Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Enggan dabik dada

Posted: 12 Oct 2011 11:50 AM PDT

LEDAKAN dua gol ketika membantu Selangor menewaskan Perak, 3-1 pada aksi suku akhir pertama, Isnin lalu memberi isyarat jelas betapa pemain perancang, Mohd Safiq Rahim sudah bebas daripada belenggu kemerosotan prestasi yang dialami pada awal kempen Piala Malaysia.

Dua jaringan menerusi sepakan percuma yang dianggap bertaraf dunia oleh Safiq bukan saja meletakkan skuad Gergasi Merah di laluan selesa menjelang perlawanan kedua di Ipoh esok, sebaliknya ia turut menyuntik kembali keyakinan diri kapten kebangsaan itu.


"Dua gol saya hasilkan itu cukup bermakna kerana ia membuktikan diri saya kini berada di tahap terbaik. Saya gembira kerana dapat membantu Selangor mendapat sedikit kelebihan sebelum perlawanan kedua menentang Perak.

"Saya kini semakin bersemangat dan akan terus berusaha untuk memastikan Selangor berjaya melepasi halangan ini," katanya.


Safiq, 24, dilapor dilanda kemerosotan prestasi ketika permulaan kempen Piala Malaysia sehinggakan bekas jurulatih Selangor, K Devan tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.


Situasi itu juga menyebabkan pakar sepakan percuma itu tidak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika tewas 0-5 di tangan Australia pada aksi persahabatan di Canberra, Jumaat lalu.

Namun Safiq dilihat kembali bangkit, seiring dengan kebangkitan 'Misi 33' Gergasi Merah pimpinan ketua jurulatih baru P Maniam.


Biarpun ramai yang beranggapan Selangor semakin hampir mengetuk pintu separuh akhir, namun Safiq tetap mengingatkan rakan sepasukan supaya berwaspada dengan semangat lawan anak buah Norizan Bakar di Ipoh.

"Di Ipoh, kami tidak boleh anggap kami memiliki kelebihan dua gol sebaliknya kami harus bermain seperti biasa. Kami tidak boleh bertandang ke gelanggang lawan dan sekadar bertahan sebaliknya kami juga harus menyerang.


"Kalau kami boleh mendapatkan gol awal, pasti akan menyukarkan lagi Perak untuk bangkit," jelas Safiq.

Full content generated by Get Full RSS.

Yob enggan kempunan

Posted: 12 Oct 2011 11:44 AM PDT

SELURUH tenaga - pegawai, pemain dan peminat perlu digembleng bagi membakar semangat Seladang untuk mengembalikan keyakinan pasukan apabila turun membuat perhitungan dengan Selangor dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh, malam esok.

Justeru pengurus Perak, Khairul Azwan Harun mahu gelombang kuning memenuhi setiap ruang Stadium Perak yang mempunyai kapasiti 35,000 penonton itu.


"Ini peluang terakhir buat Perak. Ini perlawanan hidup atau mati. Jika gagal bererti kita kena tunggu semusim lagi.

"Biar kalah berjuang daripada menyerah mudah begitu saja," kata Khairul Azwan yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).


Justeru beliau mengajak kesebelasan permulaan pasukan tuan rumah menggempur kubu lawan sebaik wisel permulaan dalam usaha memadam defisit 3-1 di tangan pasukan merah kuning itu Isnin, lalu.


Untuk itu, beliau berharap pemain pasukan Kejor Yob Kejor melupakan segera kekecewaan akibat kekalahan itu sebaliknya turun dengan keyakinan dan semangat juang kental.

"Persembahan pasukan tidak seperti yang diharapkan pada pertemuan itu. Mungkin pemain hilang keyakinan serta gugup beraksi di Stadium Shah Alam.


"Namun semua itu perlu diketepikan dengan pemain turun dengan semangat dan iltizam baru menebus kekalahan yang sekali gus merobek rekod tanpa kalah mereka dalam Piala Malaysia kali ini. Lebih penting kesilapan perlawanan pertama jangan diulangi." katanya.

Walaupun sedar tugas berat yang menanti pemain Perak namun Khairul Azwan percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak dan sehubungan itu mahu pemain tuan rumah menggunakan kelebihan yang ada.


"Kelebihan kali ini di pihak Perak kerana mendapat sokongan padu penyokong sendiri. Justeru pemain perlu menggunakan kelebihan yang dimiliki itu sebaik mungkin," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan