Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Nicol kempunan Terbuka AS

Posted:

Nicol kempunan Terbuka AS

Nicol kempunan Terbuka AS

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my


Nicol David sekali lagi kecundang musim ini iaitu pada Terbuka AS semalam, selepas Singapura Masters Julai lalu.


KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David menjadi mangsa kejutan terbesar pada Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat semalam apabila tumbang kepada pemain Australia, Kasey Brown pada saingan suku akhir di Philadelphia.

Turun sebagai pilihan pertama dan memburu kejuaraan sulung di Amerika Syarikat, Nicol bagaimanapun menerima padah atas kekerapan melakukan kesilapan sendiri sebelum tumpas 9-11, 11-6, 9-11, 4-11 kepada pilihan keenam, Brown.

Ini merupakan kekalahan pertama Nicol dalam kejohanan Siri Dunia Emas tahun ini, tetapi yang kedua keseluruhan sepanjang 2011.

Kekalahan pertama juara dunia lima kali itu tahun ini hadir pada Singapura Masters, Julai lalu.

Terbuka Amerika merupakan salah satu daripada lima kejohanan dalam kalendar Siri Dunia Emas, yang turut dikenali sebagai 'Grand Slam' skuasy.

Dia sebelum ini menjuarai tiga daripadanya di Cayman Islands (April), Terbuka Malaysia (Julai) dan Terbuka Australia, Ogos lalu.

Peluang Nicol untuk menyambar gelaran terakhir dalam kalendar Siri Dunia Emas adalah pada Qatar Classic yang akan berlangsung di Doha dari 14-21 Oktober ini.

Bagi Brown, ini adalah kemenangan terbesar dalam kariernya selepas kalah dalam semua enam pertemuan terdahulu dengan jaguh Malaysia itu.

Beberapa kesilapan sendiri Nicol memudahkan jaguh Australia berusia 26 tahun itu melakar kemenangan, terutama di set pertama dan terakhir.

Selepas kalah 9-11 pada set pembukaan, Nicol cuba bangkit pada set kedua dengan mengheret permainan berlangsung secara rali.

Ia bagaimanapun tidak mudah, sehinggalah dia mendahului 9-5, sebelum menamatkan cabaran 11-6.

Ketika peminat mula menjangkakan pemain 28 tahun itu akan meneruskan momentum baik di set ketiga, sangkaan mereka meleset apabila Brown sebaliknya mendominasi saingan.

Pukulan depan pemain tinggi lampai itu banyak memerangkap Nicol untuk membolehkannya mencatat kemenangan 11-9.

Pada set keempat, Nicol bagaikan tidak berupaya apabila Brown jauh mendahului 8-0.

Dia hanya menghadiahkan mata kepada lawan kerana melakukan kesilapan voli, malah tiga lagi mata yang dipungut Nicol juga hasil kesilapan dropshot lawan.

"Kemenangan hari ini ditujukan buat jurulatih saya, Rodney Martin. Dia telah banyak membantu saya selama lapan tahun dan kami melakukan persiapan yang cukup rapi sebelum tiba di Amerika Syarikat. Tanpa beliau, saya tidak akan berada di sini, saya tidak mungkin menang perlawanan ini. Ia amat mengujakan apabila kerja keras kami selama ini akhirnya berbayar.

"Mengenai perlawanan hari ini, saya bermula dengan sangat baik tetapi agak pasif di set kedua. Saya sedar, saya kena keluar menyerang di set ketiga jika mahu menang dan itu yang saya lakukan. Di set keempat, semuanya lebih mudah,'' kata Brown.

Nicol, pemilik lima kejuaraan tahun ini, kini perlu menunggu setahun lagi untuk cuba membawa pulang Terbuka Amerika Syarikat, satu-satunya kejuaraan besar yang belum pernah dimiliki pemain kelahiran Pulau Pinang itu dalam kariernya yang cukup cemerlang.

'Perang tekong' hangatkan antara zon

Posted:

'Perang tekong' hangatkan antara zon

'Perang tekong' hangatkan antara zon

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my


SERVIS kuda berbisa Normanizam Ahmad bakal kembali menjadi perhatian peminat dalam peringkat antara zon Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 pada pertengahan bulan ini.


KUALA LUMPUR - Pengenalan sistem kiraan baru permainan 15 mata dan servis tiga kali bergilir sejak Januari lalu turut mencetuskan persoalan di kalangan peminat mengenai siapakah tekong yang paling konsisten dan ampuh dalam Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 Peringkat Antara Zon (Separuh Akhir) di Shah Alam.

Dengan kategori Terbuka yang pasti lebih dinanti-nantikan mereka kerana ganjaran kemenangan juara yang termahal - RM10,000, aksi dari 14 hingga 15 Oktober itu turut menjanjikan kemunculan aneka servis kegemaran mereka seperti servis kuda mahupun putar, rebah, sepak, langkau, pancung dan gosok.

Tekong emas Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad yang mengemudikan Pestans A selaku juara Zon Selatan merupakan pengamal servis kuda paling ampuh, namun agak mengecewakan peminat ialah ketiadaan pencabarnya dengan servis sepak, Fauzi Ghazali yang digantung oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Tekong Perak itu terlepas peluang meneruskan penguasaan GPMS D seperti di Zon Utara KFC-Utusan, Julai lalu gara-gara berkeras memakai seluar panjang trek dalam Liga Siri Super II PSM di Kangar, bulan lalu memandangkan hukuman tersebut turut mencakupi sebarang pertandingan atas kesalahan Fasal 6.4.

Minggu lalu dalam Kejohanan Terbuka Akademi Sepak Takraw Kelantan (Askel), Normanizam yang hanya turun memanaskan badan menjelang perhitungan sensasi KFC-Utusan di Shah Alam, turut muncul juara dengan mewakili TNB sambil menewaskan Gastep selain turut dimeriahkan dengan kehadiran regu Thailand.

Namun 'buku dengan ruas' tetap ada buat Normanizam di Shah Alam apabila GPMS D dikhabarkan mahu menamakan seorang lagi bekas tekong kebangsaan sebagai pengganti Fauzi selepas penganjur membenarkan penambahan pemain baru selagi mereka tidak menukar sesiapa atau masih kurang daripada lima orang yang didaftarkan di saringan zon lalu.

Regu juara Zon Tengah KFC-Utusan, MBMB A tampak kurang meyakinkan jika menilai prestasi agak hambar tekong, Razif Arifin dalam set pertama perlawanan akhir yang mengakibatkan mereka ketinggalan sehingga 9-13 sebelum sedikit tuah tiba membantu mereka bergelar juara dengan menewaskan Dinamis 15-13, 15-11 di Paroi.

Bagaimanapun, tiga lagi regu naib juara terbuka pada saringan peringkat zon - PKNS A (Selatan), ATM JLJ C dan Pestans (Timur) pasti turut mengkaji semula kekalahan perlawanan akhir masing-masing khususnya Pestans yang kempunan gelaran di Paroi walaupun turun selaku tuan rumah dengan rekod kontinjen terbesar, sebanyak 32 regu bagi ketiga-tiga kategori.

PKNS A pula bakal mempertaruhkan semula bekas tekong Selangor yang kini juga penolong jurulatih skuad Liga Siri Super negeri, Zamzee Zainuddin sementara juara Zon Timur di Gambang Kuantan, Pahang pada 17 Julai lalu, Gastep B diperkuatkan tekong utamanya yang pernah mewakili Pelapis Malaysia, Subha Latip.

Turut berentap demi kejuaraan Terbuka dan habuan RM10,000 dalam peringkat akhir di Damansara, 16 Oktober ini ialah lapan regu pemenang ketiga bersama saringan peringkat zon iaitu PKNS D dan UTM B (Selatan), GPMS H dan USM Pulau Pinang A (Utara), R-Ten dan MPSJ C (Timur) selain MBMB B dan MPT A (Tengah).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan