seperti juga kelab lain." QPR kehilangan Kieron Dyer akibat kecederaan kaki manakala Jamie Mackie kembali berlatih tetapi belum sedia diturunkan dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada patah kaki.


Villa pula bakal memberi peluang kepada pemain pinjaman, Jermaine Jenas yang sebelum ini mengalami kecederaan paha.


"Darren Bent dan Emile Heskey tidak dapat diturunkan manakala Jenas pula 50-50," kata McLeish. "Ketiga-tiganya berpengalaman dan situasi ini menjejaskan kami." - Agensi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan