Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Jangan gentar reputasi lawan

Posted: 20 Oct 2011 08:46 AM PDT

SEGALA apa yang diperlukan untuk bergelar jaguh, sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kini semuanya terpulang kepada pemain skuad kebangsaan sama ada mereka mampu atau tidak dalam misi mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada temasya Sukan Sea Indonesia yang bakal menyingkap tirainya, bulan depan.

"Persediaan sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Mereka juga pernah ditempatkan di Slovakia selain beberapa perlawanan persahabatan bermutu tinggi. Terserahlah kepada pemain. Suka atau tidak, kita perlu mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak," kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.


Selaku orang nombor dua di dalam badan induk kebangsaan itu, beliau sedar keputusan undian peringkat kumpulan untuk acara bola sepak sememangnya tidak memihak kepada skuad kebangsaan yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee itu tetapi jauh di sudut hatinya, beliau tetap berpegang kepada kata-kata: "Di dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku".

Berdasarkan kepada keputusan undian yang berlangsung kelmarin, anak buah Kim Swee itu diundi didalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja manakala naib juara ketika di Laos, Vietnam pula berada di dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste.


Malaysia akan membuka kempen mempertahankan emas Sukan Sea dengan menentang Singapura pada 9 November diikuti Thailand (11 November), Kemboja (15 November) dan Indonesia (17 November). Semua perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.


Kumpulan B pula akan melangsungkan perlawanan di Stadium Lebak Bulus, Jakarta. Hanya dua pasukan daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara acara bola sepak Sukan Sea buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun ketika temasya itu dilangsungkan di Laos, dua tahun lalu iaitu menerusi skuad bimbingan Datuk K Rajagobal. Meskipun hanya menduduki tempat kedua Kumpulan A di belakang Vietnam, Malaysia bangkit menewaskan Laos 3-1 pada separuh akhir sebelum melangkah ke final sekali gus menang 1-0 ke atas Vietnam. "Jurulatih (Kim Swee) perlu mempunyai formula terbaik untuk memastikan emas dapat dipertahankan. Segala strategi dan perancangan perlu diatur dan dilaksana dengan sempurna jika kita mahu muncul juara.


"Memang keputusan undian itu tidak begitu memihak kepada kita. Kita berada dalam kumpulan yang sukar dan lawan kita bukanlah calang-calang. Saya jangka saingan paling hebat bakal dihadirkan oleh tuan rumah, Indonesia. Bagaimanapun, kita tidak boleh melupakan Thailand dan Singapura.

"Apa yang penting, pemain kita hendaklah berfikiran positif dan fokus kepada perlawanan satu demi satu. Jangan rosakkan minda dengan terlalu memikirkan soal siapa lawan atau memandang rendah keupayaan lawan. Jangan pandang ringan setiap perlawanan. Kita semua perlu positif," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

FAM lega final bola sepak Sukan Sea cepat sehari

Posted: 20 Oct 2011 08:40 AM PDT

SELEPAS penat menanti akhirnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa akur bahawa Persatuan Bola Sepak Syria (SFA) sebenarnya berat hati untuk menerima permohonan mereka menunda perlawanan peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik London 2012 pada November depan.

Biarpun pada mulanya dikatakan Syria memberikan perkhabaran positif untuk menunda perlawanan kedua Kumpulan C pada 23 November kepada 24 November ini, namun sikap membisu persatuan bola sepak negara itu membuatkan FAM menganggap usaha mereka itu seperti sudah tidak berhasil.


Namun kini FAM boleh berterima kasih kepada tuan rumah Sukan Sea Indonesia yang dianggap penyelamat kerana mempercepatkan sehari perlawanan final acara bola sepak pada 21 November.

Ini kerana jika skuad negara dibimbing Ong Kim Swee mara ke final, mereka mempunyai tempoh 48 jam sebelum beraksi dalam perlawanan kelayakan Olimpik menentang Syria seperti ditetapkan peraturan perlawanan antarabangsa Fifa.


Menurut Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga pengurus skuad Sukan Sea negara, mereka kini hanya perlu memberi fokus kepada persediaan kepada dua kejohanan penting itu tanpa perlu menantikan jawapan Syria.


"Kita sudah menghubungi dan mengemukakan rayuan beberapa kali kepada Syria namun sampai sekarang tidak ada jawapan. Jadi kita anggap Syria tidak mahu ubah tarikh perlawanan itu.

"Tapi memandangkan tarikh perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Indonesia sudah diubah pada 21 November dan bukannya 22 November seperti yang jadualkan sebelum ini, jadi kita sudah tidak berdepan masalah sekiranya kita layak ke final Sukan Sea kerana mempunyai tempoh 48 jam sebelum menentang Syria dalam perlawanan kelayakan Olimpik," kata Hamidin ketika dihubungi Arena Metro di Hanoi.


Malaysia yang turun selaku juara bertahan di Sukan Sea kali ini diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja. Hampir keseluruhan pemain skuad Sukan Sea negara berusia bawah 23 tahun adalah pemain sama dalam skuad Olimpik.

Sementara itu, anak buah Kim Swee bakal berdepan Myanmar hari ini bagi aksi kedua kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam di Hanoi.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan