Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Apek membara

Posted: 04 Oct 2011 09:47 AM PDT

TANPA pemain tengah berpengaruh, Tim Cahill pasukan gergasi Asia, Australia tetap akan tampil dengan pasukan terbaik apabila membuat perhitungan dengan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, Jumaat ini selepas kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Jakarta pada 1992.

Malah skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal harus bersedia menangkis serangan pasukan tuan rumah yang bakal membariskan jentera serangan terbaik mereka iaitu Joshua Kennedy, Alex Brosque, Brett Holman dan Robbie Kruse.


Sentuhan Kennedy yang beraksi bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus tampak semakin menjadi-jadi apabila menyumbat satu gol ketika menewaskan Thailand 2-1 dan dua gol ketika membantu Australia mencatat kemenangan 3-1 ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Dan melihat kepada situasi ini, tidak hairanlah jika ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat kembali ditagih untuk melindungi kubu negara daripada dibolosi anak buah Holger Osieck itu.


Khairul Fahmi yang baru pulih daripada kecederaan selepas beraksi bersama Kelantan dalam kempen Piala Malaysia dilihat calon terbaik untuk menggalas posisi itu berdasarkan aksinya ketika bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun biarpun Farizal Marlias turut merebut tempat dalam kesebelasan utama.


"Saya tak pasti lagi sama ada akan diturunkan dalam perlawanan menentang Australia nanti, jika dipilih saya akan cuba buat yang terbaik. Australia pasukan kuat, mereka akan menurunkan pasukan Piala Dunia. "Mereka mempunyai ramai pemain bintang dan beraksi dalam liga Australia dan juga EPL (Liga Perdana Inggeris) tapi bagi saya perlawanan ini bukan untuk pengalaman semata-mata tapi kita kena tunjukkan cara permainan kita kepada mereka," katanya yang kini berada di Canberra bersama skuad 22 pemain Harimau Malaya.

Ketika ditanya mengenai tahap persediaannya untuk berdepan asakan Socceroos itu nanti, Khairul Fahmi yang turut dikenali dengan panggil Apek berkata, komunikasi antara pemain pertahanan amat mustahak dalam permainan.


Malah dia juga menyifatkan, kehadiran semula pemain senior Norhafiz Zamani Misbah menambah keyakinan benteng negara.

"Dia (Norhafiz) pemain berpengalaman. Dengan pengalaman yang ada, dia boleh membimbing pemain-pemain muda. Memang kehadirannya membuatkan kami bertambah yakin," jelas Khairul Fahmi.


Pertemuan Australia dengan Malaysia adalah yang ketujuh dengan rekod memihak kepada naib juara Piala Asia itu dengan lima kemenangan manakala skuad negara menang 1-0 di Jakarta pada 1992.

Syor perkenal semula beli komputer menerusi KWSP

Posted: 04 Oct 2011 08:31 AM PDT

KERAJAAN disarankan memperkenalkan kembali skim pembelian komputer menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana diperkenalkan suatu ketika dulu dalam Bajet 2012 dibentangkan Jumaat ini.

Pengurus Besar Acer Sales Services Sdn Bhd (Acer), Ricky Tan berpendapat, skim itu disediakan bagi memenuhi keperluan teknologi maklumat (IT) dan mencapai hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat celik komputer serta meningkatkan kadar penembusan PC di kalangan rakyat pelbagai peringkat.


"Ia memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan terutama di kawasan luar bandar untuk memiliki komputer sendiri, namun pembeliannya perlu dipantau ketat pihak kerajaan," katanya selepas majlis pengenalan notebook terbaru Acer di Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, Tan juga berharap kerajaan dapat mengurangkan tempoh pelepasan cukai bagi pembelian komputer dari tiga tahun kepada dua tahun bagi memastikan pengguna memperoleh produk IT terkini.


Pelepasan cukai pembelian komputer sebanyak RM3,000 kini dilaksanakan bagi setiap tiga tahun.


Mengenai pengenalan notebook terbaru itu, Aspire S3 Ultrabook berharga RM2,599 disasarkan dapat dijual sebanyak 5,000 unit menjelang akhir tahun ini.

"Menerusi model terbaru ini, Acer berupaya menawarkan pengalaman lengkap, sambungan lancar dan pengalaman penggunaan yang unik," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan