Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Bahrain malukan Harimau Muda

Posted:

Bahrain malukan Harimau Muda

Bahrain malukan Harimau Muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my

PEMAIN pertahanan Harimau Muda, Mohd. Zubir Azmi (kiri) diasak pemain Bahrain, Sami Mohamed Al Husaini pada aksi Kumpulan C kempen kelayakan Olimpik 2012 di Stadium, Bukit Jalil malam tadi. Harimau Muda tewas 2-3.


TIGA gol pasukan lawan dalam tempoh enam minit mengundang padah buat Harimau Muda apabila tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Lebih mendukacitakan, anak-anak buah Ong Kim Swee gagal menggunakan kelebihan dua gol sekalipun Bahrain terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Ternyata beraksi di depan lebih 40,000 penyokong sendiri bukannya kelebihan buat Harimau Muda yang mungkin sudah boleh melupakan impian untuk menjejakkan kaki ke bumi London tahun depan.

Percaturan jurulatih Bahrain, Salman Shareeda yang membawa masuk dua penyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna, dalam tempoh 10 minit membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu meledak ketiga-tiga gol pasukan pelawat.

Bahrain terlebih dahulu menguji gawang negara apabila rembatan Mohamed Ali Tayeb Al-Alawi terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kedua.

Tersentak dengan asakan itu, Harimau Muda yang kembali mengatur gerak, namun rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran cantik satu dua bersama Irfan Fazail, mudah dibaca penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed Al-Sebaie lima minit kemudian.

Gol pendahuluan Harimau Muda akhirnya menjelma apabila rembatan deras kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti terus menerjah jaring Bahrain pada minit ke-30.

Jaringan itu ternyata menambah tonik Harimau Muda apabila berterusan menggandakan asakan, namun tandukan Mohamed Amer Saidin sedikit melewati palang gol hasil sepakan penjuru Mahali Jasuli pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bersambung, Bahrain dilihat semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ke-58.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Harimau Muda yang berjaya menggandakan kelebihan apabila kesilapan mudah Ashraf Waheed yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Mohd. Fandi Othman dihukum Mahali Jasuli yang tenang menyambar bola muntah untuk gol kedua pada minit ke-66.

Bahrain yang tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila sepakan gunting Saad Salah terus menerjah gawang Harimau Muda pada minit ke-80.

Gegak gempita di Stadium Nasional, Bukit Jalil akhirnya bertukar sunyi sepi apabila Isa Ahmed berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit bagi memastikan tiga mata berharga buat Bahrain.

Cubaan Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang tidak dikawal gagal menyambut hantaran Mahali pada masa kecederaan.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Harimau Muda dalam saingan kelayakan Olimpik selepas tewas 0-2 dalam dua-dua perlawanan menentang Jepun dan Syria sebelum ini.

Dengan keputusan itu, Harimau Muda kini kekal di tangga tercorot Kumpulan C, sementara Jepun kekal menerajui takhta apabila menjinakkan Syria 2-1 di Stadium Olimpik Nasional, Tokyo semalam.

Full content generated by Get Full RSS.

Williams raih gelaran berganda

Posted:

Williams raih gelaran berganda

Williams raih gelaran berganda

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


WILLIAMS (tiga dari kiri) bersama kru pasukannya meraikan kejayaan muncul juara Piala Monsun dan WMRT 2011 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu semalam.


SKIPER pasukan GAC Pindar Team, Ian Williams membuktikan kejaguhannya sebagai pelayar terbaik dunia ketika ini apabila menjuarai Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011 semalam.

Beraksi di perairan Pulau Duyong, Kuala Terengganu dalam cuaca cerah, pelayar kelahiran Britain itu bijak menggunakan pengalaman yang ada untuk menewaskan Johnie Berntsson dari pasukan Berntsson Sailing Team dengan 3-1 pada perlumbaan akhir.

Pelayar Britain itu berjaya memenangi perlumbaan 1 dan 2 sebelum Berntsson merampas perlumbaan 3 untuk kedudukan 2-1. Bagaimanapun, Williams mengesahkan kemenangannya dengan kejayaan pada perlumbaan 4 untuk kedudukan muktamad 3-1.

Lebih manis lagi, kejayaan yang diraih Williams itu hadir hanya sehari selepas dia ditabalkan selaku juara keseluruhan pada Siri Jelajah Dunia (WMRT), Persekutuan Kapal Layar Dunia (ISAF) 2011.

Ia juga merupakan kejayaan kedua Williams pada Piala Monsun selepas turut muncul juara di Pulau Duyong pada kejohanan edisi 2007.

"Berdepan Johnie Berntsson dan pasukan Berntsson Sailing Team bukanlah satu tugas mudah kerana mereka merupakan sebuah pasukan yang cukup lengkap.

"Namun, kerja keras dan strategi yang kami lakukan pada perlumbaan hari ini (semalam) benar-benar menjadi dan saya cukup berpuas hati apabila berjaya muncul juara di sini sekali lagi," jelasnya pada sidang akhbar semalam.

Selaku juara Piala Monsun 2011, Williams dan kru pasukannya membawa pulang hadiah wang tunai RM310,000 berserta trofi yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Berntsson pula yang sekadar berpuas hati di tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM215,000 sementara Jesper Radich dari pasukan Adrian Lee & Partners yang berjaya menewaskan Peter Gilmour pada penentuan tempat ketiga membawa pulang RM155,000.

Bagi kejayaan muncul juara dunia WMRT, Williams dan pasukannya yang mengumpul keseluruhan 144 mata daripada sembilan siri perlumbaan, membawa pulang hadiah RM380,000 beserta trofi baru hasil rekaan pereka terkemuka dunia, Garrard.

Naib juara WMRT 2011 menjadi milik skiper Itali, Francesco Bruni dari pasukan Bruni Racing yang mengumpul 112 mata sementara tempat ketiga dimenangi Berntsson dari Sweden dengan 106.2 mata.

"Kami telah bekerja keras sejak dua tahun lalu dan seharusnya kejayaan ini dikongsi bersama semua kru yang telah bekerja keras sehingga kami mencatat kejayaan berganda di Pulau Duyong.

"Ini adalah kejayaan yang manis sekali gus mengulangi pencapaian pada tahun 2007 apabila kami muncul juara Piala Monsun dan juara dunia WMRT," jelasnya yang turut memenangi perlumbaan di Portugal dan Sweden tahun ini.

Full content generated by Get Full RSS.

'23 pemain sudah cukup'

Posted:

'23 pemain sudah cukup'

'23 pemain sudah cukup'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


Irfan Bakti


PENGENDALI baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim percaya senarai seramai 23 pemain yang dimilikinya sudah lebih daripada mencukupi bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan 25 pemain, Irfan sebaliknya yakin dengan kemampuan pemain sedia ada bagi membantu beliau untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu piala buat Selangor pada musim depan.

Ketika ini, Irfan telah memiliki 22 pemain termasuk seorang pemain import baharu, Ramez Dayoub dari Lubnan, sementara seorang lagi pemain import dijangka diisi pemain yang besar kemungkinan berasal dari benua Afrika.

"Sudah tentu lebih bagus sekiranya saya dapat menyenaraikan 25 pemain untuk musim depan.

"Cuma bagi saya, buat masa ini jumlah 23 pemain sudah lebih daripada mencukupi," kata Irfan kepada Kosmo!.

Sebelum ini, Selangor membawa masuk sembilan pemain baharu iaitu dua penjaga gol, G. Jeevananthan (USM) dan Norazlan Razali (KL), R. Surendren (Pahang), Famirul Asraf Sayuti (Pahang), Solihin Kanasian (Kelantan), Hasmarul Fadzir Hassan (Felda United), Wan Hoesne Wan Hussain (Johor FC), Adib Aizuddin Ab Latif (Johor) dan pemain Piala Presiden, Khairul Anuar Khalid.

12 pemain lama yang dikekalkan ialah Amri Yahyah, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar, Azidan Sarudin, P. Gunalan, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Fitri Shazwan Raduwan, Fazilidin Khalid dan Fairul Azwan Shahrullai.

Mengenai kemampuan sembilan pemain baharu yang menyarung jersi Merah Kuning musim depan, Irfan yakin mereka mampu memberikan impak positif sekali gus memberikan lebih banyak pilihan terhadap percaturan strategi beliau.

"Malah, ketibaan Ramez juga saya rasa tepat pada masanya buat kami membuat persiapan untuk mengadakan sekurang-kurangnya 10 perlawanan latihan pra musim sebelum saingan Liga M bermula 10 Januari depan.

"Ini kerana khidmat Ramez hanya diperlukan negaranya untuk perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada penghujung Februari," tambahnya.

Apa yang pasti, Irfan yang membimbing Terengganu muncul juara Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super 2011, sudah tentu mahu menghadirkan sesuatu buat Selangor yang sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga selain ditunjukkan jalan keluar di peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan